Sekali-sekala, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Lisa, 43, itu menjilat jari-jemarinya yang dipenuhi dengan bulu-bulu halus haiwan jinak tersebut.

Walaupun kelakuannya nampak pelik, namun itu merupakan rutin harian yang dilakukannya selepas Lisa mengalami ketagihan luar biasa terhadap bulu kucing.

Apa yang memeranjatkan, gumpalan bebola bulu kucing yang dibuatnya itu bukannya untuk tujuan hiasan, sebaliknya ia dijadikan sebagai snek kudap-kudapan Lisa sepanjang hari.

Menurut wanita kelahiran Detroit, Amerika Syarikat itu, perbuatan tersebut dilakukannya sejak 15 tahun yang lalu selepas dia mengalami masalah ketagihan terhadap bulu kucing.

Menjilat kucing

Ketagihan tersebut menyebabkan wanita itu mengakui telah menelan lebih 3,200 bebola bulu kucing sepanjang 28 tahun yang lalu.

“Ramai yang tidak percaya apabila mengetahui saya merupakan seorang wanita yang mempunyai ketagihan teruk terhadap bulu kucing.

“Bagaimanapun, sebaik mereka melihat aksi saya memakan bulu-bulu tersebut dengan begitu berselera, mereka mula terdiam.

“Bukan itu sahaja, malah mereka menggelarkan saya sebagai wanita kurang siuman dan mula menjauhkan diri,” jelasnya sambil tertawa.

Menurut wanita itu lagi, bagi memenuhi ketagihannya terhadap bulu-bulu kucing, dia akan memakan tiga kepalan bulu sebesar guli setiap hari.

“Sebenarnya, saya boleh makan lebih daripada tiga bebola bulu setiap hari.

“Bagaimanapun, disebabkan kesukaran untuk mendapatkan bekalan bebola bulu tersebut, saya hanya membataskan tiga bebola sahaja setiap hari,” jelasnya.

Mengimbau kembali masalah ketagihan yang dialami oleh Lisa, wanita itu mendakwa dia mula menjadikan bebola bulu kucing sebagai snek kudapan selepas tertelan beberapa helaian bulu haiwan tersebut ketika berusia 15 tahun.

“Saya merupakan seorang pencinta kucing. Seperti individu lain, saya juga mempunyai cara yang tersendiri untuk mendekatkan diri dengan haiwan tersebut.

“Ketika kecil, saya gemar menjilat bulu-bulu kucing. Bagi saya, perbuatan tersebut menjadikan saya lebih dekat dengan kucing.

“Bagaimanapun, ketika sedang asyik menjilat haiwan tersebut, saya tertelan beberapa helai bulu,” jelasnya.

Menurut Lisa, pada mulanya, dia merasa janggal apabila helaian bulu tersebut melintasi ruang kerongkongnya.

Rindu bulu kucing

Bagaimanapun, perkara sebaliknya pula berlaku beberapa hari kemudian.

“Saya mula rindu untuk memakan bulu-bulu kucing tersebut.

“Bermula dari saat itu, saya mula memakan beberapa helai bulu kucing sehingga ia dikepal menjadi bebola bersaiz sebiji guli sebelum ditelan,” jelasnya.

Ujar Lisa lagi, disebabkan tekstur bebola bulu tersebut lembut seperti gula-gula kapas, dia menjadi semakin ketagih.

Lebih memeranjatkan apabila wanita itu mengakui sering mengidam untuk menikmati bebola bulu tersebut setiap dua jam.

Cerita Lisa lagi, disebabkan ingin memenuhi ketagihannya terhadap bulu kucing, dia terpaksa bekerja keras untuk mendapatkan bulu-bulu tersebut.

Bukan itu sahaja, Lisa turut mengakui menjalani rutin pagi yang sangat pelik setiap hari.

“Setiap pagi, saya akan menjilat dan menggigit bulu pada badan kucing peliharaan di rumah.

“Saya kemudian akan memburu serta mengumpul bulu kucing di setiap sudut kediaman termasuk di atas lantai.

“Tidak cukup dengan itu, saya juga akan keluar ke kawasan sekitar bagi mengumpul helaian bulu untuk dijadikan sebagai bebola bulu,” jelasnya.

Bebola tersebut kemudian akan dimakan dengan caranya yang tersendiri.

“Apabila saya makan, saya tidak akan terus menelannya, Sebaliknya, saya akan mengemam sebelum mengeluarkannya semula.

“Dari situ, saya akan mengunyah sedikit demi sedikit sehingga ia habis dimakan,” jelasnya.