Bagaimanapun, di sebalik keayuan wajah yang dimiliki oleh Daniella D’ville, 30, itu, siapa sangka, dia sebenarnya mempunyai perwatakan yang sangat aneh apabila gemar melibatkan diri dalam aktiviti berbahaya dan aksi lagak ngeri.

Disebabkan itu, tidak hairanlah jika wanita yang berasal dari Dartfort, Kent, England ini digelar sebagai Princess of Faint dalam kalangan orang ramai.

“Sejak kecil lagi saya memang suka sesuatu yang mencabar.

“Justeru pada usia seawal 15 tahun, saya mula menjinakkan diri dalam dunia aksi lagak ngeri.

“Bagaimanapun, siapa sangka, hanya kerana sering dilihat melakukan aksi-aksi mengerikan dan di luar kemampuan manusia normal, orang ramai kemudian menggelar saya sebagai Princess of Faint sehingga ke hari ini,” ceritanya memulakan bicara.

Imbang pedang

Walaupun dilahirkan sebagai seorang wanita, namun keadaan tersebut tidak menghalang D’ville daripada terus bermain dengan peralatan berbahaya seperti pisau dan pedang.

Disebabkan itu, tidak hairanlah jika sepanjang lebih 10 tahun dia melibatkan diri dalam dunia aksi lagak ngeri itu, D’ville pernah menerima anugerah Guinness World Records sebanyak lima kali.

“Sebenarnya kebanyakan aksi yang dilakukan ini hanyalah sekadar untuk kepuasan diri sahaja.

“Bagaimanapun, tidak sangka pula ia diambil pandang sehingga menyebabkan saya diberikan pengiktirafan oleh Guinness World Records.

“Antara aksi-aksi yang menyebabkan saya menerima pengiktirafan tersebut ialah tidur di atas katil yang dipenuhi dengan 400 batang paku, membenamkan paku ke dalam hidung dan mengimbangi pedang serta pisau menggunakan mulut,” jelasnya.

Menurutnya lagi, biarpun telah melakukan lebih 100 aksi berbahaya, namun dia akui aksi mengimbangkan pedang menggunakan mulut adalah cabaran yang paling digemarinya.

“Bukan mudah untuk menjadi pelaku lagak ngeri kerana setiap aksi yang dilakukan perlu dipelajari dengan betul supaya ia tidak mendatangkan kecederaan terhadap diri.

“Seperti saya, setiap kali ingin melakonkan apa-apa aksi sekalipun, pelbagai aspek keselamatan akan diambil kira.

“Selain memastikan diri berada dalam keadaan sihat, saya juga akan memastikan tidak mengambil sebarang minuman alkohol sekurang-kurangnya 24 jam sebelum pertunjukan dilakukan,” jelasnya.

Cerita D’ville lagi, biarpun kadang kala kelakuannya itu menyebabkan dirinya dikecam, namun wanita itu bersyukur kerana dia mendapat sokongan daripada peminat-peminat aksi lagak ngeri.

Keadaan tersebut menyebabkan D’ville kini giat membuat pertunjukan sarkas di sekitar England, Jerman, Australia dan Itali.

Pengsan

“Setiap kali membuat persembahan, saya suka melihat riak wajah dalam kalangan orang ramai.

“Pernah suatu ketika seorang wanita pengsan tatkala melihat saya membenamkan paku ke hidung.

“Walaupun rasa bersalah kadang-kadang timbul di sudut hati, namun apabila melihatkan orang ramai begitu terhibur dengan aksi-aksi yang dilakukan, saya menjadi semakin bersemangat untuk bergelar seorang aksi pelagak ngeri,” jelasnya.

Selain sokongan daripada peminat-peminat aksi lagak ngeri, D’ville juga gembira kerana ibu bapanya begitu memahami minat dan bidang kerjaya yang dipilihnya.

“Ibu bapa saya sangat bangga dengan apa yang dilakukan sehingga hari ini.

“Walaupun mereka mengakui takut dan tidak pernah melihat pertunjukan yang dilakonkan, namun saya gembira kerana kedua-dua mereka berjaya membentuk kerjaya yang saya inginkan hari ini,” jelasnya.

Daniella D’ville yang berasal dari Kent, England menjadikan bidang pelakon lagak ngeri sebagai kerjaya selepas menerima lima anugerah daripada Guinness World Records dan digelar Princess of Faint dalam kalangan orang ramai.