Jika boleh, setiap detik sepanjang proses kehamilan selama sembilan bulan itu mahu dirakam sebagai momen indah yang paling bermakna dalam hidup.

Setiap perubahan pada badan terutamanya di bahagian perut menimbulkan lagi keterujaan bakal ayah dan ibu untuk menimang cahaya mata.

Kebiasaannya pada zaman moden ini, luahan perasaan serta perkembangan tersebut pastinya dikongsi dengan memuat naik gambar di laman sosial seperti Facebook, Instagram dan banyak lagi.

Secara normalnya, perkongsian tersebut pastinya menerima sambutan dan komen yang baik dalam kalangan warga maya.

Namun, tidak jika si ibu berdepan dengan mereka yang digelar maiesiofilia.

Baru-baru ini, kecoh di Facebook tentang beberapa komen menjijikkan ditinggalkan individu tidak dikenali pada gambar seorang wanita yang sedang sarat mengandung.

Penuh nafsu dengan penggunaan ayat berbaur fantasi seksual tindakan tersebut ternyata mengejutkan ramai.

Tidak normal

Rata-rata netizen menunjukkan rasa marah dengan komen tersebut kerana menganggap ia sebagai tindakan seorang yang bernafsu rakus. Sebaliknya, ia bukan berkisar sekadar nafsu semata-mata.

Seperti pedofilia yang merupakan rangsangan seksual terhadap kanak-kanak, maiesiofilia adalah istilah dalam perubatan bagi mewakili penghidap penyakit kerangsangan seksual terhadap ibu hamil.

Menurut Ketua Jabatan Psikiatri, Fakulti Sains Perubatan, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Asrenee Abd. Razak, maiesiofilia dikategorikan di bawah kecelaruan seksual tidak normal jenis fetis.

“Dalam keadaan normal, rangsangan seksual manusia biasanya tertumpu kepada anggota seks (alat kelamin) mahupun aktiviti yang melibatkan perhubungan intim antara satu sama lain.

“Sebaliknya dalam kategori maiesiofilia, nafsu mereka terangsang dengan objek tidak hidup termasuklah pakaian wanita, coli, seluar dalam dan kasut.

Mereka juga tertarik pada anggota badan seperti tangan, kaki dan perut yang sama sekali bukanlah anggota seksual,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Asrenee, kebangkitan rangsangan seksual golongan ini tertumpu kepada perubahan bahagian anggota badan tertentu si ibu seperti perut memboyot dan pusat yang menonjol meskipun wanita tersebut tidak berpakaian seksi mahupun ketat.

“Lazimnya, rangsangan ini berlaku kepada lelaki namun, ada juga kalangan wanita (dalam peratusan yang kecil) menghidap maiesiofilia. Antara punca berlaku rangsangan ini adalah ekoran pendedahan bahan dan perlakuan lucah pada usia kecil serta penderaan seksual.

Penyakit mental

“Selain itu, rangsangan tidak normal ini juga semakin menular berikutan budaya popular masa kini apabila ramai ibu mengandung gemar berkongsi gambar baby bump mereka yang pastinya ‘menyesakkan’ nafsu si maiesiofilia,” jelasnya.

Mengklasifikasikan maiesiofilia sebagai gejala penyakit mental, Asrenee menggesa mereka yang mungkin menyedari menghidap atau mengenali penghidap kecelaruan seksual ini untuk segera mendapatkan rawatan psikoterapi.

“Obsesi ini jika tidak dikawal mampu merangsang tindakan lebih berani seperti mencuri pakaian wanita hamil, melakukan sentuhan seperti bergesel dengan wanita tersebut serta mengeluarkan komen sama seperti yang ditularkan di Facebook baru-baru ini.

“Justeru, bagi pesakit, segeralah mendapatkan rawatan psikoterapi di mana-mana hospital dan klinik yang menawarkan kaunseling psikologi. Buat wanita hamil, berhati-hatilah dalam berkongsi perasaan dan keterujaan. Bimbang tekanan gangguan seksual dan sebagainya merisikokan keselamatan dan kesejahteraan ibu dan juga bayi dalam kandungan,” ungkapnya.

Bersetuju dengan Asrenee, Personaliti Dakwah merangkap Senator Negeri Kelantan, Ustazah Asmak Husin berkata, perubahan yang berlaku pada fizikal ibu mengandung sememangnya tidak dapat disembunyikan, namun perlu ‘dilindungi’ sebaik mungkin bagi mengelak menjadi mangsa maiesiofilia.

“Pertama, aurat ibu mengandung masih sama seperti sebelum hamil. Yakni, pakaian mestilah labuh, tidak melekap pada tubuh badan dan ketat.

Untuk para ibu, lakukanlah semampu mungkin untuk mengikuti batasan aurat ini.

“Meskipun bentuk perut dan sebagainya akan juga kelihatan, sekurang-kurangnya, anda sudah melakukan sedaya mungkin untuk menjalankan kewajipan dan melindungi diri dan itu sudah tidak lagi jatuh berdosa,” ujarnya.

Lebih daripada itu, Asmak mengingatkan semua wanita agar berhati-hati dalam memuat naik sebarang gambar di media sosial kerana medium sebegitulah yang digunakan golongan seperti maiesiofilia untuk mencari mangsa.