Begitu pun, wanita bertubuh sasa bukanlah sesuatu yang biasa di Korea Selatan.

Hal ini kerana negara tersebut cukup terkenal dengan wanita yang terlalu fanatik untuk memiliki tubuh yang kurus serta sepasang kaki yang panjang.

Bagaimanapun, Yeon-woo Jhi, 34, dari Seoul mencuri tumpuan media apabila menjadi satu-satunya wanita bertubuh sasa di negara itu.

Bahkan, wajahnya yang cantik dengan tubuh berotot menjadikan Yeon-woo mendapat jolokan ‘Barbie Berotot’.

Hakikatnya, sama seperti wanita-wanita Korea Selatan yang lain, Yeon-woo sebelum ini pernah memiliki tubuh yang kurus melidi.

Memetik laporan laman web Oddity Central, wanita berambut panjang itu melalui usia remajanya dengan tubuh yang cukup kurus dan mengalami masalah mudah panik.

Nekad untuk mengubah cara hidupnya, Yeon-woo mula mengunjungi gimnasium untuk bersenam dan menjalani gaya hidup yang lebih sihat.

“Pada mulanya, saya hanya mahu menjalani gaya hidup yang sihat serta mahu kekal aktif.

“Begitu pun, apabila kekuatan dan kecergasan bertambah, saya mula serius dengan sukan bina badan sebelum memutuskan untuk menyertai pertandingan.

“Pada tahun 2013, saya menjuarai pertandingan Arnold Classic Europe Amateur yang berlangsung di Madrid, Sepanyol dan menjadi pakar dalam sukan bina badan pada 2015,” ujarnya.

Ironi, Yeon-woo sudah terlibat dengan sukan bina badan semenjak 10 tahun lalu namun namanya mula popular beberapa tahun kebelakangan ini.

Semakin dikenali

Bertitik-tolak daripada itu, foto-foto tubuh sasanya mula membanjiri laman sosial Facebook dan Instagram.

“Saya cukup sukakan tubuh saya yang berotot besar ini,” akui wanita itu dalam satu temu bual bersama majalah antarabangsa Oxygen pada tahun 2017.

Selain sibuk membina otot di gimnasium, wanita itu juga turut menawarkan latihan peribadi kepada sesiapa yang berminat untuk mengikuti kelasnya.

Biarpun suka dengan tubuhnya, Yeon-woo tidak terlepas daripada mendapat kecaman dan kritikan daripada netizen.

Laman Instagramnya iaitu @yeonwoojhi sering dibanjiri komen-komen negatif daripada individu yang menganggap dirinya kelihatan pelik kerana memiliki otot yang terlalu besar.

Dikritik

Begitu pun, wanita itu tidak pernah ambil hati ataupun peduli dengan kritikan netizen kerana cukup gembira dengan keadaan fizikalnya.

“Ada yang mengejek saya dan mengatakan bahawa seorang perempuan seperti saya tidak seharusnya memiliki tubuh yang dipenuhi otot yang besar.

“Ada juga yang berkata tubuh saya kelihatan tidak seimbang dan sebagainya, namun saya tidak pernah ambil hati terhadap semua kata-kata negatif itu,” jelasnya.

Sehingga kini, Yeon-woo sudah mempunyai lebih 130,000 orang pengikut di laman sosial bergambar tersebut.

Tambahnya lagi, minat yang mendalam terhadap sukan bina badan tidak akan pernah mematahkan semangatnya dan dia akan terus mencipta nama dalam sukan tersebut.