Rama-rama yang masih hidup sebesar tapak tangan itu kelihatan bergerak-gerak dengan mengibas-ngibaskan sayapnya seolah-olah cuba untuk melarikan diri.

Namun, malangnya, serangga tersebut tidak berupaya untuk terbang gara-gara sayapnya telah terkoyak dan rosak.

Bagi memastikan kupu-kupu itu dapat meneruskan kehidupan dengan terbang bebas seperti sebelumnya, seorang wanita yang juga merupakan pereka kostum profesional, Romy McCloskey dari Texas, Amerika Syarikat terpaksa membaiki kepak serangga tersebut.

Kedengaran agak mustahil, namun ternyata McCloskey berjaya menjalankan ‘pembedahan’ membaiki kepak kupu-kupu itu hanya dengan menggunakan beberapa peralatan rumah sehingga serangga itu dapat terbang semula.

Kelengkapan rumah

Menurut McCloskey, sayap bahagian kiri kupu-kupu itu didapati telah rosak dan terkoyak semasa ia keluar dari kepompong ketika mengalami proses penukaran daripada pupa menjadi kupu-kupu.

“Saya menemui kupu-kupu ini di atas rumput di laman belakang rumah saya dan ia berusaha untuk terbang dengan sebelah sayapnya yang telah rosak,” ujar McCloskey.

Kerana kasihan melihat serangga itu, McCloskey telah mengambil keputusan untuk cuba membaiki sendiri sayap kupu-kupu tersebut menggunakan kepakaran yang dia miliki.

Hanya dengan menggunakan kelengkapan rumah seperti tuala, dawai, gam, pencungkil gigi, kapas, gunting, pinset (tweezer) dan bedak, McCloskey telah menjalankan proses membaiki sayap kupu-kupu betina itu dengan berhati-hati kerana struktur­nya yang agak rapuh dan sensitif.

Sebelum memulakan proses membaiki sayap kupu-kupu itu, serangga tersebut telah diletakkan di celah-ce­lah dawai dalam posisi seperti berba­ring sebelum bahagian sayapnya yang rosak itu dipotong.

Menurut McCloskey, proses memotong bahagian sayap kupu-kupu itu tidak memberi rangsangan rasa sakit terhadap serangga tersebut berikutan bahagian sayapnya tidak mempunyai saraf sama seperti proses memotong rambut atau kuku manusia.

Bahagian sayap yang telah dipotong itu kemudiannya dicantum dan dilekatkan semula menggunakan gam dengan membentuk bahagian sayap baharu menggunakan sayap yang sama.

“Ketika sayap itu siap dicantumkan semula, saya masih tidak yakin sama ada ia mampu untuk terbang semula atau tidak,” jelas McCloskey.

Rehat semalaman

Selesai membaiki sayap serangga itu, kupu-kupu tersebut tidak terus dilepaskan terbang, sebaliknya McCloskey membiarkannya berehat semalaman dan diberi makan madu untuk memberi tenaga kepada serangga tersebut.

Keesokan harinya, McCloskey telah membawa kupu-kupu itu ke halaman di belakang rumahnya untuk membebaskan serangga tersebut.

Ternyata segala usaha yang dilakukan oleh wanita itu tidak sia-sia ­apabila serangga itu berjaya untuk terbang sebelum hinggap di atas sekuntum bunga ros yang terdapat di halaman tersebut.

“Ia kelihatan begitu gembira dan terbang mengelilingi saya beberapa kali seolah-olah cuba mengucapkan terima kasih,” kata McCloskey.