Semasa kejadian, wanita itu, Nining Sunarsih, 51, yang merupakan seorang rakyat tempatan berada di Palabuhanratu kerana bercuti di situ sebelum dia dilaporkan hilang selepas ditarik ombak besar sewaktu mandi di Pantai Citepus.

Kejadian itu menyebabkan Nining dibawa ke tengah lautan dan tidak sempat diselamatkan oleh pengunjung lain yang berada di pantai tersebut.

Bagaimanapun, awal minggu lalu kecoh di media-media Indonesia tentang penemuan seorang wanita yang didakwa sebagai Nining iaitu mangsa yang hilang selepas ditarik ombak besar, satu setengah tahun yang lalu.

Ditarik ombak

Apa yang lebih menggemparkan, Nining ditemui di sekitar lokasi pantai yang sama dengan memakai pakaian yang sama sewaktu dia dilaporkan hilang.

Mengimbas kembali kejadian, seorang saksi mendakwa terdengar suara jeritan mangsa meminta tolong dalam keadaan tangannya terkapai-kapai sewaktu dibawa ombak, namun dia tidak berani untuk berenang menyelamatkan mangsa ekoran ombak yang terlalu besar.

Ekoran kejadian tersebut, usaha mencari dan menyelamat mangsa giat dilakukan oleh anggota keselamatan, namun jasad wanita itu gagal ditemui sehinggalah dia diisytiharkan telah meninggal dunia akibat lemas.

Namun begitu, seminggu selepas kejadian, satu mayat telah ditemui di kawasan pantai tersebut yang disyaki adalah milik Nining.

Keluarga mangsa yang dimaklumkan tentang penemuan itu telah diminta oleh pihak berkuasa untuk membuat pengecaman terhadap mayat tersebut bagi memastikan sama ada ia adalah jasad Nining yang telah reput.

Bagaimanapun, keluarga mangsa mendakwa, mayat yang ditemui itu bukanlah mayat Nining kerana mangsa sepatutnya mempunyai tanda lahir pada bahagian perutnya selain bentuk kuku mayat yang ditemui itu berlainan dengan bentuk kuku Nining.

Bagi membuktikan penemuan mayat itu adalah milik Nining, pihak berkuasa telah memohon untuk menjalankan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat tersebut.

Ujian DNA yang dibuat dengan mengambil sampel darah daripada anak mangsa, Wanda bagi mengesahkan bahawa mayat yang ditemui itu adalah ibunya, namun hasil ujian DNA itu menunjukkan bahawa mayat yang ditemui itu bukannya Nining.

Keluarga mangsa yang enggan menerima hakikat tentang keputusan pihak berkuasa mengisytiharkan Nining telah meninggal dunia, sukar untuk menerimanya dengan hati terbuka, malah menganggap bahawa wanita itu masih hidup.

“Selagi saya tidak menemui jasad ibu yang dikatakan telah meninggal dunia, saya masih anggap bahawa dia masih hidup,” ujar Wanda.

Mimpi

Firasat yang mengatakan bahawa wanita itu masih hidup diperkuatkan lagi dengan beberapa perkara walaupun ia sukar untuk dipercayai oleh logik akal.

Terdahulu, beberapa hari sebelum wanita itu ditemui, seorang saudaranya mendakwa pernah bermimpi tentang anak saudaranya itu.

“Dalam mimpi tersebut, Nining memberitahu saya supaya pergi mencarinya di sekitar pantai di Palabuhanratu, tidak jauh daripada lokasi dia dilaporkan hilang lebih setahun lalu,” ujar lelaki yang merupakan pak cik kepada Nining.

Lelaki itu memberitahu, bagaimanapun dia tidak begitu mengingati tentang mimpi tersebut pada awalnya, sehinggalah dia mengalami mimpi yang sama selama tiga malam berturut-turut.

Keluarga Nining yang dimaklumkan tentang mimpi tersebut tekad untuk mencarinya di lokasi yang diberitahu iaitu di sekitar pantai di Palabuhanratu pada 30 Jun bulan lalu, namun tidak menemui sebarang petunjuk.

Tidak mahu berputus asa, usaha mencari wanita itu diteruskan sehingga malam, sehinggalah keluarga itu menemui tubuh yang selama ini dicari lebih setahun lalu tertimbus di dalam pasir pantai sekitar pukul 4 pagi.

Lebih mengejutkan, wanita itu ditemui masih hidup dan memakai pakaian yang sama sewaktu dia dilaporkan lemas akibat ditarik ombak besar, iaitu baju kuning dengan corak flora dan berseluar hitam.

Wanita itu yang ditemui dalam keadaan lemah dan kurus telah dibawa pulang ke rumah sebelum dia dikejarkan ke hospital bagi menerima rawatan.

Penemuan Nining selepas satu setengah tahun dilaporkan hilang begitu mengejutkan banyak pihak dan mendapat liputan meluas oleh media tempatan.

“Saya bersyukur apabila berjaya menemui ibu yang selama ini disangka telah meninggal dunia,” ujar Wanda dalam linangan air mata.