Masing-masing sedang mentertawakan wajah seorang rakan sebaya yang bertukar menjadi 50 tahun lebih tua dengan hanya menggunakan aplikasi suntingan wajah yang dikenali sebagai FaceApp.

Menurut salah seorang remaja itu yang hanya mahu dikenali sebagai Syahirah, 21, dia cukup terhibur apabila melihat wajah seorang rakan karibnya yang bertukar menjadi sekurang-kurangnya 50 tahun lebih tua.

“Biarpun sudah 50 tahun lebih tua, wajah rakan saya itu masih cantik dan dia akan menjadi seorang nenek yang jelita,” tutur Syahirah.

Bukan Syahirah sahaja yang terhibur dan dapat meneka wajah tua mereka dengan menggunakan aplikasi suntingan wajah tersebut, malah laman sosial Instagram dan juga Facebook sepanjang minggu lalu turut dibanjiri dengan beberapa keping foto daripada selebriti antarabangsa yang turut ghairah memuat naik foto-foto pada usia tua untuk tatapan umum.

Antaranya termasuklah kumpulan Jonas Brothers, aktor Noah Centineo dan juga aktor popular daripada filem Spiderman, Tom Holland.

Selebriti terkenal tanah air juga turut mengambil peluang memuat naik foto wajah tua mereka di laman sosial Instagram antaranya termasuklah Zizan Razak, Fikry Ibrahim, Siti Sarah dan juga Scha Alyahya.

Kedutan yang asli serta rambut yang mula memutih menjadikan wajah yang disunting tampak semula jadi dan asli.

Guna AI

FaceApp merupakan aplikasi suntingan wajah yang dibangunkan oleh sebuah syarikat dari Rusia iaitu Rusia Wireless Lab.

Bersesuaian dengan namanya, aplikasi tersebut digunakan sepenuhnya untuk mengubah wajah seseorang dan hasilnya yang cukup realistik itu menjadikan ia sebagai satu fenomena di seluruh dunia.

Sejak FaceApp dilancarkan pada Januari 2017, ia sudah dimuat turun sehingga 100 juta kali menerusi Google Play Store. Ia juga disenaraikan sebagai aplikasi terbaik oleh App Store dan mendapat lambang Editor’s Choice daripada Google.

Tidak hanya menyunting wajah menjadi tua, FaceApp juga boleh mengubah wajah menjadi lebih muda, mengubah gaya rambut dan juga mengubah jantina penggunanya.

Biarpun sudah wujud lebih dua tahun lalu, ia menjadi popular dan tular baru-baru ini berikutan memiliki algoritma dengan efek tua yang lebih menyerlah berbanding versi sebelumnya.

Isu keselamatan

Di sebalik keghairahan menyunting dan memuat naik foto diri menjadi tua, aplikasi itu terpalit dengan isu keselamatan.

Jawatankuasa Demokratik Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) mengadakan kempen untuk menghalang orang ramai menggunakan aplikasi tersebut.

Menurut jawatankuasa berkenaan, isu keselamatan menjadi fokus utama memandangkan ia merupakan ciptaan Rusia yang berpangkalan di St. Petersburg.

Ketua Jawatankuasa terbabit, Bob Lord yang juga merupakan Ketua Pegawai Operasi Digital International Business Machines Corporation (IBM) menggesa penggunanya untuk memadam aplikasi berkenaan.

“Setakat ini, kami masih belum benar-benar mengesahkan risiko keselamatannya, namun lebih baik sekiranya semua individu mengelak daripada menggunakannya.

“Jika anda sudah menggunakan aplikasi itu, kami menyarankan agar ia dipadam serta-merta,” jelas Lord.

Senator Amerika Syarikat, Chuck Schumer menerusi laman Twitternya menulis, FaceApp memerlukan pengguna memasukkan data peribadi dan wajah yang mungkin boleh diakses kerajaan pihak ketiga.

Pencipta aplikasi tersebut, Yaroslav Goncharov merupakan bekas petugas Microsoft.

Dua tahun lalu, Goncharov pernah memberitahu, FaceApp terhasil kerana trend semasa.

“FaceApp merupakan gabungan dua perkara yang menjadi trend. Pertama, keghairahan memuat naik foto. Jika dilihat, aplikasi seperti Instagram dan Snapchat merupakan aplikasi memuat naik foto yang amat popular dan digunakan setiap hari.

“Trend kedua pula ialah teknologi neural networks. Teknologi ini menyerupai otak manusia dan mampu menganalisis serta menyimpan data,” jelasnya.

Kemampuan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) iaitu simulasi kebijaksanaan manusia yang diproses menggunakan mesin dan sistem berkomputer yang dikembangkan Goncharov menyebabkan wajah tua yang terhasil menerusi aplikasi FaceApp tampak asli.

Hal ini menjadikan ia sebagai aplikasi pilihan untuk pengguna bermain dan meramal wajah sendiri apabila berusia kelak.

Bagaimanapun, Rusia Wireless Lab dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya memadam foto yang dimuat naik di aplikasi FaceApp 48 jam selepas disunting.

“Pihak kami juga tidak menghantar data pengguna kepada Rusia. Data juga tidak dijual atau diberikan kepada pihak ketiga,” tulis kenyataan tersebut Rabu lalu.

Ini bukan kali pertama aplikasi melibatkan paparan wajah menjadi kontroversi.

Sebelum ini, keghairahan memuat naik foto Cabaran 10 tahun Facebook juga mencetuskan kontroversi.

Memetik laporan laman web www.vox.com, cabaran 10 tahun tersebut merupakan cara Facebook untuk mendapatkan data wajah pengguna.

“Aplikasi sebegini memerlukan set data lebih luas.

“Memuat naik perbandingan gambar terbaharu dengan 10 tahun lalu amat membantu dalam pengumpulan data,” tulis laman web terbabit.

Fenomena aplikasi suntingan wajah FaceApp yang dibangunkan Rusia berkemungkinan menyimpan data peribadi pengguna dan diakses oleh pihak ketiga.