Matanya memerhati pekerjanya menyusun pokok palma di sudut kiri kebun botani yang memiliki rumah kaca terbesar di dunia itu.

Sebagai pengurus projek, Williams bertanggungjawab memantau proses membaik pulih rumah kaca dan bangunan di kebun tersebut.

Katanya, keadaan bangunan termasuk rumah kaca agak teruk pada hari pertama dia bertugas lima tahun lalu.

Ia telah berusia 150 tahun pada 2013 sejak dibina oleh seorang arkitek, Decimus Burton.

Memiliki keluasan yang boleh memuatkan hampir tiga buah jet dan 1,000 spesies tumbuhan, keadaannya sangat menyedihkan.

Terdapat banyak bahagian rumah kaca berkarat dan cat di dinding sudah tidak berwarna.

“Kerosakan tersebut memaksa 69,000 elemen besi dan kaca dikeluarkan untuk dicuci serta dibaiki.

“Sebanyak 15,000 tetingkap kaca baharu ditambah bagi mengganti elemen yang rosak secara total.

“Selain itu, bergelen-gelen cat digunakan untuk mencantikkan semula struktur bangunan di sini,” katanya menceritakan keseluruhan proses baik pulih tersebut.

Usaha keras itu kini semakin mencapai kemuncaknya. Proses renovasi sudah berada pada tahap akhir dengan hanya tinggal tumbuhan untuk disusun kembali ke dalam kebun.

Menurut Williams, Kew Gardens dijangka dibuka semula kepada orang ramai bermula Mei 2018.

Berbaki beberapa minggu sebelum pembukaan tersebut, pakar holtikultur kini bekerja keras memilih pokok dan tumbuhan yang sesuai untuk dimasukkan kembali ke kebun.

Kebanyakannya merupakan pokok sedia ada yang dipindahkan ke tapak semaian semasa kerja ubah suai dijalankan.

Spesies terancam

“Setelah sekian lama bekerja, ia akhirnya akan ditamatkan dengan sempurna tidak lama lagi.

“Melihat tanaman mula dimasukkan semula, membuatkan semua yang bekerja dia sini cukup teruja dan berbangga,” ujarnya menjangkakan kunjungan ratusan juta orang ke kebun botani tersebut selepas ini.

Sementara itu, Penyelia Bahagian Rumah Kaca Kebun Kew, Scott Taylor berkata, konsep baharu akan diketengahkan seiring dengan pembukaan semula kebun kebanggaan Britain itu.

Menurutnya, spesies tumbuhan turut ditambah iaitu daripada 1,000 ke 1,500 pokok.

Sehingga kini, sebanyak 1,300 meter persegi tanah telah dibawa masuk ke dalam rumah kaca. Ia dijangka mencukupi untuk menanam kesemua jenis tanaman tersebut.

Rumah kaca itu juga dibahagikan kepada empat kawasan geografi iaitu Afrika, Amerika, Australia dan Asia/Himalaya.

Paling menarik, keunikan yang bakal dibawakan ialah pameran spesies tumbuhan jarang ditemui dan terancam.

“Setakat ini lebih 50 spesies tumbuhan unik telah ditemui termasuk spesies akhir yang ditemui di alam semula jadi.

“Salah satunya ialah Southii Encephalartos Woodii. Hanya satu spesimen pernah ditemui dan ia telah lama hilang,” jelas Taylor sambil menyusun sejenis pokok palma di kawasan Australia.

Sistem pemanasan dan pengudaraan baharu turut dipasang bagi membantu kelangsungan spesies itu.

Tambah Taylor, terdapat papan tanda diletakkan bagi memudahkan pengunjung mengenali tumbuhan dengan lebih mendalam.

Ia akan memaparkan maklumat mengenai habitat asal, jenis tanah, bilangan spesies dan hayat setiap tumbuhan yang dipamerkan.

“Kew Gardens komited menjadi pusat utama di dunia dalam memelihara dan memulihara tumbuhan unik dan jarang ditemui,” katanya mengalu-alukan kedatangan orang ramai ke kebun botani tersebut setelah pembukaannya.

Dalam pada itu, Williams percaya pelan penyelenggaraan baharu ini mampu bertahan sehingga 25 tahun sebelum kerja baik pulih dilakukan semula. – AFP