Banyak rumah dan bangunan di kepulauan tersebut musnah kesan daripada Taufan Irma itu.

Selain kawasan perumahan, tanah perkuburan turut menerima nasib yang sama.

“Saya rasa, taufan ini seperti baru berlaku semalam. Saya juga tidak tahu bilakah kesan kemusnahan ini akan lenyap,” jelas Wheatley, 55.

Selepas hampir setahun berlalu, kebanyakan penduduk kembali ke rumah masing-masing dan membina semula kediaman mereka.

Namun, sesetengah penduduk yang menerima nasib seperti Wheatley berasakan tidak mustahil kediaman mereka akan musnah jika taufan itu melanda sekali lagi.

Beberapa pulau di wilayah itu mengalami kerosakan teruk pada September tahun lalu selepas Taufan Irma dan Maria melanda sebahagian besar pulau tersebut.

Dalam pada itu, Taufan Beryl yang merupakan taufan pertama pada tahun ini dijangka berlaku sekitar 1 Jun hingga 30 November.

Taufan itu dikatakan sedang menuju ke pulau-pulau kecil di Carribbean dan ia diramal akan melanda Kepulauan Virgin British.

Pusat Taufan Kebangsaan Amerika Syarikat mendedahkan, Taufan Beryl dijangka membawa angin berkelajuan maksimum hampir 80 batu sejam (130km/j) dan taburan hujan dua hingga empat inci (lima hingga 10 sentimeter).

Dalam persediaan untuk menghadapi perubahan iklim yang akan membawa kesan taufan yang lebih kuat, pihak berkuasa Kepulauan Virgin British membuat garis panduan terhadap pembinaan bangunan baharu.

“Salah satu kaedah pemulihan akibat taufan sebelum ini ialah membina semula bangunan yang lebih baik dan kukuh,” kata Perdana Menteri Kepulauan Virgin British, Orlando Smith.

Dianggarkan lebih satu pertiga daripada 7,000 buah rumah di kepulauan itu musnah dan mengalami kerosakan besar akibat taufan tersebut.

Pihak berkuasa menganggarkan kos pembinaan semula memerlukan belanja sekitar AS$3.6 bilion (RM14 bilion).

Bahan binaan

Dalam pada itu, seorang pekerja pembinaan, Orret Lewis, 34, berkata, dia biasanya bekerja selama 12 jam sehari.

“Kami terpaksa melakukannya kerana orang ramai memerlukan bantuan untuk membina kediaman baharu,” katanya.

Bekalan bahan binaan yang sebelum ini dihantar dari Puerto Rico dan Amerika Syarikat juga tidak dapat memenuhi permintaan.

Seorang pekerja di sebuah kedai bahan binaan, Jiilan Dookie berkata, bahan-bahan seperti tingkap, papan lapis dan bumbung mengambil masa beberapa bulan untuk dihantar kepada pelanggan.

Cabaran lain yang dihadapi oleh penduduk ialah ramai antara mereka tidak mempunyai insurans harta.

Dalam banci terkini pada tahun 2010, empat daripada 10 responden tidak mengetahui bahawa rumah mereka boleh diinsuranskan.

Sejak dilanda taufan, harga untuk insurans harta juga semakin mahal dan ramai yang telah memfailkan tuntutan mereka, menurut data yang disediakan oleh wakil syarikat insurans di kepulauan itu.

Wheatley juga mempunyai insurans terhadap hartanya dan dia sepatutnya dibayar puluhan ribu dolar.

Namun, pihak bank enggan menyerahkan wang itu sebaliknya menegaskan, dia perlu membayar hutang gadai janji rumah serta pinjaman perniagaan kecil yang diusahakannya terlebih dahulu.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Greg Adams berkata, peratusan semasa terhadap bangunan di kepulauan itu masih kurang dalam pelbagai spesifikasi.

Kelemahan-kelemahan yang terdapat pada struktur binaan bangunan sebelum ini turut diakui oleh seorang arkitek dan pensyarah kanan di Kolej Komuniti H. Lavity, Richard De Castro.

De Castro melihat banyak bangunan yang dibina tidak mengikut spesifikasi yang boleh bertahan apabila dilanda angin kuat ataupun taufan.

Sementara itu, Jurucakap Kementerian Kesihatan dan Pembangunan Sosial, Adrianna Soverall berkata, dalam usaha membantu mangsa yang terjejas akibat bencana taufan itu, kerajaan telah menubuhkan satu program dengan dana sebanyak AS$15 juta (RM60 juta).

Kira-kira 500 isi rumah di kepulauan itu yang kebanyakan mereka tidak mempunyai insurans telah memohon untuk menyertai program tersebut pada awal bulan Jun lalu.

Bagi pemohon program itu, mereka harus memiliki tanah untuk membina rumah. – Reuters