Video berdurasi dua minit 20 saat yang dimuat naik di laman Twitter milik seorang daripada pelajar berkenaan, Aiman Sany Mohd. Ikhsan, 20, baru-baru ini bukan sahaja menarik perhatian netizen dari negara ini yang tidak kering gusi menyaksikannya, malah turut menarik perhatian pengguna Twitter dari pelbagai negara.

Rata-rata netizen mengucapkan tahniah serta memuji idea kreatif dihasilkan Aiman dan rakan-rakannya.

Semuanya bermula apabila Aiman memuat naik video itu dan menulis di Twitternya: “Siapa yang buat lebih baik? @MarvelStudios”.

Tweet itu kemudian dibalas oleh Russo Brothers iaitu Anthony Russo dan Joe Russo yang mengarah filem berkenaan dengan menulis: “Aiman, anda semua genius. Adakah anda berkelapangan untuk mengarah filem Avengers 5?”

Namun , Aiman dalam responsnya berkata, dia tidak berapa pasti sama ada pelawaan itu satu ajakan sebenar atau gurauan semata-mata, namun menjelaskan mereka hanya merupakan pelajar kolej.

Video tersebut pada mulanya dirakam Aiman dan rakan-rakannya yang merupakan pelajar Kolej Mara Seremban, Negeri Sembilan menggunakan telefon bimbit untuk tugasan projek kelas bahasa Inggeris mereka.

Babak-babak dalam video asal dirakam semula dengan prop yang mudah didapati untuk meniru kesan khas seperti dalam video asal seperti pinggan bulat berwarna putih digunakan untuk menyerupai kesan kuasa yang dimiliki oleh Doctor Strange dan bijirin coklat bagi menggambarkan pasukan tentera sedang mara untuk berperang.