Perasaan hairan pernah timbul dalam hati Izwan Izzudin Mohd. Nordin, 23, yang merupakan pelajar jurusan Pengajian Sunnah dan Pengurusan Maklumat Dengan Kepujian di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), USIM.

Katanya, persoalan tersebut terjawab pada suatu hari apabila dia mengekori salah sebuah kenderaan hingga ke padang bola belakang.

“Saya terkejut apabila melihat salah seorang pemain profesional, Mohd. Safee Sali berada di padang kami bersama pasukannya, PJ City.

“Mulanya saya berasa pelik kenapa mereka berada di universiti kami, tetapi lama-kelamaan, baru saya dapat tahu Kompleks Sukan Tunku Najihah USIM memang menjadi lokasi pasukan bola sepak dari dalam dan luar negara melakukan latihan,” katanya ketika ditemui K2 di USIM baru-baru ini.

Kompleks Sukan Tunku Najihah siap dibina pada tahun 2009 dengan anggaran belanjawan RM10 juta dan mula dibuka untuk kegunaan pihak luar pada tahun 2012.

Ideal

Kompleks sukan yang berkeluasan 20 hektar dan menepati spesifikasi antarabangsa itu menerima pengiktirafan daripada Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) pada awal penubuhannya. Pada 2015 pula, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengiktirafnya sebagaoi lokasi ideal latihan bola sepak.

Bahkan, kompleks sukan bertaraf antarabangsa itu juga menjadi venue pilihan skuad Harimau Malaya menjalani latihan selama 15 hari untuk persiapan bagi aksi Piala AFF pada tahun lalu.

Ia juga pernah menjadi lokasi latihan skuad bola sepak Iran dan Korea Selatan pada 2016.

Menurut Ketua Unit Pengurusan Kemudahan dan Acara Pusat Sukan USIM, Nur Ekmal Buhary, pusat sukan USIM tersebut kini lokasi ideal untuk kegunaan latihan pasukan bola sepak dari dalam dan luar negara.

“Pasukan Liga Super seperti Felda United, PJ City, Negeri Sembilan dan beberapa kelab dari Liga Premier, Piala Presiden serta belia turut memilih USIM sebagai lokasi latihan pramusim.

“Kompleks ini juga menjadi tempat latihan sepenuh masa bagi pasukan PJ City dari Liga Super,” katanya.

Nur Ekmal menjelaskan, USIM memiliki fasiliti yang serba lengkap seperti empat buah padang, trek balapan, pusat kecergasan dalam dan luar bangunan, kemudahan bilik persalinan menjadikan ia mampu menawarkan kemudahan menyeluruh untuk latihan.

“Kami tidak memiliki kelebihan seperti universiti lain yang mempunyai kepakaran dalam bidang sains sukan selain memiliki atlet-atlet kebangsaan, tetapi kami mahu turut sama memberikan sumbangan kepada sukan negara.

“Atas dasar itu kami memilih untuk memberi tumpuan kepada pengurusan fasiliti khusus­nya padang kerana bukan semua mampu menyediakan padang setaraf milik kelab pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Tetapi beri kami masa kerana kami sedang menuju ke arah itu,” ujarnya.

Menurutnya, bagi memastikan kualiti padang sentiasa terpelihara sepanjang masa, pihak USIM telah menggunakan kaedah cooling period dengan proses penjagaannya selama 365 hari tanpa mengira hari hujan atau panas.

“Penjagaan rumput cukup dijaga rapi kerana setiap minggu, kami akan memotongnya dan menyiramnya tiga kali sehari pada pukul 8 malam, 12 tengah malam dan 5 pagi.

“Sebab itu, rumput di padang pusat sukan kami nampak segar. Warna kehijauan itu menyerlah kerana sentiasa dalam keadaan basah,” katanya sambil memberitahu rumput pada padang itu adalah daripada jenis cow grass.

Selain itu, USIM juga menitikberatkan aspek kebersihan dan tingkah laku para pelanggan yang menyewa.

“Kami juga tidak bertolak-ansur soal kebersihan. Tidak kira sama ada mereka pasukan kebangsaan, dari luar negara atau sesiapa sahaja, tindakan tegas akan tetap dikenakan,” ujarnya.

Prestasi meningkat

Dalam pada itu, Nur Ekmal memberitahu, selain memfokuskan pembangunan atlet dalam kalangan pelajar, pihaknya juga mahu menjadikan USIM hab sukan yang mendapat tumpuan kelab-kelab dari dalam atau luar negara.

Bercerita lanjut, Nur Ekmal menjelaskan, kompleks sukan itu mencapai populariti pada 2016 apabila skuad bola sepak Iran dan Korea Selatan menjadikannya tempat latihan sebagai persiapan Piala Dunia 2018.

Selain itu, Nur Ekmal berkata, venue latihan yang ada di USIM juga telah melahirkan sebuah pasukan yang berjaya beraksi sehingga ke Liga Super walaupun sebelumnya bermula sebagai pasukan di kancah liga FAM.

“Pasukan berkenaan adalah PJ City yang sebelum ini dikenali sebagai MISC-MIFA. Mereka asalnya tiada tempat latihan tetap.

“Sejak mula menjalani latihan di pusat sukan USIM pada 2016, pasukan mereka mula meningkat naik. Tidak keterlaluan kalau saya katakan tempat latihan antara faktor kejayaan pasukan PJ City,” ujarnya.

Perkara tersebut turut diakui Ketua Jurulatih PJ City, K. Devan apabila menyatakan kunci kejayaan pasukannya adalah tempat latihan yang bagus.

“Sejak kami menjalani latihan di sini, pasukan PJ City tiada masalah dari segi latihan dan segala perancangan berjalan lancar.

“Kami beruntung kerana satu-satunya pasukan baharu di Liga Super yang mempunyai tiga padang (di USIM) untuk latihan,” jelasnya.

Katanya, pihak PJ City amat berterima kasih kepada pengurusan sukan USIM kerana memberi peluang untuk pasukannya menjalani latihan.

“Fasiliti semuanya lengkap, padang juga dijaga dengan baik.

“Pasukan saya sangat selesa berlatih di sini. Biarpun ini merupakan universiti Islam tetapi mereka menerima pasukan kami yang 80 peratus adalah kaum India,” tuturnya.

Bekas penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Sali, 35, berpendapat, suasana tempat latihan di USIM sama seperti berada di luar negara.

“Padang yang disediakan begitu terjaga dan paling saya suka adalah lokasi yang strategik iaitu agak jauh daripada orang ramai. Kami bermain di padang yang dikelilingi kehijauan dan sejuk mata memandang.

“Sebenarnya, kebanyakan pasukan luar negara mempunyai tempat latihan seperti ini iaitu agak tertutup dan dikelilingi pokok,” ujarnya yang pernah mewakili pasukan JDT.