Biarpun menyedari keputusan tersebut menyebabkan dia kehilangan sumber pendapatan tetap yang diperoleh setiap bulan, Nur Hasniza Ahmad, 34, percaya bahawa rezeki ada di mana-mana.

Selain keputusan untuk berhenti kerja itu dibuat atas alasan untuk memberi tumpuan kepada keluarga, Hasniza sebenarnya juga telah mempunyai perancangan lain untuk menceburi bidang perniagaan kraf tangan meskipun dibuat secara kecil-kecilan.

Bagi Hasniza, cukuplah sekadar hasil yang diperoleh itu dapat membantu menambah pendapatan keluarga meskipun ia tidaklah seberapa.

Selepas berhenti kerja dan menjadi suri rumah dengan menjaga tiga orang cahaya mata, Hasniza kini mengusahakan perniagaan kraf tangan secara kecil-kecilan dengan membuat pelbagai kerja seni jahitan untuk dijual secara dalam talian.

Antara hasil kraf tangan yang dibuat adalah set tilam berserta bantal untuk bayi, dompet kain, pembalut pasport, aksesori kepala dan yang paling menarik adalah bantal bergambar.

Jurusan grafik

Menurut wanita yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu, dia tidak pernah bercadang untuk menceburi bidang seni jahitan lebih-lebih lagi untuk menjadikan bidang tersebut sebagai punca pendapatan sampingannya.

“Saya mengambil jurusan reka bentuk grafik ketika menuntut di politeknik dan pernah bekerja sebagai pereka grafik selama hampir lima tahun di sebuah syarikat swasta.

“Semuanya bermula pada tahun 2011 selepas saya menimang cahaya mata sulung dan secara suka-suka telah menghasilkan sendiri perhiasan kepala (headband) untuk puteri kesayangan saya ketika itu,” tutur isteri kepada Mohd. Husairy Zahid, 37, itu.

Namun, dia tidak menyangka, perhiasan kepala yang telah dimuat naik dalam laman Facebook pada ketika itu telah menarik minat beberapa kenalan ingin memilikinya.

Untuk tidak menghampakan permintaan rakan-rakan, Hasniza telah menghasilkan lebih banyak perhiasan kepala yang dijahit sendiri dengan tangan memandangkan ketika itu dia belum lagi mempunyai kelengkapan me­sin jahit.

Lama-kelamaan, timbul minat terhadap kraf seni jahitan, memandangkan kerja tersebut juga menuntut dia untuk berfikir secara ­kreatif.

Hanya menjadikan rujukan melalui carian dalam internet dan YouTube, Hasniza mula menghasilkan beberapa hasil kerja tangan lain seperti tilam, bantal dan selimut terutama untuk bayi dengan pelbagai corak menceriakan di bawah nama NHA’s craft.

Bantal bergambar

Pada tahun 2014, Hasniza telah membeli sebuah mesin jahit untuk memudahkan dia menyiapkan tempahan pelanggan ekoran pada ketika itu dia menerima banyak permintaan untuk menghasilkan kraf yang diusahakan.

Menggunakan kain daripada material kapas, Hasniza sangat mementingkan kekemasan terutama pada jahitan bagi menjamin kepuasan pelanggan yang membeli produknya.

Pada tahun lalu, Hasniza telah menghasilkan bantal bergambar yang dilihat sangat unik dan sesuai untuk dijadikan hadiah sebagai kenang-kenangan.

Menariknya, bantal bergambar di bawah nama Pea_printzcess itu mempunyai gambar yang diberi pelanggan untuk dicetak dan diabadikan dalam bentuk bantal mengikut saiz yang diinginkan pada harga RM25 hingga RM55.

“Alhamdulillah, bantal bergambar ini telah mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan kerana ia dianggap unik dan sesuai untuk dijadikan cenderamata,” katanya.

Bahkan, hasil kerja tangan Hasniza juga telah menarik minat beberapa orang pembeli dari Singapura dan Brunei yang tertarik dengan kraf yang dihasilkan.

Menggunakan medium laman sosial Instagram, nhacraft dan pea_printzcess untuk memper­kenalkan hasil kerja tangan yang dibuat, Hasniza bersyukur apabila turut mendapat sokongan dan bantuan daripada suami tercinta dalam bidang kraf tangan.

Keputusan berhenti kerja sebagai pereka grafik dorong Hasniza ceburi bidang jahitan kraf tangan dengan menghasilkan beberapa jenis seni jahitan untuk membantu pendapatan keluarga.