Dalam hal ini, kelompok individu yang mengakui diri mereka sebagai pengamal kepada aktiviti tersebut lebih dikenali sebagai lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Mereka sinonim dengan simbol pelangi yang menjadi lambang solidariti kelompok berkenaan.

Ia menimbulkan maklum balas dan reaksi pelbagai dalam kalangan anggota masyarakat malah acapkali membawa kepada perdebatan panjang lebar yang tidak berkesudahan terutamanya di media sosial.

Terbaharu, pada Isnin lalu, buat pertama kali di Malaysia, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu menjalankan hukuman sebat terhadap pasangan lesbian di khalayak umum disaksikan lebih 100 orang. Ia dilaksanakan di dalam Dewan 2 mahkamah tersebut.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Asri Zainul Abidin berkata, pihaknya mengalu-alukan usaha untuk membendung LGBT kerana perlakuan golongan tersebut bertentangan fitrah.

Beliau tidak menolak ada antara golongan LGBT yang mengalami gangguan hormon, isu psikologi yang kadangkala menyebabkan kekeliruan tentang status jantina masing-masing.

Rawatan

“Kadang-kadang ia sejenis penyakit. Bila penyakit ia mesti diubati. Bagi seseorang yang mempunyai dua jantina ada pelbagai cara, pergi jumpa doktor atau pakar perubatan yang boleh bantu putuskan mengikut dimensi kepakaran mereka.

“Jika seseorang itu terperangkap dalam ujian misalnya mempunyai kecenderungan mahu pasangan sama gender dengannya dia perlu berdoa dan berusaha mudah-mudahan Allah bantu.

“Kita tidak boleh benarkan apa-apa amalan songsang menyalahi fitrah berlaku secara terbuka,” ujarnya ketika mengulas isu tersebut menerusi video secara langsung yang dimuat naik di laman Facebook rasminya baru-baru.

Beliau menjelaskan, pelaksanaan hukuman sebat itu merupakan hukum takzir iaitu dibuat berdasar pada proses penguatkuasaan undang-undang dan pihak mahkamah.

Bagi kes tersebut mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama.

“Apabila undang-undang itu ditegakkan dan undang-undang itu ada kemaslahatan (berfaedah) kepada rakyat, tindakan hakim dibina atas kemaslahatan rakyat. Misalnya, polis tangkap orang bawa benda bahaya atau memandu laju kerana ia boleh bawa mudarat

“Kalau pemerintah berpendapat sebat maslahat perlu taat. Namun, kepada yang tidak bersetuju tentang hukuman sebat tersebut mereka tidak dianggap sebagai menentang hukum Tuhan kerana ia merupakan hukum takzir bukan hukum hudud.

“Umumnya, dalam agama secara asas kita disuruh bertaubat, bukan dedah aib kita. Kerana agama ini menutup aib, siapa tutup aib peribadi muslim lain aib peribadinya Allah tutup pada hari kiamat,” tuturnya.

Beliau turut menasihati masyarakat supaya tidak bersikap ekstrem dalam perbahasan dan turut menegur pengkritik yang sentiasa tidak bersetuju dengan sesuatu yang dikaitkan dengan syariah.

Hukum syarak

Tambahnya, hukuman sebatan syarie juga tidak boleh dibandingkan dengan sebatan sivil yang mencederakan kerana kesalahan berbeza seperti kes berat seperti merogol dan merompak walaupun masing-masing dikira takzir.

Dalam pada itu, Naib Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia Marlina Amir Hamzah berkata, pada pengamatannya sebatan syariah yang dilaksanakan tidak menganiaya pesalah wanita berkenaan.

Katanya, pesalah wanita dipakaikan pakaian menutup aurat mengikut hukum syarak dan disebat tukang sebat wanita. Mereka juga ditanya terlebih dahulu adakah faham hukuman, mahu merayu lagi dan disahkan oleh pegawai perubatan wanita sebagai sihat dan boleh dilaksanakan hukuman ke atasnya.

“Sebatan dilaksanakan dengan menggunakan rotan yang tiada ruas, berukuran 1.22 meter panjang dan 1.25 sentimeter ukur lilit lebar dan perotan hendaklah merotan dengan tidak menggangkat rotan melebihi kepalanya serta tidak boleh menyeret rotan ketika merotan pesalah.

“Sesungguhnya definisi adil adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Justeru itu adalah adil bagi seorang pesalah wanita dihukum sebagaimana yang dikehendaki hukum syarak dan bukan dilepaskan daripada hukuman apabila melakukan kesalahan disebabkan dia wanita.

“Semoga dengan pelaksanaan hukuman sebatan ini akan menjadi pengajaran kepada pesalah dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan yang sama pada masa akan datang,” ujarnya.