Selesai memeriksa anak-anak pokok tersebut, dia akan memberi penerangan agihan tugas kepada para pekerjanya sebelum memeriksa mesin-mesin untuk kerja-kerja mengindahkan Taman Warisan Pertanian seluas 3.6 hektar itu.

Mesin-mesin itu digunakan untuk meletakkan baja dan memangkas pokok-pokok di taman tersebut.

“Apabila masuk kerja, saya akan ke nurseri, berjumpa dengan semua pekerja, bagi penerangan agihan tugas, periksa semua alatan dan buat penyelenggaraan taman.

“Walaupun ada ramai pekerja am, saya tidak kisah melakukan kerja bersama-sama mereka,” ujar Mohd. Akran yang berasal dari Kelantan.

Pemegang Ijazah Pengurusan Taman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu sudah dua tahun menjaga dusun dan menguruskan lebih 180 spesies pokok di dalam taman tersebut termasuk nangka, ciku, mangga, longan, herba misai kucing, pegaga, pecah kaca dan belalai gajah.

Berbekalkan ilmu di universiti dan pengalaman menanam pokok buah ketika di bangku sekolah telah mencambahkan minatnya terhadap bidang pertanian.

“Semasa zaman persekolahan, jika ada masa terluang saya akan pergi ke dusun datuk saya, Ibrahim Awang, 72, di Gua Musang, Kelantan dan membantunya menguruskan tanaman. Dari situ, saya dapat kenal jenis-jenis tanaman sekali gus timbul minat dalam bidang ini,” katanya.

Antara tanaman yang ada di dusun datuknya itu ialah pokok durian, rambutan, dokong dan manggis. Datuknya turut memberikan tip-tip menanam, penjagaan dan membaja agar pokok yang ditanam membesar dengan sempurna.

Pengalaman dan kemahiran yang ada membuatkan anak sulung daripada sembilan beradik itu mampu mengendalikan Taman Warisan Pertanian tersebut.

“Setiap hari saya ada di taman ini, semua jenis pokok dan kedudukannya semuanya saya ingat,” katanya.

Kepuasan

Tugas Mohd. Akran tidak terhad menjaga pokok di dusun sahaja. Dia juga perlu merancang, membangun, dan bertanggungjawab memastikan Taman Warisan Pertanian dalam keadaan terbaik dan sesuai untuk dilawati pengunjung.

Selain itu, dia turut menyediakan interpretasi dan maklumat berkaitan spesies pokok yang terdapat di taman tersebut selain menjadi pemandu pelancong apabila ada rombongan membuat lawatan di situ.

“Terdapat pengunjung yang tidak pernah melihat pokok-pokok tertentu terutamanya mereka yang dibesarkan di bandar. Ada yang tahu makan rambutan tapi tidak tahu rupa pokoknya.

“Pelancong luar negara juga ramai berkunjung di sini dan teruja melihat tumbuhan yang tidak ada di tempat mereka seperti pokok durian,” katanya yang memberitahu, pengunjung tidak melepaskan peluang memegang atau merasai daun-daun pokok.

Ditanya mengenai keseronokan menjaga tumbuhan di taman itu, Mohd. Akran berkata, kepuasan datang apabila melihat pokok yang dicantum menjadi benih semaian menghijau.

“Lebih puas, jika pengunjung turut memuji pokok-pokok yang ditanam subur dan kawasan sekeliling bersih dan cantik,” katanya yang memberitahu setiap pokok mempunyai penyakit dan perosak yang berbeza.

Siswazah

Menurut Mohd. Akran, bertugas di kawasan menghijau itu mampu memberikan terapi minda kepadanya selain dapat menghirup udara segar.

“Saya jaga pokok lebih kepada kepuasan diri, melihat perkembangan pokok memberi ketenangan kepada saya,” ujarnya yang kagum dengan pokok nadir iaitu pokok yang jarang ditemui dan kurang dikomersial seperti pokok nam nam, asam gelugur, kadis dan buah mentega yang ada di Taman Warisan Pertanian itu.

Mohd. Akran yang bercita-cita mahu meningkatkan taraf pengoperasian taman itu dengan pengisian aktiviti lebih mantap menyeru golongan belia agar menceburi bidang pertanian.

“Bidang pertanian ini kerjanya kasar dan berat, kotor, berpanas membuatkan ramai belia tidak minat menceburinya. Bagi saya, pembabitan belia terutamanya golongan siswazah mampu meningkatkan produk pertanian negara kerana mereka mampu menjalankan kajian sekali gus menghasilkan produk yang lebih berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Taman Warisan Pertanian, Faizal Najib Abdullah berkata, taman tersebut mempunyai dua tarikan utama iaitu ladang yang memiliki lebih 180 spesies tanaman dan kompleks pelawat termasuk medan makan.

“Rekod kami mendapati 16 peratus pelancong yang datang ke taman ini terdiri daripada kalangan pelajar. Rata-ratanya mereka berminat dengan demonstrasi berkaitan getah.

“Tarikan kedua ialah kolam ikan air tawar dan pelbagai aktiviti tradisional dianjurkan di situ,” katanya.

Menurut Najib, terdapat 1,500 pokok di taman tersebut yang ditanam sejak tahun 1989 selain 71 jenis pokok klon.

Katanya, fokus tanaman di situ adalah pada tumbuhan yang memberi sumbangan kepada ekonomi negara seperti herba, pokok nadir dan buah-buahan bermusim.

“Buah-buahan nadir yang ada di sini termasuklah jambu susu selain tanaman bukan komersial di kampung-kampung serta tanaman industri seperti padi, kopi, koko dan kelapa sawit.

Menjaga, membaja dan menyelenggara perkembangan pokok-pokok di bawah seliaannya memberi kepuasan tidak terhingga kepada Pegawai Pertanian di Taman Warisan Pertanian, Putrajaya, Mohd. Akran Ripin.