Tidak hanya rakyat Perlis, pengunjung yang datang dari serata pelosok negara juga akan terpesona tatkala melihat suasana di kawasan itu.

Pasti ramai yang pelik tetapi Pasar Kebun Getah yang telah beroperasi sejak tahun 1998 itu menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada jutaan rakyat di negara ini selain menjadi punca rezeki kepada peniaga kecil.

“Sambutan di pasar ini cukup baik terutamanya melibatkan penggemar barangan antik seperti telefon lama, duit syiling dan wang kertas. Malah, wang-wang purba juga boleh diperoleh di sini.

“Selain itu, terdapat barangan antik lain seperti seterika lama, pinggan mangkuk dan teko.

“Lucunya, ada pelanggan yang bergurau mengatakan mereka seolah-olah kembali pada zaman silam apabila menyentuh barangan antik seperti tembikar yang berusia ratusan tahun,” kata seorang penjual barangan antik, Omar Hamid, 60.

Omar yang berasal dari Alor Setar, Kedah telah berniaga di pasar itu sejak lebih tiga tahun lalu.

Pada setiap hari Ahad, kira-kira satu kilometer di Jalan Pauh akan dipenuhi dengan kenderaan yang diletakkan pemandu untuk berkunjung ke pasar itu.

Ironinya, walaupun perlu berjalan kaki sejauh satu kilometer, ramai pengunjung tidak ingin melepaskan peluang untuk merasai kemeriahan pasar yang dikelilingi pokok getah seluas dua hektar tersebut.

Seawal pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari, suara peniaga yang memujuk rayu, mempromosi serta memikat hati pengunjung jelas kedengaran.

Ribuan barangan merangkumi hidupan laut dan sungai seperti ikan, udang, sotong serta ketam turut dijual di pasar tersebut.

Selain itu, buah-buahan, barangan antik, keperluan dapur, pelbagai jenis tekstil dan pakaian, malah telefon bimbit klasik terhidang untuk disambar pengguna dengan harga yang berpatutan.

Idea

Itu belum termasuk lagi peniaga ubat-ubatan dan herba tradisional yang mendakwa ramuan yang mereka jual mampu mengubat seribu satu penyakit yang dialami seseorang.

Hakikatnya, walaupun hanya beroperasi selama lima jam, peniaga di pasar itu mendakwa, hasil jualan mereka lebih tinggi berbanding di pasar seharian yang lain.

Jika lapar dan dahaga, jangan khuatir kerana terdapat berpuluh gerai minuman serta makanan yang menawarkan menu masakan yang menyelerakan daripada tradisional sehingga moden.

Idea untuk menghidupkan pasar itu dicetuskan oleh pemilik kebun getah, Abas Che Mat, 87.

Selepas beberapa tahun beroperasi, pasar itu berjaya menghimpunkan lebih 300 orang peniaga.

Malah, kadar sewa yang dikenakan kepada peniaga adalah sekitar RM1.50 hingga RM4.

Abas juga orang bertanggungjawab mengurus, menjaga kebersihan dan mengutip kutipan yuran kepada peniaga di pasar tersebut.

Bagi seorang penjual madu kelulut, Zaradi Kamit Manan, 59, keistimewaan yang dimiliki pasar itu berjaya menggamit kehadiran ramai pengunjung.

“Suasana sangat berbeza berbanding pasar lain terutamanya bagi kanak-kanak, remaja, malah golongan dewasa yang hidup di kota raya besar seperti Kuala Lumpur yang serba moden serta canggih.

“Mereka tidak mengenali pokok getah dan kurang arif tentang sejarah. Hasil getah pokok ini merupakan antara industri yang menjana ekonomi negara suatu masa dahulu,” katanya.

Penjual anak pokok buah-buahan, Fauzan Hasbullah, 44, berkata, pasar itu menjadi medan bagi sesetengah peniaga dan pengunjung berjumpa bagi merapatkan silaturahim.

Redup

“Semua ada, membeli barangan keperluan selain makanan dan minum dikelilingi rimbunan pokok getah yang tidak berbau. Jadi, pertemuan dengan rakan-rakan atau keluarga lebih santai dan seronok,” katanya sambil mengukir senyuman.

Seorang pengunjung, Hasri Mat Isa, 40, berkata, kelebihan pasar itu ialah ia tidak panas selain beroperasi di kawasan yang lapang.

“Kurang panas berbanding pasar lain kerana rimbunan pokok getah. Tidak terlalu panas walaupun terik matahari. Selain itu, pasar ini menjadi tumpuan saya membeli anak pokok buah-buahan untuk ditanam di rumah.

“Buah-buah seperti rambutan, nangka dan durian ini menjanjikan pendapatan yang lumayan apabila mula mengeluarkan hasil kelak. Tidak rugi berbudi dengan tanah,” katanya menetap di Arau.

Dalam pada itu, Cik Gayah Shaadan, 39, pula berpendapat, pasar itu setanding dengan Arked Niaga di Padang Besar, Perlis.

“Pelbagai makanan boleh didapati di pasar ini termasuk yang tradisional mahupun yang moden dengan harga berpatutan.

“Malah, barangan seperti pakaian, beg, kraf tangan, barangan elektrik dan jam tangan boleh diperoleh dengan mudah.

“Situasi itu tidak banyak beza dengan Arked Niaga selain kelebihannya yang terletak kurang 10 kilometer dari pusat bandar Perlis iaitu Kangar,” ujarnya.

Bagi Juja Rahim, 19, yang pertama kali berkunjung di pasar itu, dia teruja melihat pelbagai barangan dijual dengan harga yang berpatutan.

“Saya boleh memperoleh pelbagai barang yang dihajati seperti pakaian untuk kegunaan harian,” katanya.