Pada usia tujuh tahun, bakat Abu Hassan dalam dunia perniagaan sudah mula kelihatan.

Lebih istimewa, minat dalam bidang tersebut bukan dipupuk oleh ahli keluarganya. Sebaliknya, ia atas dorongan seorang peniaga nangka yang memintanya membantu menjual buah tersebut.

Pada masa itu, beliau bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sri Petaling, Petaling Jaya, Selangor telah menerima tawaran tersebut dengan upah 50 sen sehari.

“Bagi kanak-kanak pada zaman tersebut, upah itu boleh dianggap lumayan. Pada hujung minggu dan cuti sekolah, saya akan berjalan dari satu rumah ke rumah untuk menjual buah nangka.

“Buah nangka itu dicucuk dengan lidi. Saya mampu menjual sehingga 30 cucuk nangka yang diletakkan dalam dua bakul.

“Separuh upah yang diterima saya simpan dan selebihnya saya buat belanja sekolah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain buah nangka, Abu Hassan juga menjual kuih karipap yang dibuat oleh wanita tersebut.

Pada zaman remaja, lelaki yang berasal dari Bagan Datuk, Perak itu turut membantu jirannya menjual kuih raya di Jalan Chow Kit.

“Upah yang saya terima sebanyak RM1.50 sehari. Saya menjual kuih raya tiga hingga empat kali seminggu. Antara kuih raya yang popular ialah kuih bangkit, semperit dan tat,” ujarnya yang mampu memiliki sepasang kasut jenama Adidas berwarna putih bernilai RM60 hasil pekerjaan itu.

Pemegang Diploma Pengurusan Perniagaan di Institut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam (kini Universiti Teknologi Mara) itu juga tidak lokek membelanja rakan-rakan ketika di sekolah.

Menurut bapa kepada enam cahaya mata itu, ketika belajar di ITM, beliau turut bekerja sambilan di Perwira Habib Bank Malaysia yang kini dikenali sebagai Affin Bank Berhad selama dua tahun sebagai pegawai pemasaran dan aktif bermain sukan badminton mewakili syarikatnya.

Modal berniaga

Sepanjang bekerja di bank tersebut, beliau berjaya mengumpul wang sebanyak RM10,000 yang kemudiannya dijadikan modal untuk membuka perniagaan sendiri pada tahun 1988.

“Antara perniagaan tersebut termasuklah menjual jus kordial berperisa jenama sendiri, sabun pencuci baju dan membungkus makanan seperti ikan bilis sebelum diedarkan ke kedai-kedai runcit di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga ada mengikuti pelbagai kursus dan latihan keusahawanan bagi memantapkan kemahiran dalam bidang perniagaan di bangunan Medan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Begitupun, perniagaannya terpaksa ditutup kerana mengalami kerugian.

Rentetan daripada kejadian itu, beliau mengambil keputusan untuk membawa diri bekerja di Singapura akibat kecewa dalam bidang perniagaan.

“Selama beberapa tahun bekerja di kota Singa, banyak ilmu bermanfaat yang saya pelajari. Pada masa sama, saya juga mengenali ramai pelabur dari dalam dan luar negara semasa bekerja di syarikat teknologi maklumat di negara itu,” katanya.

Ketika krisis ekonomi yang melanda negara dan dunia pada tahun 1998, Abu Hasan mengambil risiko untuk pulang ke tanah air. Beliau menubuhkan syarikat sendiri dengan menjalankan perniagaan membekalkan perkhidmatan teknologi maklumat kepada agensi kerajaan dan swasta yang berpangkalan di Johor Bahru, Johor.

Bimbingan

Hasil keuntungan dalam perniagaan itu, akhirnya membuka jalan untuk beliau bagi menubuhkan DPUKM secara rasmi pada Mac 2013. Bermula dari situlah, secara perlahan-perlahan beliau membimbing para usahawan di Malaysia bagi memajukan perniagaan mereka.

“Sebagai seorang usahawan, saya memahami polemik yang dihadapi oleh peniaga hari ini kerana saya pernah mengalami masalah sama ketika berniaga dahulu.

“Oleh itu, saya tekad untuk membantu dan berbakti kepada industri perniagaan tanah air dengan menubuhkan DPUKM ini,” ujarnya yang turut mendapat sokongan isteri, Datin Seri Norliah Che Mohamad dan anak-anaknya.

Bagi mengukuhkan jenama DPUKM di Malaysia, Abu Hasan membuka pintu untuk para usahawan datang kepadanya di Wisma RKT, Tingkat 3, Jalan Raja Abdullah, Off Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Pejabatnya itu juga bukan sahaja menawarkan bimbingan dan nasihat tetapi turut menyediakan peluang untuk bagi sesiapa sahaja yang mempunyai minat mendalam bagi membuka perniagaan sendiri.

“Dengan kepakaran dan pengalaman yang ada, saya percaya DPUKM mampu menjadi sebuah persatuan utama dalam membantu usahawan kecil dan sederhana untuk berjaya dalam bidang masing-masing.

“Buktinya, sehingga kini DPUKM telah mempunyai lebih 15,000 ahli yang aktif menjalankan pelbagai perniagaan di Malaysia,” katanya yang turut dibantu oleh beberapa Ahli Majlis Tertinggi dalam pengurusan persatuan dan hal-hal berkaitan.

Menurut Abu Hasan, matlamat DPUKM ditubuhkan adalah untuk menjadi platform bagi semua usahawan di Malaysia sama ada yang baru memulakan perniagaan mahupun sudah berjaya ke arah tujuan yang lebih besar dan maju.

Katanya, DPUKM berjaya mengubah nasib seorang peniaga pasar malam yang menjual mi dan kuetiau goreng selama lebih dua dekad. Hasil bantuan dan khidmat nasihat DPUKM, peniaga tersebut kini tidak lagi berniaga di pasar malam sebaliknya menjadi pembekal kepada bahan mentah makanan itu sendiri.

“Hal ini wajar dijadikan contoh kepada peniaga dan usahawan di luar sana supaya mereka mempunyai cita-cita yang tinggi dan matlamat untuk lebih maju dalam perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Hasan memberitahu, sebagai seorang ahli perniagaan, beliau juga pernah mengalami zaman kejatuhan. Apa yang penting katanya, mesti ada kemahuan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang diimpikan.

Pada zaman teknologi yang serba canggih ini, boleh dikatakan semua orang ingin berniaga namun apa yang membezakannya ialah cara untuk maju dalam sesebuah perniagaan.

“Kami mengambil pendekatan menjadikan ahli persatuan daripada zero to hero, contohnya jika tiada produk untuk mereka jual, kami akan cadangkan produk yang boleh dijual,” katanya.

Tambahnya, dalam berpersatuan, pihaknya beranggapan semua ahli bagaikan keluarga.

Pelaburan

Jadi, DPUKM akan membimbing mereka yang tidak tahu berniaga. Malah, kalau tiada modal sekalipun, pihaknya akan membantu cara-cara untuk mendapatkan modal perniagaan.

Katanya, setiap tahun, pihaknya pasti akan dijemput bersama produk-produk di bawah DPUKM ke ekspo barangan serta produk import di Yiwu dan Guangdong, China.

“Tahun lepas sahaja DPUKM berjaya membawa seramai 40 orang usahawan ke ekspo antarabangsa di Guangdong yang berlangsung selama empat hari dari 21 hingga 24 September 2017.

“Biarpun dalam waktu yang singkat namun ekspo di Guangdong dilihat berjaya membawa produk-produk keluaran daripada usahawan negara mendapat tempat dan perhatian dari pemerintah China untuk pelaburan dan pasaran lebih luas di sana.

“Ia satu peluang keemasan untuk golongan usahawan mengembangkan sayap perniagaan mereka ke luar negara,” tuturnya yang aktif memberi ceramah dan motivasi kepada usahawan di Malaysia.

Pengasas dan Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia, Datuk Seri Abu Hasan Mohd. Nor berkongsi pengalamannya terbabit dalam dunia perniagaan sejak kecil sehingga beliau menubuhkan DPUKM untuk membantu para usahawan.