Uniform sekolah canggih itu diperkenalkan oleh syarikat teknologi tempatan, Guizhou Guanyu dengan memasang dua cip mikro pada bahagian kedua-dua belah bahu pakaian.

Cip mikro yang dipasang itu dilengkapi dengan sistem kedudukan sejagat (GPS) bagi membolehkan pihak sekolah dan ibu bapa memantau aktiviti murid-murid pada setiap masa.

Ia akan memantau setiap pergerakan dan kedudukan murid dan memaklumkan secara terus kepada guru dan ibu bapa.

Guru dan ibu bapa pula akan mendapat maklumat segera jika murid tersebut meninggalkan kelas atau kawasan sekolah tanpa kebenaran termasuk jika mereka tertidur semasa sesi pembelajaran di dalam kelas.

Kritikan

Selain itu, uniform sekolah pintar tersebut juga membolehkan ibu bapa memantau segala pembelian anak mereka di sekolah dengan menetapkan had perbelanjaan melalui aplikasi telefon pintar.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui laman media sosial China, Weibo, syarikat teknologi Guizhou Guanyu mengatakan, uniform sekolah berteknologi tinggi itu mampu memberi jaminan keselamatan dan menyediakan kaedah pengurusan pintar khususnya kepada guru dan ibu bapa.

Jaminan itu sekali gus memberi manfaat kepada semua pihak dalam memantau pergerakan dan tingkah laku murid sewaktu berada di sekolah mahu pun selepas tamat sesi pembelajaran.

Bagaimanapun, pengenalan uniform sekolah berteknologi tinggi itu mendapat kritikan daripada segelintir orang awam selepas diperkenalkan.

Antara kritikan yang disuarakan adalah tentang hak kebebasan kanak-kanak yang dilihat seolah-olah telah dicabuli.

“Jika anda seorang kanak-kanak, adakah anda suka jika pergerakan anda dikawal 24 jam sehari?” kata seorang pengguna Weibo.

Dalam satu kritikan lain pula, seorang pengguna laman sosial turut mempersoalkan tentang hak asasi dan privasi kanak-kanak.

Pengenalan wajah

Pada masa sama, syarikat pembuat pakaian seragam sekolah tersebut telah membidas semua kritikan yang dilemparkan netizen dalam laman sosial dengan mengatakan, syarikat itu tetap menghormati dan melindungi hak asasi manusia.

“Pakaian yang kami reka ini tidak menjejaki pelajar pada setiap masa terutama ketika mereka bersama ibu bapa masing-masing,” ujar wakil jurucakap Guizhou Guanyu.

Namun, kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat terbabit ditentang oleh Lin Zongwu yang merupakan seorang pengetua di salah sebuah sekolah di wilayah Guizhou.

Beliau mengatakan, uniform canggih itu ternyata telah menyekat hak kebebasan murid-murid apabila setiap masa pergerakan mereka dipantau dengan ketat.

“Tetapi kami akan memastikan murid-murid di sekolah saya akan mempunyai waktu privasi sendiri setiap hari pada masa-masa tertentu.

“Pihak sekolah tidak akan memantau lokasi murid-murid selepas tamat sesi persekolahan, kecuali jika mereka didapati hilang atau ponteng kelas,” ujar Zongwu.

Sesetengah pengguna media sosial pula berpendapat, murid-murid dengan mudah boleh menipu dengan hanya menukar pakaian seragam sekolah mereka dengan rakan-rakan lain jika ingin keluar dari kawasan sekolah.

Perkara tersebut sememangnya telah dijangka oleh pihak Guizhou Guanyu.

Bagi memastikan ia tidak berlaku, syarikat berkenaan akan melaksanakan sistem pengenalan wajah dengan memastikan setiap pakaian seragam sekolah hanya dipakai oleh pemiliknya sahaja.

Pakaian seragam pintar yang diperkenalkan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif daripada program kampus pintar yang dilancarkan oleh kerajaan China.

Ia bertujuan untuk memperkenalkan sistem pendidikan moden di Negara Tembok Besar itu.

Pada tahun lalu, beberapa buah sekolah di China dilaporkan telah melaksanakan sistem imbasan muka untuk memantau kehadiran murid di sekolah.

Syarikat teknologi Guizhou Guanyu perkenalkan pakaian seragam sekolah yang dilengkapi dengan cip mikro bagi memantau aktiviti dan pergerakan pelajar semasa di sekolah dan ketika selesai sesi pembelajaran.