Bandar tersebut yang dikenali sebagai Longyearbyen telah mengeluarkan undang-undang melarang kira-kira 2,000 orang penduduknya daripada meninggal dunia di situ.

Kedengaran agak aneh, namun undang-undang di bandar tersebut telah menetapkan bahawa penduduk di situ tidak dibenarkan meninggal dunia dan dikebumikan di sana sejak tahun 1950-an.

Hal ini kerana, pada tahun 1950-an, beberapa mayat telah ditemui di sebuah tapak perkuburan lama yang disyaki merupakan korban akibat serangan virus Selesema Sepanyol.

Dalam kejadian itu, virus tersebut telah mengakibatkan kematian sehingga kira-kira 100 juta orang di seluruh dunia pada tahun 1918 atau kira-kira 5 peratus daripada penduduk dunia ketika itu.

Keadaan pulau itu yang sejuk sehingga boleh mencapai suhu di bawah takat beku -17 darjah Celsius menyebabkan mayat-mayat yang ditemui itu tidak reput.

Serangan virus

Kajian terhadap sampel yang diambil pada badan mayat yang maut akibat virus Selesema Sepanyol itu memberi keyakinan terhadap penyelidik bahawa virus Selesema Sepanyol itu berkemungkinan boleh berlaku jika terdapat mayat di pulau tersebut sehinggalah undang-undang melarang kematian dikuatkuasakan.

Ketika kejadian virus Selesema Sepanyol itu melanda, terdapat 11 mayat ditemui dikebumikan di bandar tersebut pada tahun 1918. Tanpa mengetahui peristiwa yang berlaku itu, penduduk di bandar Longyearbyen sebenarnya telah hidup bersama mayat dan virus itu selama beberapa dekad tanpa menyedarinya.

Selepas mengetahui risiko diserang semula oleh virus itu, larangan kematian telah dikeluarkan iaitu sesiapa sahaja yang meninggal dunia di bandar Longyearbyen termasuk di seluruh pulau Svalbard, mayat mereka tidak akan dikebumikan di pulau tersebut walaupun mereka telah menghabiskan sepanjang hidup di sana.

Dalam keadaan lain, individu yang telah jatuh sakit dan akan diketahui bakal meninggal dunia, mereka akan dihantar terus ke Oslo yang merupakan ibu negara Norway dan menghabiskan sisa hidup mereka di sana.

Di pulau berkenaan juga tidak mempunyai rumah orang-orang tua termasuk hospital yang menyediakan rawatan untuk pesakit tenat.

Bagi warga emas, mereka akan diarahkan supaya keluar daripada pulau tersebut supaya mereka tidak meninggal dunia di situ sekali gus akan menyukarkan proses pengebumian.

“Mereka yang mengalami penyakit-penyakit kronik seperti sakit jantung juga akan diarahkan untuk berpindah keluar dari pulau itu dan dihantar ke tanah besar Norway,” ujar Jan Christian Meyer, pensyarah dari Universiti Sains dan Teknologi Norway.

Wanita hamil

Undang-undang yang diperkenalkan itu telah menimbulkan dilema terhadap penduduknya terutama bagi golongan wanita hamil.

Bagi wanita mengandung, mereka tidak akan dapat melahirkan bayi mereka di pulau itu kerana tidak disediakan hospital yang melayani proses bersalin.

Maka, sebulan sebelum waktu jangkaan seseorang wanita hamil itu bersalin, mereka akan dihantar ke tanah besar dan hanya akan pulang ke rumah seminggu selepas melahirkan bayinya.

Longyearbyen merupakan sebuah bandar perlombongan arang batu dan mempunyai kira-kira 2,000 orang penduduk.

Bandar yang terletak di pulau Svalbard yang berkeluasan seluas 61,022 kilometer persegi itu berlokasi kira-kira 1,000 kilometer (km) antara tanah besar Norway dan Kutub Utara serta 2,041km dari Oslo.

Longyearbyen dianggap sebagai satu penempatan paling utara di dunia. Dalam setahun, pulau itu tidak akan mendapat cahaya matahari dari bulan Februari hingga Mei dari subuh sehingga senja dan mereka hidup dalam ke­gelapan.