Manakan tidak, menerusi pengembaraan bersama rakan-rakannya itu, impian Faryha untuk menjejakkan kaki ke 30 buah negara menjelang usianya 30 tahun tercapai.

Menurut Faryha, idea untuk mengembara ke 30 buah negara menjelang usia 30 tahun tercetus pada akhir tahun 2015.

Katanya, ketika itu dia sudah menjelajah ke 18 buah negara sejak tahun 2013 ketika berusia 25 tahun.

“Bertitik tolak dari situ, saya meletakkan sasaran untuk mencukupkan 30 buah negara menjelang usia 30 tahun.

“Alhamdulillah, saya berjaya merea­lisasikan impian tersebut. Saya pergi ke negara ke-30 iaitu Iran, tiga hari sebelum hari lahir saya pada 22 Disember lalu,” katanya.

Menceritakan kembali penga­lamannya sewaktu mula-mula mengembara ke luar negara, Fa­ryha berkata, negara pertama yang menjadi destinasi percutiannya adalah Bandung, Indonesia.

“Waktu itu saya bercuti bersama kawan-kawan selepas tamat pengajian. Kami memilih Bandung kerana tambang penerbangan dan kos percutian di sana amat berpatutan,” imbaunya.

Tidur di tandas

Pengembaraan Fa­ryha ke 30 buah negara itu termasuklah Australia, Belgium, China, Perancis, Jerman, Hong Kong, India, Iran, Itali, Jepun, Macau, Myanmar, Belanda, Korea Selatan, Sepanyol, Sri Lanka, Switzerland, Taiwan, Turki, Emiriyah Arab Bersatu, England dan New Zealand.

“Saya juga tidak melepaskan peluang ke negara-negara di Asia Tenggara meliputi Brunei, Kemboja, Filipina, Singapura, Indonesia, Laos, Thailand dan Vietnam,” katanya.

Faryha memberitahu, kesemua 30 buah negara itu dijelajahi selama lima tahun antara tahun 2013 hingga 2017.

“Kalau boleh setiap bulan saya mahu mengembara ke negara orang tetapi saya buat ikut kemampuan. Lagi pula, kebanyakan destinasi yang saya pergi menerusi laluan yang ditawarkan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia,” jelas anak kedua daripada lima beradik itu.

Ditanya tentang pengalaman manis yang tidak dapat dilupakan, Faryha berkata dia teruja melakukan ziplining di Boracay, Filipina pada Jun 2015 dan terjunan lelabah di Queenstown, New Zealand pada Disember tahun 2016.

“Sebagai seorang yang gayat dan takut terhadap ketinggian, melakukan perkara itu merupakan suatu pengalaman yang cukup berharga.

“Pada masa sama, saya mahu buktikan bahawa individu berbadan besar seperti saya juga boleh melakukan aktiviti ekstrem sedemikian,” katanya.

Cabaran atau kesukaran yang terpaksa dihadapi pula adalah semasa Faryha mengembara secara solo ke Eropah pada tahun 2015.

“Waktu itu, saya terpaksa tidur di dalam tandas di Hamburg, Jerman kerana tersalah beli tiket bas untuk ke Berlin. Dek kerana suhu yang terlalu sejuk selain diselu­bungi perasaan takut untuk tidur seorang diri di stesen bas, saya memutuskan untuk tidur sahaja di tandas sehingga kaunter tiket bas dibuka keesokan harinya. Apabila dikenang semula, rasa kelakar pun ada,” selorohnya.

Itinerari

Berkenaan dengan cara Faryha membiayai percutiannya, wanita bujang yang berasal dari Banting, Selangor itu berkata, dia sentiasa berusaha mencari sumber pendapatan tambahan memandangkan dia datang daripada keluarga sederhana.

“Saya mengusahakan perniagaan sendiri dan sebahagian daripada keuntungan yang diperoleh diperuntukkan untuk melancong.

“Kalau tiada duit mencukupi, saya memang tidak akan ke mana-mana sehinggalah kewangan kembali stabil. Sepanjang tahun lepas juga saya lakukan kerja separuh masa sebagai jurujual,” katanya yang suka mengembara secara solo dan berkumpulan sama ada dengan kawan-kawan atau keluarga.

Dari segi persediaan sebelum bercuti, Faryha mengakui dia tidak membuat rancangan atau itinerari khusus untuk ke destinasi tertentu.

“Namun saya akan membuat penyelidikan tentang destinasi yang ingin dituju semasa menunggu penerbangan.

“Selain itu, untuk ke negara yang sukar mendapatkan makanan halal, saya akan bawa bekalan makanan segera dan sedia dimakan,” kongsinya yang bercita-cita untuk ke 30 buah negara lain dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pengembaraan Faryha boleh diikuti menerusi laman sosial Facebook dan perkongsian gambar Instagram @faryhayakob dan tanda pagar #kekyahholiday.