SIEW KEONG
SIEW KEONG

Di ladang tersebut, dapat dilihat pelepah pokok kelapa sawit kelihatan layu seperti hampir mati. Daunnya yang kering seperti menggambarkan ia seolah-olah berpunca akibat musim kemarau yang sedang melanda kawasan itu.

Bagaimanapun, punca tersebut sebenarnya bukanlah disebabkan faktor cuaca panas dan kering, sebaliknya ia terjadi ekoran serangan sejenis serangga perosak dikenali sebagai ulat bungkus atau bagworm.

Serangan serangga perosak pada tanaman mungkin perkara biasa yang harus dihadapi oleh pengusaha kebun atau ladang, namun ia boleh mendatangkan kesan dan kerugian besar kerana tanaman diusahakan terjejas.

Dilaporkan bahawa kira-kira 13,000 pekebun kecil di seluruh negara mengalami kerugian apabila kebun sawit mereka seluas 33,000 hektar telah diserang ulat bungkus sejak Disember tahun lalu dengan kerugian sebanyak RM120 juta.

Akibatnya, ancaman serangga perosak seperti ulat bungkus itu telah memberi kesan terhadap pengeluaran minyak kelapa sawit di Malaysia. Ini sekali gus bakal merencatkan pertumbuhan nilai eksport minyak kelapa sawit negara dengan kemerosotan hasil tandan sawit antara 33 hingga 47 peratus dalam tempoh dua tahun.

Ulat bungkus atau dikenali sebagai ulat sarong di Indonesia merupakan sejenis serangga perosak yang dilaporkan banyak menyerang dan merosakkan pelepah kelapa sawit.

Terdapat tiga spesies ulat bungkus boleh ditemui di Malaysia iaitu metisa plana, pteroma pendula dan mahasena corbetti.

Jangka hayat

Menurut Ketua Unit Entomologi dan Mikrobiologi, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Mohamed Mazmira Mohd. Masri, serangan ulat bungkus terhadap tanaman kelapa sawit di Malaysia telah lama berlaku sejak lebih 20 tahun lalu.

Bagaimanapun, ulat bungkus jenis metisa plana dan pteroma pendula didapati paling banyak menyerang pelepah kelapa sawit di Semenanjung Malaysia hingga menjejaskan penanaman pokok tersebut.

“Spesies mahasena corbetti pula banyak ditemui di Sabah dan Sarawak,” ujar Mazmira.

Ulat bungkus juga mempunyai saiz fizikal yang berbeza mengikut spesies. Bagi spesies metisa plana dan pteroma pendula, ia mempunyai saiz lebih kecil iaitu sekitar 15 milimeter (mm) berbanding spesies mahasena corbetti, iaitu sekitar 40mm.

Sama seperti kitaran hidup seekor rama-rama, ulat bungkus mempunyai jangka hayat tertentu bergantung kepada spesiesnya.

Bagi ulat bungkus spesies metisa plana, jangka hayatnya adalah selama 90 hari bermula daripada menetas hingga menjadi larva dewasa. Ulat bungkus daripada spesies pteroma pendula dan mahasena corbetti pula masing-masing mempunyai jangka hayat selama 40 hari dan 120 hari.

Panggilan ulat bungkus diberikan kepada serangga tersebut kerana keadaan ulat itu yang berbungkus di dalam kelongsong yang diperbuat daripada daun kelapa sawit.

Bercerita lebih lanjut, Mazmira menjelaskan, larva ulat bungkus membesar di dalam sarung yang juga diperbuat daripada daun sawit.

Masalah timbul apabila larva ulat bungkus turut memakan daun sawit sehingga mengakibatkan terbentuknya lubang-lubang pada permukaan daun sawit. Ini menjadikan daun tersebut kering dan reput.

“Berdasarkan rekod yang dibuat oleh MPOB, ulat bungkus memang banyak menyerang pelepah pokok kelapa sawit dan akan bertelur serta membiak,” kata Mazmira sewaktu ditemui kru Panorama.

Jantan dan betina

Seekor ulat bungkus betina metisa plana mampu menghasilkan telur antara 100 hingga 300 biji, manakala bagi spesies pteroma pendula (64 biji telur) dan mahasena corbetti pula mampu bertelur antara 1,000 hingga 3,000 biji.

Sebelum menjadi matang, larva ulat bungkus terlebih dulu akan menjadi pupa atau kepompong untuk berehat dan tidak memakan daun sawit.

Melalui proses kitaran hidup, ulat bungkus jantan akhirnya menjadi rama-rama dan akan meninggalkan ‘sarang’, manakala bagi ulat bungkus betina, ia akan kekal di dalam kepompong.

Ulat bungkus betina akan menghasilkan sejenis bau ketika berada di dalam kepompong bertujuan menarik perhatian ulat jantan yang telah bertukar menjadi rama-rama untuk bertelur dan akhirnya mati.

Serangga tersebut tidak mendatangkan masalah kepada manusia berbanding ulat bulu yang boleh mengakibatkan kegatalan pada kulit.

Bagaimanapun, populasi ulat bungkus yang tidak terkawal boleh menimbulkan masalah serius terhadap penanaman kelapa sawit dan ia perlu dibendung bagi mengelakkan masalah berlarutan.

Terdapat pengusaha ladang dan pekebun kecil di Malaysia tidak mengambil langkah-langkah pengawalan yang sewajarnya terhadap serangan ulat bungkus sehingga mengakibatkan ia merebak ke kawasan-kawasan lain.

Hal ini kerana, ulat bungkus yang kecil dan ringan mudah tersebar ke lokasi lain termasuk melalui tiupan angin, selain dibawa oleh lori-lori yang keluar masuk mengangkut buah kelapa sawit dari ladang.

Inisiatif

Bagi membantu menyelesaikan masalah dihadapi oleh pekebun kecil di seluruh negara, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM12.4 juta untuk pelaksanaan kawalan ulat bungkus yang telah diumumkan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Dalam satu kenyataannya kepada media baru-baru ini, Siew Keong berkata, kerajaan menerusi MPOB komited dalam membantu kira-kira 13,000 pekebun kecil di seluruh negara yang terjejas akibat serangan ulat bungkus memandangkan ia merupakan suatu ancaman serius.

Menurut Siew Keong, kementerian memandang serius ancaman ulat bungkus kerana ia telah menjejaskan pengeluaran dan produktiviti pokok sawit sehingga 50 peratus membabitkan kerugian melebihi RM120 juta setahun.

Katanya lagi, pihak MPOB telah melakukan pemetaan kawasan tanaman sawit yang terjejas dan mula melakukan semburan kawalan bersepadu di ladang kelapa sawit secara percuma sejak awal tahun ini bagi mengelak masalah menjadi lebih sukar.

Penggunaan racun perosak kimia secara tidak terkawal juga menjadi salah satu punca pembiakan ulat bungkus.

Ini sebabkan kurangnya serangga bermanfaat yang sepatutnya turut membantu dalam mengawal populasi ulat perosak tersebut.

Ulat bungkus mudah membiak dengan cepat dengan menghasilkan telur yang banyak dan perlu dikawal bagi mengelakkan masalah serius terhadap serangan pada pokok kelapa sawit negara.