Sejak empat tahun lalu, Devesh Adivasi sering dilihat bermain dengan ular di halaman rumahnya sekiranya tidak bersekolah.

Persahabatan unik antara Devesh dengan reptilia berkenaan menyebabkan bapanya, Raghunath Adivasi, 45, dan ibunya, Muniya Adviasi, 38, berada dalam ketakutan kerana mereka sukar memisahkan anak tunggal mereka itu daripada ular.

Devesh tidur, mandi serta makan dengan ular, malahan turut menyapu badan reptilia berkenaan dengan minyak.

Raghunath berkata, mereka telah mencuba pelbagai cara untuk memisahkan anaknya dengan ular berkenaan.

Mimpi ular

“Kami telah menjelaskan kepada Devesh bahawa ular tidak boleh dijadikan sebagai kawan.

“Ular amat berbahaya, namun dia tidak pernah mendengar kata-kata kami,” katanya.

Jelasnya lagi, segalanya bermula empat tahun lalu selepas Devesh terjaga daripada tidur selepas bermimpi tentang ular.

“Kami tidak menghiraukan kata-katanya ketika itu, namun keesokan paginya dia pergi ke hutan dan pulang membawa dua ekor ular.

“Kami terkejut selepas mendapati dia bermain dengan ular-ular berkenaan.

“Ular-ular itu berlingkar di sekeliling badannya, namun tidak mematuknya,” kata Raghunath.

Menurut Raghunath, anaknya menangkap ular dari hutan sebelum menyimpan dan bermain dengannya selama beberapa hari.

“Dia kemudian akan melepaskan semula ular-ular itu ke dalam hutan.

“Dia kemudian masuk ke hutan dan membawa pulang ular yang lain,” katanya.

Devesh berkawan dengan sekurang-kurang 15 ekor ular menyebabkan penduduk kampung tidak membenarkan anak-anak mereka mendekatinya.

Berasa takut

Begitupun, ramai menganggap persahabatan Devesh dengan ular sebagai sesuatu yang unik.

Seorang penduduk, Yogendra Pratap Singh Bundela berkata, selepas melihat Devesh bermain dengan ular selama empat tahun, ia tidak lagi mengejutkan masyarakat di situ.

“Kami tahu ular-ular berkenaan tidak akan mencederakannya.

“Bagaimanapun, kanak-kanak lain takut dan tidak mendekatinya ketika Devesh bermain dengan ular.

“Begitupun, kami tidak kisah jika anak-anak kami bermain dengannya di sekolah,” katanya.

Devesh tidur, mandi serta makan dengan ular, malahan turut menyapu badan reptilia berkenaan dengan minyak.