Bagaimanapun, disebabkan kesun­tukan masa dan kesukaran untuk mencari tukang jahit yang sesuai, mereka kemu­dian mengambil pendekatan untuk membeli sahaja baju-baju tersebut.

Biarpun begitu, golongan ini sering berhadapan dengan masalah berbangkit apabila baju-baju yang dibeli kadangkala tidak mengikuti potongan badan mereka hingga terpaksa dihantar semula ke kedai untuk diubah suai.

Memahami dilema yang sering dialami orang ramai, dua orang jurutera, Daniel Chua dan Daniel Loo tampil memperkenalkan konsep tempahan baju khas secara dalam talian dikenali sebagai Custlr.

Menurut Daniel Chua, 30, idea untuk menghasilkan tempahan baju menerusi aplikasi Custlr yang dibangunkan mereka berdua sebenarnya datang daripada pe­ngalamannya sendiri yang sering menghadapi kesukaran untuk membeli pakaian pada ukuran betul.

“Idea ini timbul ekoran masalah yang sering dialami saya ketika membeli pa­kaian terutamanya secara dalam talian.

“Ini kerana kebanyakan baju yang dibeli tidak mengikut potongan badan yang betul, selain penggunaan fabrik yang berlainan daripada gambar yang ditunjukkan,” jelasnya.

Ujarnya lagi, keadaan tersebut me­nguatkan lagi semangatnya untuk mewujudkan aplikasi tempahan baju secara dalam talian.

Lebih-lebih lagi apabila melihatkan industri fesyen dalam talian yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan ge­nerasi hari ini.

Bagaimanapun, Daniel tampil dengan idea baharu apabila dia memperkenalkan industri fesyen secara tempahan khas yang membolehkan individu mendapatkan baju mengikut ukuran badan yang betul.

Kertas A4

Tambahnya, orang ramai hanya perlu membuat tempahan baju dengan mema­sukkan ukuran badan mereka pada aplikasi tersebut.

“Tempahan itu kemudian akan dihantar ke tukang jahit profesional dan disiapkan dalam tempoh sembilan hari sebelum dihantar di hadapan rumah,” jelasnya.

Menariknya mengenai aplikasi tem­pahan baju yang diperkenalkan oleh dua sahabat ini adalah, ukuran baju dilakukan dengan kaedah memuat naik gambar pembeli bersama kertas saiz A4 yang diletakkan di bahagian hadapan dan juga sisi.

Jelasnya, kaedah yang digunakan itu bukan sahaja mudah, malahan ukuran badan pembeli yang tepat secara automatik akan diperoleh berdasarkan kiraan algoritma yang dicipta oleh kedua-dua sahabat ini.

“Konsep ini tidak pernah digunakan oleh mana-mana tukang jahit di negara ini kerana pada kebiasaannya, tukang jahit akan mengukur sendiri badan individu sebaik datang ke kedai.

“Walaupun ramai yang meragui ketepatan ukuran tersebut, namun setakat ini kesemua ukuran yang dilakukan menggunakan algoritma tersebut adalah tepat,” jelasnya.

100 helai

Biarpun begitu, menurut Daniel lagi, selain ukuran menggunakan algoritma daripada kertas A4, mereka juga turut menggunakan kaedah tradisional yang mana pelanggan boleh memasukkan ­ukuran badan mereka mengikut ukuran dibuat menggunakan pita pengukur.

Bukan itu sahaja, individu boleh mereka sendiri pakaian tersebut dengan memilih mana-mana rekaan disukai pada aplikasi tersebut, selain memilih jenis fabrik dan juga warna.

“Memandangkan Custlr baru sahaja beroperasi tiga bulan lalu, kami kini hanya memfokuskan baju untuk golongan lelaki yang dijual pada harga serendah RM79.

“Bagaimanapun kami merancang untuk melebarkan sayap perniagaan dengan menghasilkan pakaian wanita pada masa depan,” jelasnya.

Ujarnya lagi, sepanjang tiga bulan beroperasi, Custlr telah menerima hampir 100 helai tempahan baju yang keba­nyakannya adalah baju Melayu.