UiTM FC tidak menunggu lama untuk membuat impak dalam saingan liga domestik apabila mereka menamatkan cabaran di tangga ketiga Liga Premier 2012. Rezeki ternyata memihak UiTM FC apabila mereka dinaikkan pangkat untuk bersaing dalam kancah Liga Premier 2013 bagi menggantikan tempat USM FC yang menarik diri ekoran masalah kewangan.

Selepas lima musim bersaing dalam liga kedua terbaik negara itu, UiTM FC kini dilihat lebih matang bagi mengharungi cabaran lebih kompetitif. Tahun 2017 juga boleh dianggap sebagai musim terbaik UiTM FC atau digelar The Lions Troops dalam kempen Liga Premier apabila mereka berada di tangga keenam.

Lebih manis, UiTM FC melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kali berjaya melayakkan diri pada saingan Piala Malaysia musim lalu.

Pastinya, UiTM FC yang mendapat bimbingan Wan Mustaffa Wan Ismail mahu memperbaiki pencapaian musim lalu bagi mengharungi kempen kali ini.

Menyedari tanggungjawab besar yang diamanahkan oleh pihak pengurusan pasukan, Wan Mustaffa telah merangka beberapa strategi baharu memandangkan saingan Liga Premier musim ini semakin kompetitif dengan kehadiran Felda United dan Pulau Pinang.

Sasaran UiTM FC

Menurutnya, pihak pengurusan telah meletakkan sasaran untuk menduduki tempat kedua Liga Premier, mara ke pusingan kedua Piala Malaysia dan layak ke peringkat suku akhir Piala FA musim ini.

“Ini adalah satu cabaran besar bagi semua pemain dan kami perlu memikul tanggungjawab ini bersama-sama. Biarpun tidak mempunyai pemain ternama dan berstatus bintang, saya percaya mereka akan cuba mempamerkan corak permainan menarik dan berkualiti,” katanya kepada Rembat Kosmo! baru-baru ini.

Bagi memperkemaskan UiTM FC musim ini, Wan Mustaffa telah mengekalkan beberapa muka lama, antaranya Anwarul Hafiz Ahmad (penyerang), Muhammad Azam Jais (penjaga gol), Mohd. Alifikhwan Mazlan (pertahanan), Muhammad Nursalam Zainal Abidin (tengah) dan Mohammad Amer Azahar (tengah).

Pada masa yang sama, Wan Mustaffa memberi peluang kepada lima pemain Piala Presiden iaitu Muhammad Azfar Arif Mohd. Sukri (penjaga gol), Wan Mohamad Fatah Wan Ali (pertahanan), Muhammad Adib Rosli (tengah), Muhammad Al Imran Abdul Halim (pertahanan) dan Muhammad Rafie Mat Yaacob (penyerang).

Beliau turut membawa masuk enam pemain baharu iaitu Nur Areff Kamaruddin (tengah), Mohd. Yusri Abas (penyerang), Muhammad Zulkhairi Zulkeply (penyerang) dan Muhammad Nuzul Iman Nurallail (tengah) selain dua awang import - Kota Kawase (Jepun, pertahanan), Lucas Pugh (Argentina, penyerang).

Kedua-dua pemain import itu dipilih bagi menggantikan tempat dua bintang UiTM FC iaitu Akanni-Sunday Wasiu dari Nigeria dan Do Dong Hyun (Korea Selatan) yang memilih haluan baharu musim ini.

Pada masa yang sama, Wan Mustaffa masih mengekalkan pemain tengah kelahiran Ivory Coast, Dechi Marcel N’Guessan.

“Kehadiran kedua-dua pemain itu amat penting bagi kami untuk menguatkan jentera serangan dan membina benteng pertahanan yang lebih kuat agar tidak mudah diratah pihak lawan.

“Mereka masih mencari keserasian dan saya jangkakan mereka tidak akan mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri selain mengharapkan kerjasama yang baik daripada pemain-pemain sedia ada,” jelasnya.

Bagi menguji kemantapan barisan pemain, UiTM FC telah mengadakan empat siri perlawanan persahabatan pramusim di Indonesia awal bulan ini.

Selain aksi pramusim di Indonesia, skuad The Lions Troops turut berpeluang menguji kemampuan dengan dua pasukan tempatan iaitu Perak dan Sarawak serta kelab Singapura, Geylang International FC.

“Apa yang lebih penting adalah pengalaman beraksi dengan pemain luar kerana semua pemain dapat mengenal pasti kelemahan masing-masing selain belajar teknik-teknik baharu.

“Saya lihat masih terdapat sedikit kelemahan yang perlu di atasi segera dan semua pemain telah mengetahui tugas masing-masing di setiap posisi,” katanya.