Berdasarkan manifesto itu, PH akan mengiktiraf UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.

Ini bermakna, sijil UEC akan dinilai setaraf dengan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Ternyata, cadangan untuk menyamaratakan UEC dengan peperiksaan awam yang lain telah mengundang rasa tidak senang hati dalam kalangan pelbagai pihak.

Apa sebenarnya UEC ini? Secara ringkasnya, UEC diwujudkan oleh Dong Jiao Zong (Persatuan Guru dan Pengarah Sekolah Cina) yang turut dikenali sebagai Dong Zong sejak tahun 1975 dan merupakan sijil yang diguna pakai oleh Sekolah Menengah Persendirian Cina.

UEC mempunyai tiga tahap iaitu Vokasional (UEC-V), Junior (UEC-JML/JUEC) dan Senior (UEC-SML/SUEC) dengan bahasa Cina dijadikan bahasa pengantar bagi kurikulum dan peperiksaan UEC-V dan UEC-JML.

Penolakan

Bagi mata pelajaran Matematik, Sains (termasuk Biologi, Kimia dan Fizik), Akaun dan Perdagangan, bahasa pengantarnya ialah bahasa Cina dan Inggeris.

Kesukaran UEC-SML adalah hampir sama dengan A-level kecuali bahasa Inggeris.

Justeru, ia diakui sebagai kelayakan kemasukan oleh kebanyakan universiti luar negara seperti di Singapura, Australia, Taiwan, China dan sesetengah negara Eropah.

Antara universiti yang menerima UEC sebagai kelayakan asas adalah Universiti Oxford dan Universiti Cambridge di England; Universiti Kebangsaan Australia, Universiti Kyoto (Jepun), Institut Teknologi California (Amerika Syarikat) dan Universiti Peking (China).

Berbeza di negara ini, kerajaan tidak mengiktiraf UEC sebagai kelayakan kemasukan ke IPTA walaupun ia diterima oleh sebahagian besar kolej pengajian swasta.

Jadi, apakah yang menjadi punca banyak pihak menolak cadangan Kementerian Pendidikan untuk mengiktiraf UEC sebagai syarat am kemasukan ke IPTA jika universiti luar negara menerimanya?

Menurut Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa, penolakan UEC bukan hanya kerana ia diurus tadbir oleh Dong Zong yang berorientasikan kaum Cina, tetapi adalah disebabkan beberapa faktor lain yang dianggap lebih serius.

Kata Zambri, Dong Zong hanya sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang didaftarkan mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan bukannya sebuah badan berkanun seperti Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

“Sekiranya kerajaan mengiktiraf UEC, kita bimbang ia akan menjadi platform oleh mana-mana NGO untuk memperkenalkan sijil peperiksaan mereka sendiri.

“Akhirnya, kerajaan juga terpaksa menerima sijil peperiksaan yang diperkenalkan oleh NGO tersebut seperti mana desakan oleh Dong Zong agar kerajaan mengiktiraf UEC sebelum ini,” katanya.

Jelas Zambri lagi, kurikulum UEC juga tidak bersandarkan kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berteraskan soal perpaduan dan semangat patriotisme cintakan negara, sebaliknya melebihkan kurikulum yang diciplak daripada China serta Taiwan.

“Dong Zong sepatutnya lebih bersikap terbuka dengan melakukan transformasi terhadap sistem peperiksaan UEC mengikut sistem yang telah digariskan Dasar Pendidikan Negara.

“UEC boleh mengikut jejak langkah sijil peperiksaan sekolah agama yang telah melalui transformasi dan dikenali sebagai STAM selepas peperiksaan itu diurus tadbir oleh sekolah agama negeri sebelum diletakkan di bawah LPM.

“Selepas diletakkan di bawah LPM, barulah STAM diiktiraf untuk kemasukan ke IPTA dan sektor awam,” katanya.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad pula berpendapat, Malaysia akan hilang identiti yang menyatukan masyarakat majmuk di negara ini sekiranya ada dalam kalangan rakyatnya yang masih gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik jika UEC masih tidak melaksanakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

“UEC bukan satu isu perkauman tetapi ia merupakan satu kebimbangan berkaitan identiti negara dan perpaduan dalam kalangan rakyat kerana bahasa serta sejarah merupakan asas kepada perpaduan rakyat dan identiti sesebuah negara,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh bersetuju dengan cadangan PH untuk mengiktiraf UEC selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpinnya itu bergabung dengan parti lain dalam blok pembangkang sebelum ini.

Pusingan U

Sedangkan katanya, tokoh politik yang diangkat sebagai negarawan itu merupakan antara individu yang bertegas dengan pendirian untuk menolak pengiktirafan UEC sebagai kelayakan masuk ke universiti awam ketika menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri buat pertama kali sebelum ini.

Ternyata, isu berkaitan UEC sepertinya tidak akan padam begitu sahaja, sementelah Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik ketika Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pendidikan yang diadakan 12 Julai lalu menegaskan bahawa PH tidak akan membuat pusingan U terhadap isu UEC kerana ia terkandung dalam manifesto yang telah dijanjikan kepada rakyat dalam PRU-14 yang lalu.

“Kami akan pastikan apa pun dasarnya, keputusan yang kami buat tidak akan ada pusingan U. Kami tidak bercanggah kerana kami bersetuju dengan manifesto berkenaan.

“Apa saja polisi yang dibuat dan keputusan diambil mesti holistik,” katanya.

Cuma, pasti ramai yang berharap agar Ahli Parlimen Simpang Renggam daripada PPBM itu berpegang kepada kata-kata bahawa kementerian yang diterajuinya itu tidak akan menggadaikan bahasa Melayu seperti yang dibimbangi oleh banyak pihak.

Malah kata Maszlee, kajian yang holistik akan dilakukan sebelum membuat sebarang keputusan berhubung pengiktirafan UEC.

Penulis juga percaya, sekiranya bahasa Melayu dan sejarah Malaysia diangkat sebagai mata pelajaran yang wajib lulus oleh semua calon UEC, maka kebimbangan yang dirasai banyak pihak selama ini mungkin akan menjadi kendur.