Meskipun pahit untuk ditempuhi itulah hakikat yang terpaksa diterima seorang bekas juruteknik komunikasi perhubungan, Muhamad Yusoff Japar, 45, selepas kilang tempatnya mencari sesuap nasi ditutup pada Disember 2014.

Anak jati Johor Bahru, Johor itu telah hampir dua dekad berkelana di ibu kota mencari rezeki demi menyara keluarga kecilnya.

Selepas kilang semikonduktor berasaskan elektronik itu ditutup berikutan syarikat berpindah ke negara China, dunia bagaikan gelap seketika buat Muhamad Yusoff.

“Saya rasa kehidupan kelam seketika kerana hilang pekerjaan namun, saya tetap bersyukur sebab pihak syarikat membayar pampasan lebih RM70,000.

“Saya tersenyum lebar menerima pampasan itu, namun tetap sakit kepala memikirkan masa depan keluarga. Duit sebanyak itu kalau dibelanjakan sekejap sahaja habis,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Jelas bapa kepada empat orang anak itu, dia mula mengatur langkah dengan berjinak-jinak mengusahakan penternakan udang kara atau lebih dikenali sebagai lobster air tawar.

Bekas pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor itu nekad melabur kesemua wang pampasan itu dengan mengusahakan ternakan udang kara di atas tanah seluas 12 hektar yang disewa di Plot 23, Projek Tanaman Penggeli Kecil, milik Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Bandar Tenggara, Kulai, Johor.

“Sebelum ini, tanah tersebut diusahakan oleh sebuah syarikat penternakan ikan air tawar iaitu ikan keli dan udang namun, mereka ia tidak tahan lama.

“Jadi saya anggap ia masa dan peluang terbaik ubah nasib hidup dengan mengusahakan penternakan udang kara air tawar ini.

“Saya mula mengusahakan projek ini pada Julai 2015 iaitu selepas hampir dua tahun menganggur,” katanya.

Ternyata percubaan Muhamad Yusoff membuahkan hasil apabila kolam menternak udang kara atau nama saintifiknya Cherax quadricarinatus berjaya dan kini terdapat 38 buah kolam.

Ia membuatkan lelaki itu tersenyum lebar kerana penat lelah tersebut mendatangkan hasil pulangan yang lumayan sehingga mencecah RM25,000 sebulan.

“Alhamdulillah saya bersyukur dengan berkat kesabaran dan usaha keras saya selama ini, Allah membuka pintu rezeki buat saya dan keluarga,” katanya.

Benih

Menurut Muhamad Yusof, dia memilih untuk mengusahakan penternakan udang kara ekoran gemar memancing udang dan ikan.

Katanya, bermula daripada minat itulah tercetusnya dia menternak udang kara air tawar selain dorongan daripada abangnya yang bekerja dengan Jabatan Perikanan.

“Abang beritahu masih tidak ramai yang mengusahakan udang kara di negara kita, jadi saya ambil peluang tersebut.

“Saya mula buat kajian dan timba ilmu melalui carian di internet serta merujuk Jabatan Perikanan bagi mendapatkan maklumat lanjut cara-cara untuk membela udang ini serta proses mengendalikan kolam yang lebih komersial,” katanya.

Selepas itu, Muhamad Yusoff menemui seorang pengusaha penternakan udang kara di Kluang untuk mendapatkan benih.

Jelasnya, menternak udang kara air tawar ini lebih mudah berbanding udang lain selain kosnya lebih rendah.

Muhamad Yusoff berkata, udang lain seperti udang harimau, galah, kertas dan putih besar memerlukan penjagaan rapi iaitu kandungan oksigen yang tinggi.

Jika dibandingkan dengan udang kara, hidupan itu boleh diternak tanpa menggunakan peralatan seperti mesin pengudaraan.

Penjagaan

Malah, udang kara air tawar tidak mudah dijangkiti penyakit selain mampu hidup tiga hingga empat jam tanpa air.

Menurutnya, proses membela udang kara juga cukup mudah.

Sebelum benih diletakkan di dalam kolam, Muhamad Yusoff dan seorang lagi pekerjanya, Sahanan Utih, 36, akan memastikan kandungan pH air kolam sesuai untuk ketahanan udang tersebut.

“Setelah kandungan air kolam neutral, kita akan memasukkan benih ke dalam kolam.

“Proses penjagaannya pula cukup senang, kita akan memberi makan dedak dalam bentuk palet dan sayuran dua kali sehari.

“Selain itu, kita meletakkan pelepah kelapa sawit ke dalam kolam bagi dijadikan tempat udang bersarang dan berlindung kerana haiwan ini gemar bersembunyi,” katanya yang bermula dengan 10,000 ekor benih udang kara.

Ujarnya, udang kara juga tidak mudah diserang penyakit cuma penternak berdepan masalah haiwan perosak seperti biawak, memerang serta ikan haruan.

Muhammad Yusoff paling bimbang ikan haruan kerana hidupan itu merupakan pemangsa kepada udang kara air tawar.

“Ikan haruan biasanya akan memasuki kolam dengan menggelongsor ataupun mengorek tanah sebelum masuk ke dalam kolam dan memakan udang kara ini,” katanya.

Bagi mengelakkan serangan haiwan perosak ini, Muhamad Yusoff memasang pengadang atau tembok di sekeliling kolam.

Selain itu, dia akan mengawal pembiakan ikan haruan dengan menangkapnya melalui proses pengeringan air kolam.

Dalam tempoh pembesaran, udang kara akan melalui beberapa proses salin cengkerang atau kulit kerana cengkerang lama tidak mampu menampung saiz mereka yang membesar.

Induk betina bersaiz antara tiga ke empat inci manakala saiz induk jantan pula empat inci ke atas.

Pasaran

Muhamad Yusoff berkata, setiap induk betina mampu mengeluarkan telur antara 80 hingga 300 biji setiap kali bertelur.

Udang kara mampu membesar sehingga 10 inci seekor dalam tempoh setahun.

Namun katanya, dia menternak udang kara dalam tempoh lima ke enam bulan sebelum hasil ternakan dituai atau udang dewasa mencecah saiz tiga ke empat inci.

“Selepas dituai kita akan mengasingkan udang kara betina yang bertelur untuk dijadikan induk, manakala udang kara dewasa yang lain dikelaskan mengikut saiz.

“Udang kara akan dijual kepada pemborong atau peniaga dengan harga RM50 hingga RM65 sekilogram,” katanya.

Muhamad Yusoff memberitahu, setiap bulan dia mampu menuai hasil antara 200 hingga 400 kilogram yang akan dipasarkan kepada pemborong serta pemilik restoran sekitar Johor.

Malah, udang kara miliknya dipasarkan ke beberapa buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang serta mendapat permintaan tinggi di luar negara seperti Singapura, Brunei, Thailand serta China

Udang kara air tawar merupakan antara makanan mendapat permintaan tinggi di negara ini.

Selain rasa isinya yang enak, ia mengandungi protein yang tinggi, rendah lemak dan kalori rendah.

Maka, tidak hairanlah sajian yang disediakan berasaskan udang kara ini sentiasa diminati penggemarnya.

Menurut seorang pengusaha Restoran Kobong di Bandar Penawar, Kota Tinggi, Mohd. Safuan Senan, 33, menu udang kara masak sambal pecah telur dan masak lemak cili api antara juadah yang sering menjadi pilihan pelanggan yang bertandang ke restorannya.

“Memang ramai yang akan menempah masakan berasaskan udang kara seperti masak sambal pecah telur dan masak lemak cili api apabila datang ke restoran kami.

“Kebanyakan mereka adalah pelancong sama ada dari luar Johor atau Seberang Tambak,”katanya.