Bukan sahaja sampah, malah pelbagai jenis objek keras dan berbahaya seperti televisyen, kaca, botol, kerusi dan meja dicampakkan tanpa rasa bersalah atau bimbang sekiranya terkena orang lain.

Sikap tidak bertamadun itu akhirnya mengundang malapetaka besar apabila seorang remaja lelaki berusia 15 tahun maut selepas ditimpa sebuah kerusi dipercayai dicampak dari tingkat atas bangunan Blok 102, PPR Seri Pantai di Pantai Dalam, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pakar Psikologi Universiti Malaya, Prof. Madya. Dr. Mariani Md. Nor berkata, masalah ini masih berterusan disebabkan kurangnya kesedaran dan mentaliti rendah segelintir penduduk di perumahan PPR.

Katanya, pelbagai program bertujuan menyebarkan kesedaran mengenai sikap suka membuang sampah dari tingkat atas telah banyak diadakan tetapi perangai mereka masih di takuk lama.

“Semua pihak termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan penduduk perlu memainkan peranan, bukannya menyalahkan sebelah pihak sahaja.

“Kita berhadapan dengan golongan mereka yang mempunyai mentaliti kelas ketiga dan kebanyakannya tidak berpelajaran tinggi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Bagaimanapun, katanya, taraf pendidikan bukanlah ukuran yang tepat untuk menggambarkan sikap seseorang.

Jelasnya, pendidikan terbaik adalah di rumah iaitu ibu bapa sendiri.

Didikan

Ujarnya, ibu bapa perlu memainkan peranan besar dalam mendidik ahli keluarga masing-masing supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri sendiri.

“Jika ada ahli keluarga menunjukkan perlakuan yang buruk seperti buang sampah di merata-rata tempat, ia akan menjadi ikutan anak-anak kerana mereka mempelajari dan mengikuti perangai seseorang itu melalui pemerhatian,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Wan Muhammad Ghazali Nor berkata, beliau turut terkejut dengan insiden yang berlaku pada minggu lalu itu.

Bagaimanapun, dia mengakui perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut bukan perkara baharu.

“Pihak DBKL bersimpati dengan kejadian yang menimpa keluarga mangsa. Kejadian buang atau baling sampah dan objek dari tingkat atas memang berlaku di ibu kota.

“Mengikut undang-undang kecil perumahan, mereka tidak boleh lakukan perkara itu dan notis amaran pernah kami berikan,” katanya.

Jelas Wan Muhammad, susulan kejadian berkenaan, pihak DBKL akan menjalankan kempen kesedaran dalam kalangan penghuni PPR.

Selain itu, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang masih mengamalkan sikap tidak bertanggungjawab tersebut.

“Meskipun ia bukan penyelesaian kepada masalah utama. Kami harap sikap seum­pama ini dapat dihapuskan kerana ia bukan sahaja membahayakan orang lain, malah boleh meragut nyawa,” ujarnya.

Dalam pada itu, pihak DBKL sedang me­lakukan kerja-kerja pemasa­ngan jaring di kawasan PPR di Kuala Lumpur dalam usaha mempertingkatkan tahap keselamatan penghuninya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, langkah itu bagi memastikan kejadian berkenaan tidak ber­ulang.

Menurutnya, pemasangan jaring itu akan merangkumi sebanyak 494 buah blok PPR di sekitar Kuala Lumpur yang melibatkan kira-kira 80,000 unit rumah.

“Ini merupakan kes kematian pertama seumpamanya tetapi tindakan membuang barang dari tingkat atas bangunan sudah berkali-kali berlaku.

“Oleh itu, jaring perlu dipasang dan kos dibiayai DBKL. Sebahagian tempat sudah dimulakan kerja pemasangan jaring di bawah blok-blok PPR terutama di kawasan yang dikenal pasti mempunyai masalah berkenaan,” ujarnya.