Kosmo! Ahad: Boleh Dr. ulas secara terperinci tentang kajian Tempat Kerja Paling Sihat 2017 oleh AIA Vitality yang dijalankan oleh Prof. bersama AIA Bhd?

DR. WEE LEI Hum: AIA sebagai sebuah syarikat insurans antarabangsa mahu menjalankan kajian tentang tempat kerja paling sihat berdasarkan bukti dan data sebenar. Kajian sebegini sebenarnya terlebih dahulu dibuat di United Kingdom pada tahun 2013. Memandangkan data yang diperoleh menerusi kajian itu adalah saintifik, AIA mengambil pendekatan untuk menjalankan kajian sama di Malaysia pada tahun lalu dan akan diteruskan pada tahun ini dengan lebih banyak syarikat lain. AIA kemudian mendekati saya untuk bekerjasama dalam kajian tersebut sebagai pakar rujuk. Di Malaysia, sebanyak 47 buah syarikat mengambil bahagian melibatkan 5,369 orang pekerja. Setiap organisasi yang mengambil bahagian akan menerima laporan yang menyeluruh yang menggariskan tahap kesihatan sesebuah organisasi dan syor-syor praktikal bagaimana mereka boleh meningkatkan tahap kesihatan dan produktiviti di tempat kerja masing-masing.

Melalui kajian tersebut, apakah punca utama yang menjadikan pekerja di Malaysia kurang produktif biarpun mereka bekerja lebih lama?

Dalam kajian itu, didapati bahawa tenaga kerja Malaysia secara amnya tidak sihat. Sebanyak 64 peratus daripada responden juga didapati tidak aktif secara fizikal, 90 peratus mempunyai diet yang tidak seimbang dan 53 peratus mengalami tekanan yang berkaitan hal-hal kerja. Masalah kesihatan sebegini menjejaskan produktiviti pekerja. Sebenarnya, tiada satu sebab utama yang menyebabkan mengapa pekerja-pekerja di Malaysia menjadi kurang produktif. Semua sebab berkait antara satu sama lain, menyebabkan produktiviti di tempat kerja terjejas. Contohnya, jika seseorang mempunyai penyakit kronik, ia sudah tentu sekali akan menjejaskan kualiti hidup. Kajian ini juga menunjukkan bahawa rakyat Malaysia tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat. Contoh situasi yang boleh saya berikan ialah waktu kontrak bekerja biasanya selama lapan jam. Data yang diperoleh daripada kajian ini menunjukkan pekerja-pekerja di Malaysia bekerja tiga jam lebih lama setiap hari. Ini bermakna, waktu petang dihabiskan di pejabat sedangkan waktu tersebut sepatutnya digunakan untuk bersenam atau beriadah bersama rakan-rakan dan ahli keluarga. Secara fizikal, pekerja berada di tempat kerja, namun secara mental, pekerja sudah letih, seterusnya tiada masa untuk bersenam. Apabila kita pulang kerja lewat, makan malam juga akan menjadi lewat, seterusnya menjadikan kita terdedah dengan masalah-masalah kesihatan lain seperti obesiti yang juga akan menjejaskan kesihatan untuk jangka masa yang panjang. Penyakit-penyakit seperti inilah yang menyebabkan produktiviti di tempat kerja terjejas.

Dalam tempoh setahun, berapakah jumlah hari tidak produktif yang direkodkan dalam kajian ini?

Tinjauan mendapati, secara puratanya, majikan kehilangan 67 hari produktif akibat masalah presentism iaitu pekerja yang muncul bekerja walaupun mereka tidak sihat dan juga absentism iaitu pekerja yang mengambil cuti akibat tidak sihat. Keputusan menunjukkan bahawa 58.8 hari adalah disebabkan oleh presentism, manakala 8.2 hari adalah disebabkan oleh absentism.

Pekerja yang kurang produktif juga akan merugikan syarikat. Berdasarkan kajian sama, berapakah jumlah kerugian dari segi wang ringgit akibat masalah produktiviti pekerja di Malaysia?

Menerusi kajian sama, jumlah kerugian dari segi nilai wang ringgit dianggarkan sebanyak RM2.7 juta bagi setiap organisasi dan ini sememangnya satu jumlah yang cukup besar.

Rata-rata pekerja dilihat sedar produktiviti mereka terjejas akibat bekerja lebih masa. Contohnya, mereka berasa letih dan sukar untuk fokus ketika bekerja, namun masih juga muncul di pejabat. Apakah yang menyebabkan perkara ini berlaku dan bagaimanakah ia boleh diatasi?

Kajian penyelidikan menunjukkan bahawa kehadiran pekerja tidak produktif sering dikaitkan dengan dasar tempat kerja yang telah dilaksanakan untuk mengurangkan ketidakhadiran. Saya melihat, majikan rata-ratanya lebih memfokuskan kepada empty chairs yang merujuk kepada absentism atau ketidakhadiran daripada melihat kepada masalah utama yang menjejaskan produktiviti iaitu pekerja yang hadir biarpun tidak sihat. Tuntutan kerja juga memainkan peranan, dengan beban kerja yang berat, kekurangan tenaga kerja, bekerja lebih masa dan tarikh akhir menyiapkan kerja memotivasikan semua orang untuk bekerja walaupun mereka sakit. Setakat ini, tidak banyak tumpuan diberikan terhadap peranan majikan dalam memperjuangkan kesihatan dan kesejahteraan pekerja di pejabat. Oleh itu, ini merupakan masa yang tepat buat majikan untuk melihat dengan lebih dekat tahap kesihatan dan kesejahteraan pekerja, seterusnya berbekalkan data kajian ini, syarikat boleh menyediakan program intervensi proaktif yang boleh memberi perubahan tingkah laku positif dalam kalangan pekerja.

Apakah nasihat Dr. kepada individu yang mahu meningkatkan produktiviti dalam pekerjaan?

Menurut kajian ini, jelas bahawa bekerja lebih lama tidak semestinya memberikan lebih produktiviti. Bagi membantu produktiviti, seseorang itu haruslah belajar untuk mengubah gaya hidup mereka. Begitu pun, ia perlulah dilakukan secara berperingkat kerana gaya hidup melibatkan tabiat dan tabiat sememangnya amat sukar untuk diubah. Perubahan tingkah laku dan tabiat memerlukan masa yang panjang dan sukar untuk dibuat secara serentak. Contohnya, mulakan dengan mengawal pemakanan dan apabila pemakanan berjaya dikawal, seseorang itu bolehlah mula mengunjungi gimnasium untuk gaya hidup yang lebih sihat. Selepas ia menjadi satu tabiat dan sukar untuk ditinggalkan, ubah tabiat lain pula seperti merokok. Ia sukar untuk dilakukan, namun ia tidak mustahil.

Sebagai syarikat atau majikan pula, apakah langkah terbaik untuk meningkatkan produktiviti pekerja?

Cadangan saya, syarikat boleh menggalakkan pekerja menjalani gaya hidup sihat, berikan insentif dalam bentuk baucar kesihatan atau keahlian gimnasium secara percuma supaya pekerja lebih bermotivasi unntuk mula mengubah gaya hidup. Majikan juga harus menyediakan program intervensi tempat kerja yang paling diperlukan oleh pekerja dan boleh memberi kesan perubahan tingkah laku positif dalam kalangan pekerja. Kunci perubahan tingkah laku yang berjaya adalah melalui promosi strategi kesihatan dan kesejahteraan tempat kerja dan memastikan ini sebahagian daripada budaya organisasi. Semua ini hanya akan dapat dicapai dengan sokongan yang kukuh daripada majikan dan diri individu itu sendiri.