“BAGI kami, hutan adalah seperti ibu yang harus dijaga dengan baik selain perlu dirawat untuk generasi akan datang.

“Laut pula kami anggap sebagai bapa yang tidak pernah henti memberikan limpah dan berkat,” kata Kristian Thebu ketika menyambut kedatangan Kapal Rainbow Warrior milik Greenpeace di Pelabuhan Waisai, Kepulauan Raja Ampat, wilayah Papua Barat, Indonesia baru-baru ini.

Suku kaum Maya merupakan penghuni terawal menakluki Kepulauan Raja Ampat yang kini telah mencakupi lebih daripada 20 sub suku.

“Sejak dulu lagi, orang tua kita sudah melindungi daerah-daerah yang penting untuk dijaga dengan baik.

“Bagaimanapun, zaman berubah dengan wujudnya pusat konservasi di perairan Kabupaten Raja Ampat,” ujar Kristian.

Berdasarkan pemantauan dan hasil kajian ekologi Lembaga Penelitian dan Pengabdian Universiti Papua, keadaan kesuburan terumbu karang serta pelbagai jenis ikan di Raja Ampat antara tahun 2010 hingga 2016 adalah stabil dan tiada penurunan.

Koordinator Pemantauan Ekologi Lembaga Penelitian dan Pengabdian Universiti Papua, Purwanto berkata, keadaan terumbu karang dan hidupan ikan di Raja Ampat masih lagi stabil, namun mencatatkan sedikit penurunan walaupun tidak signifikan.

Katanya, penelitian dilakukan dengan mengukur tahap kesuburan terumbu karang mengikut keadaan simbiosis Kepulauan Raja Ampat yang ditetapkan sebagai kawasan perlindungan.

“Hidupan ikan di sini sangat penting daripada aspek ekologi. Sebagai contoh ikan spesies herbivora merupakan ikan yang makan alga supaya terumbu karang dapat hidup.

“Hal ini kerana jika terumbu karang di laut rosak atau mati, kebiasaannya alga ini akan tumbuh. Jika alga tumbuh, terumbu karang baharu tidak akan berpeluang untuk hidup,” ujarnya.

Peraturan

Menurut Purwanto, kawasan konservasi Raja Ampat antara lain ialah Perairan Kepulauan Ayau-Asia, Kawe, Perairan Selat Dampier, Perairan Teluk Mayalibit, Taman Pulau Kecil Kofiau-Boo dan Taman Pulau Kecil Misool.

“Di Ayau-Asia misalnya, kepadatan ikannya sangat meningkat tetapi di beberapa kawasan konservasi lain berlaku penurunan. Ini yang menjadi perhatian pihak pemerintah dan masyarakat.

“Mungkin penetapan kawasan konservasi dengan peraturan sedia ada sudah bagus, namun mungkin perlu sedikit tambahan terutamanya dari aspek penjagaan fauna yang melibatkan aktiviti perikanan,” katanya.

Purwanto memberitahu, terumbu karang di Raja Ampat perlu sentiasa dijaga sebelum rosak atau mati dek kerana lokasinya sentiasa menjadi tumpuan pelancong tempatan dan asing saban tahun.

“Walaupun dibandingkan dengan tempat-tempat lain di Indonesia bahkan di dunia, terumbu karang di Raja Ampat jauh lebih baik tetapi harus dijaga daripada sekarang kerana akan sukar dijaga apabila terumbu karang itu rosak.

 

Pembalakan

“Sekarang Raja Ampat juga semakin ramai pengunjung dan banyak rumah inap dibangunkan,” katanya.

Purwanto menambah, sampah sarap dan plastik yang dibawa dari luar turut menjadi potensi yang boleh mengancam perairan Raja Ampat.

Menurut Kristian pula, Raja Ampat sangat terkenal dengan keindahan taman dasar lautnya yang menyimpan pelbagai spesies ikan dan hidupan laut lain.

“Laut merupakan sumber kehidupan sama seperti hutan. Bagaimanapun, pokok-pokok kini ditebang di Raja Ampat hingga membuatkan penduduk setempat berasa bimbang.

“Penebangan pokok secara haram mungkin dilakukan pihak luar yang bekerjasama dengan penduduk setempat bagi meraih keuntungan berlipat ganda,” luahnya.

Kata Kristian lagi, generasi akan datang juga bakal berdepan masalah kehabisan sumber kayu-kayan untuk membuat rumah ekoran aktiviti penebangan hutan secara berleluasa.

“Kalau nak tebang pokok boleh, tiada masalah tetapi jangan tebang dalam skala besar kerana ia bakal mengundang pelbagai masalah kelak.

“Jadi, kami berharap hutan yang menjadi sumber kehidupan masyarakat adat di sini dapat dihidupkan semula sesuai dengan statusnya sebagai Hutan Adat Raja Ampat,” jelasnya.

Masyarakat setempat sangat mengharapkan agar hutan tersebut dapat dipelihara sebagai kawasan adat seterusnya berupaya melindungi kawasan berkenaan daripada aktiviti pembalakan haram.

Empat pulau di Raja Ampat iaitu Pulau Misool, Pulau Waigeo, Pulau Batanta dan Pulau Salawati merupakan kepulauan yang mempunyai hutan.

Kepulauan Raja Ampat terdiri daripada 20 peratus kawasan hutan dan 80 peratus pula kawasan laut.

Dalam pada itu, Dewan Adat kini giat melakukan proses penyaluran maklumat kepada masyarakat setempat untuk mengajar mereka akan kepentingan menjaga flora dan fauna di kepulauan tersebut.

“Yayasan Flora dan Fauna Indonesia sedang melakukan pemetaan bermula di Teluk Mayalibit hingga ke Salawati di Misool Batanta bagi mengenal pasti keluasan hutan yang ditebang.

“Masalah penebangan hutan itu turut membuatkan arus laut di Teluk Mayalibit tidak sekuat dahulu, sekali gus menghalang ikan untuk melalui kawasan itu.

“Yang pasti, kami mahu hutan selamat supaya laut selamat,” kata Kristian.

 

Kolum Khabar Indonesia ini dikelolakan oleh: 
l Agus Setiawan (Antara), Megat Ramli Megat Raof (Kosmo!)


Untuk memberikan respons, sila e-mel ke [email protected]