Tidak lama menunggu, sebuah kapal terbang jenis Boeing 747 berlepas dari landasan. Bidikan demi bidikan kamera kedengaran dari anjung platform itu. Kumpulan yang diberi nama My Elites itu adalah para peminat pesawat yang dirujuk secara umum sebagai plane spotter.

Seorang ahli kumpulan itu, Ong Keat Siong sudah berkecimpung dalam bidang itu sejak tiga dekad lalu. Minatnya pada pesawat berputik sejak dia berusia enam tahun.

“Semasa kecil, saya sering mengajak ibu bapa ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada tahun 1980-an untuk melihat dan menikmati kapal terbang berlepas dan mendarat.

“Pemandangan dan bunyi kapal terbang menggamit perhatian dan sejak itu, minat saya terhadap kapal terbang tidak pernah padam,” ceritanya kepada K2 pada majlis pembukaan platform pemerhati pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang baru-baru ini.

Platform yang diberi nama Anjung Spotter itu dibina membabitkan kos RM300,000 oleh Malaysia Airports Berhad untuk orang ramai, khususnya peminat pesawat seperti My Elites untuk mengambil gambar kapal terbang yang berlepas atau mendarat di landasan berhampiran.

Kini, menginjak usia 40 tahun, Keat Siong membidik gambar-gambar kapal terbang untuk dikongsi bersama peminat kapal terbang di seluruh dunia.

“Kami mengambil gambar semua jenis kapal terbang, namun yang paling diidamkan ialah pesawat yang jarang dilihat, sebagai contoh pesawat yang dicat dengan warna istimewa atau pesawat tugas-tugas khas seperti Air Force One yang digunakan Presiden Amerika Syarikat.

“Saya berkongsi gambar di laman Instagram, Facebook serta laman web peminat pesawat seperti di www.jetphotos.com dan www.airliners.net,” ujarnya.

Selain mengambil gambar, Keat Siong turut mengumpul model-model kapal terbang.

Plane spotter memantau pergerakan pesawat yang diingini menerusi aplikasi telefon pintar seperti flightradar24 untuk memudahkan mereka mengesan dan seterusnya mengambil gambar pesawat berkenaan.

Adakalanya mereka mencatatkan beberapa maklumat penting seperti jenis pesawat, syarikat penerbangan dan nombor siri pesawat.

Antonov AN225

Berbekal pengalaman selama tiga dekad, Keat Siong tidak kering cerita menarik sepanjang menjadi plane spotter.

“Pada tahun 2016, kami mendapat tahu pesawat pengangkut terbesar dunia, Antonov AN225 akan mendarat di KLIA.

“Saya sudah berada di kawasan sekitar landasan pada pukul 5 pagi untuk membuat persiapan dan menunggu pesawat itu tiba,” ujarnya yang terpaksa datang awal ke landasan itu kerana butiran pendaratan tidak didedahkan kepada umum.

“Kita tidak tahu pesawat itu akan mendarat di landasan mana, atau ketepatan waktu ia akan mendarat, itulah cabaran sebagai plane spotter,” jelasnya.

Keat Siong bernasib baik kerana pesawat itu akhirnya mendarat pukul 8.30 pagi, dan dia berjaya menangkap gambar pesawat yang jarang dilihat itu.

Dia yang bekerja sebagai pegawai di sebuah bank itu tidak hanya mengambil gambar pesawat di dalam negara, bahkan sudah menjejakkan kaki ke negara orang seperti United Kingdom, Turki, Hong Kong, Thailand dan Singapura.

Dia juga berhasrat menangkap gambar-gambar pesawat semasa pertunjukan udara di Paris Air Show, Farnborough Air Show dan Singapore Air Show pada masa yang akan datang.

Ada juga antara mereka yang sanggup balik hari ke Langkawi untuk mengambil gambar sempena dengan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA).

“Saya sendiri pernah pergi ke London, Istanbul, Hong Kong dan Bangkok semata-mata untuk mengambil gambar pesawat sebelum pulang semula ke Malaysia,” tambah Keat Siong.

Ujarnya, hobi kumpulan My Elites itu secara tidak langsung mempromosi lapangan terbang di Malaysia kepada peminat pesawat di negara luar menerusi gambar-gambar yang dikongsi di laman sosial masing-masing.

Komuniti Global

My Elites adalah kumpulan plane spotter yang ditubuhkan oleh Malaysia Airports Berhad pada akhir tahun lalu untuk mengumpul peminat-peminat kapal terbang. Kira-kira 30 orang plane spotter menjadi ahli kelab itu.

Ia juga salah satu inisiatif Malaysia Airports Berhad untuk mengeratkan hubungan bersama komuniti dan peminat industri penerbangan.

Seorang lagi ahli My Elites, Dzulkeffly Jaafar, 48, berkata, komuniti plane spotter di Malaysia mula mendapat penerimaan dan diiktiraf oleh Malaysia Airports Berhad.

“Dahulu agak sukar komuniti kami kerana tahap keselamatan yang ketat di lapangan terbang, selain ketiadaan tempat yang spesifik untuk plane spotter.

“Ada juga masanya kami diminta keluar dari tempat kami mengambil gambar oleh pengawal keselamatan, namun kini kami diberi ruang dan peluang oleh Malaysia Airports Berhad,” tambahnya.

Jelas Dzulkeffly, pembinaan Anjung Spotter yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara itu mengundang rasa cemburu kumpulan plane spotter dari negara jiran.

Kumpulan itu juga memberi nilai tambah dari segi keselamatan kepada lapangan terbang dengan melaporkan perkara atau ativiti mencurigakan.

“Sebagai contoh, kami pernah melihat sebuah dron diterangkan di kawasan lapangan terbang ketika mengambil gambar. Kami memaklumkan perkara itu kepada pihak keselamatan lapangan terbang untuk tindakan lanjut,” tutur Dzulkeffly.

Tambahnya, komuniti plane spoter adalah komuniti global dan mereka sering berhubung dan menjalinkan persahabatan antara satu sama lain.

“Melalui laman sosial, kami mula bertukar-tukar gambar, pengalaman dan perkara-perkara yang berkaitan dengan plane spotting. Dari situ, kami membuat perancangan untuk bertemu dan menjalankan aktiviti spotting bersama di negara kenalan, ada yang datang ke Malaysia begitu pula sebaliknya.

Selain menyimpan gambar kapal terbang sebagai koleksi peribadi, ada juga gambar sesetengah pesawat dibeli oleh juruterbang pesawat berkenaan sebagai kenang-kenangan.

“Gambar-gambar yang dimuat naik di laman sosial adakalanya menjadi titik-tolak kepada perkenalan dengan para juruterbang.

“Mereka akan berhubung melalui komen-komen di media sosial, lama-kelamaan kami mula bertukar nombor telefon untuk sering berhubung,” jelasnya.

Lensa telefoto

Sementara itu, Husnul Anwar Abdul Wahab, 38, berkata, peralatan yang sesuai untuk hobi itu ialah kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) dan lensa jenis telefoto.

“Lazimnya peninjau menggunakan jenis kamera DSLR jenama Canon, Nikon dan Sony iaitu kamera untuk tujuan fotografi profesional.

“Jenis lensa yang selalu digunakan ialah 150mm ke atas. Plane spotter selalunya inginkan gambar yang jelas untuk pesawat yang diambil,” katanya.

Menurut Husnul, pesawat lazimnya terbang dengan kelajuan tinggi dan berada agak jauh dari kedudukan plane spotter.

“Teknik dan setting kamera adalah penting untuk mendapatkan gambar terbaik.

“Setiap plane spotter inginkan hasil gambar yang terang dan jelas tanpa kabur sebelum menyunting gambar-gambar tersebut menggunakan aplikasi seperti Photoshop,” katanya.

Peminat kapal terbang atau plane spotter sanggup menunggu berjam-jam untuk mengambil gambar pesawat terutamanya pesawat yang jarang dilihat atau istimewa.