“Saya merupakan tunangan orang dan bakal berkahwin dengan jejaka pilihan hati pada bulan hadapan.

“Sepatutnya, saya gembira apabila hasrat untuk disatukan dengan lelaki yang dicintai bakal terlaksana.

“Namun, lain pula jadinya. Hati saya mula menjadi tawar apabila mendapat tahu pekerjaan kotor Nizam (nama samaran) yang sebenarnya merupakan ‘anak ikan’ kepada seorang kenamaan (VVIP) tiga minggu lalu.

“Pekerjaan tersebut saya lihat tidak ubah seperti seorang pelacur,” jelas gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.

Menceritakan lebih lanjut mengenai perkenalannya dengan Nizam, 27, jelas Rozi, dia mengenali tunangnya itu sejak di bangku sekolah.

“Di sekolah Nizam merupakan senior satu tahun daripada saya. Ketika itu, kami berdua berkawan rapat.

“Sebaik keputusan Sijil Pelajaran Malaysia diumumkan, kami terputus hubungan selepas Nizam dan keluarga berpindah ke Kuala Lumpur,” jelasnya.

Menurut Rozi, dia dan Nizam bagaimanapun bertemu semula selepas dipertemukan oleh rakan-rakan sewaktu majlis pertemuan semula (reunion) sekolahnya kira-kira lima tahun lalu.

Pada waktu itu, Rozi masih lagi bergelar mahasiswi di salah sebuah institusi pengajian tinggi awam di sekitar Lembah Klang.

“Seperti biasa, jika sudah lama tidak berjumpa, pasti ada sahaja perkara yang hendak dibualkan.

“Disebabkan itu perbualan yang bermula di majlis reunion berterusan hingga ke telefon bimbit selepas kami saling bertukar nombor telefon.

“Daripada situ, kami menjadi semakin akrab dan sering keluar bersama terutamanya setiap kali saya tiada kuliah,” ujar Rozi.

Dilamar

Cerita Rozi lagi, seperti yang sering diperkatakan umum, mana mungkin lelaki dan wanita mampu menjadi sahabat baik. Perasaan tersebut pastinya akan berubah menjadi cinta.

Ternyata, situasi tersebut benar-benar terjadi kepada Rozi dan Nizam. Mereka akhirnya mengambil keputusan untuk menukar status daripada sahabat kepada pasangan kekasih.

“Nizam meluahkan isi hatinya kepada saya selepas dua tahun kami bertemu semula.

“Bagai orang mengantuk disorong bantal, lamaran tersebut diterima baik oleh saya. Saya jatuh hati kepadanya kerana dia bukan sahaja tampan dan berbudi bahasa, tetapi mempunyai status kewangan yang kukuh,” jelas Rozi.

Tidak sampai dua tahun memadu kasih, mereka berdua mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan. Pada waktu itu, Rozi baru sahaja diambil bekerja sebagai eksekutif pemasaran di sebuah syarikat menjual kenderaan mewah di Kuala Lumpur.

“Pertunangan kami berjalan dengan lancar. Kedua-dua keluarga begitu merestui ikatan yang ingin dibina.

“Bagaimanapun, kemanisan di alam pertunangan tidak bertahan lama apabila tembelang yang selama ini disimpan rapi oleh Nizam pecah,” jelasnya.

Menurut Rozi, dia mengetahui Nizam yang selama ini mendakwa bekerja sebagai pramugara dan sering terbang ke luar negara sebenarnya merupakan anak ikan kepada golongan VVIP berstatus Datin Seri.

“Pada mulanya saya sendiri sukar untuk mempercayainya.

“Bagaimanapun, apabila satu demi satu bukti terpampang di hadapan mata, saya mula menerima kenyataan,” jelasnya.

Menurut Rozi, rahsia yang disimpan rapi tunangnya itu terbongkar apabila Rozi terlihat Nizam bermesra dengan seorang wanita berusia di sebuah restoran mewah.

“Ketika itu saya sedang makan tengah hari bersama rakan sekerja.

“Salah seorang rakan menunjukkan saya pelanggannya yang berstatus Datin Seri sedang makan di restoran yang sama bersama seorang lelaki muda. Mereka kelihatan sangat intim.

“Berderau darah saya apabila melihat lelaki itu ialah Nizam,” jelasnya.

Dahaga kasih

Kata Rozi, disebabkan ingin kepastian, dia mula menyelidik lebih lanjut daripada rakannya.

“Rakan saya mendakwa Nizam merupakan ‘anak ikan’ wanita berusia tersebut sejak dia berpisah dengan suami awal tahun lalu.

“Lebih memualkan apabila saya diberitahu Nizam sebelum ini pernah menjadi ‘anak ikan’ kepada beberapa orang golongan ternama yang lain,” jelasnya.

Malam itu juga, Rozi bersua muka dengan tunangnya. Nizam mengakui selama ini dia pernah bekerja dan menagih wang daripada wanita-wanita tua berkelas atasan yang dahagakan kasih daripada seorang lelaki.

“Mahu membatalkan perkahwinan tidak tergamak rasanya kerana kad jemputan sudah diedarkan dan tidak mahu keluarga menanggung malu.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu mensia-siakan hidup untuk mengahwini lelaki gila seperti Nizam. Saya harap agar diberi kekuatan untuk menempuh hari-hari mendatang,” jelasnya.

Eksekutif pemasaran kereta mewah tawar hati untuk menikahi kekasih hatinya selepas mengetahui pekerjaan jijik lelaki yang dikenali sejak di bangku sekolah.