Dia menggelarkan hasil seninya itu sebagai Coffee Monsters.

Karakter raksasa bersaiz kecil itu cukup comel dan dihasilkan sepenuhnya daripada tumpahan air kopi.

Bercerita bagaimana karakter Coffee Monsters boleh bermula, Kuhnigk menjelaskan ia terjadi selepas dia terlihat percikan air kopi yang tertumpah di atas sekeping kertas kosong.

“Satu pagi, saya bangun dari tidur dan terlihat kesan tumpahan air kopi yang sudah kering di atas sehelai kertas kosong.

“Entah mengapa, saya rasa seolah-olah percikan air kopi yang tumpah itu menjerit dan memanggil saya serta menyuruh saya melukis satu karakter,” ujarnya seperti dipetik portal Oddity Central.

Karakter yang dilukis ialah seekor raksasa dan Kuhnigk cukup sukakannya.

Selepas siap melukis, lelaki yang bekerja sebagai seorang pereka produk itu kemudiannya mula berlatih melukis lebih banyak karakter menggunakan tumpahan air kopi. Secara tidak langsung, ia mengasahkan lagi kreativitinya.

Seni unik

Bertitik tolak daripada situ, setiap hari, Kuhnigk akan menumpahkan air kopi di atas helaian kertas kosong dan melukis pelbagai karakter kartun yang comel.

Selain raksasa, dia turut melukis karakter lain seperti tikus, badak dan juga gajah.

Biarpun lukisannya ringkas, namun keunikan hasil seninya itu mendapat perhatian kerana ia unik dan lain daripada yang lain.

Dedah Kuhnigk, dia tidak pernah menyangka sesuatu yang cukup ringkas seperti tumpahan air kopi boleh mempopularkan namanya.

Sehingga kini, dia sudah pun memiliki berpuluh-puluh ribu pengikut di laman sosial Instagramnya iaitu 
@thecoffeemonsters.

“Setiap hari, pengikut akan memuji hasil seni yang dihasilkan saya dan ia benar-benar mengharukan saya,” jelasnya.

Pada masa sama, Kuhnigk juga tidak pernah lokek berkongsi rahsia atau tip untuk mendapatkan lukisan kopi yang menarik.

“Sejujurnya, proses menghasilkan satu lukisan berasaskan tumpahan air kopi cukup mudah iaitu dengan menumpahkan atau menitiskan air kopi mengikut bentuk yang diingini. Kemudian, biarkan hasil tumpahan itu kering dalam tempoh empat hingga enam jam.

“Proses seterusnya adalah dengan melukis apa-apa bentuk dengan menggunakan pensel bagi mendapatkan efek yang lebih menarik,” jelas lelaki berkaca mata itu.

Tambah Kuhnigk lagi, dia cukup terharu apabila diberitahu bahawa karakter raksasa yang dihasilkannya itu membuatkan pengikut Instagramnya gembira.

“Siapa sangka, karakter yang dihasilkan ini mendapat tempat dalam kalangan peminat hasil seni dan mereka memberitahu berasa gembira apabila melihatnya,” ujar Kuhnigk.

Coffee Monsters lebih unik kerana setiap percikan air kopi yang dihasilkan tidak pernah kelihatan sama.

“Setiap percikan air kopi berbeza-beza warna dan sifatnya kerana ia bergantung kepada jumlah air kopi yang ditumpahkan serta kepekatan air kopi itu sendiri. Ia menjadikan setiap helai kertas dengan tumpahan air kopi itu unik dan berbeza,” kongsi Kuhnigk.

Selain mempamerkan karakter Coffee Monsters menerusi laman sosial Instagram, Kuhnigk juga menerbitkan buku dengan karakter yang sama untuk dibeli oleh peminatnya.

Stefan Kuhnigk menjadikan percikan air kopi yang tumpah menjadi lukisan unik dan diberi nama Coffee Monsters.