Penulis bukan sahaja hairan dengan kata-kata pengukir berusia 63 tahun itu, malah batu nisan tersebut juga bertulisan jawi.

Persoalan itu terjawab apabila batu nisan itu memang dibuat khas untuk orang Islam.

“Saya belajar tulisan jawi ini daripada pelanggan-pelanggan saya,” kata Kuah Leong Chuan kepada Bernama.

Leong Chuan berasal daripada keluarga pengukir yang merupakan generasi kelima meneruskan warisan keluarga.

Moyangnya berasal dari China dan berhijrah ke negara ini lewat tahun 1800 untuk berniaga. Di samping itu, moyangnya juga menggunakan kemahiran untuk mengukir dan pada permulaannya lebih kepada mengukir patung Buddha atau tempat sembahyang penganut Buddha.

Menurut Leong Chuan, beliau belajar teknik mengukir batu nisan itu daripada bapanya ketika berusia 20 tahun.

Sepanjang 40 tahun terlibat dalam bidang itu, beliau juga mengukir batu nisan untuk orang Cina dan India, namun kini tumpuannya lebih kepada pelanggan Melayu.

Bengkel membuat nisan itu hanyalah di bawah sebatang pokok di tepi kawasan belukar bertentangan pekan lama Kuala Selangor (berhampiran Bukit Melawati).

Setiap hari warga emas itu berbasikal ke bengkelnya memandangkan rumahnya tidak jauh dari bengkel tersebut. Beliau akan berada di bengkelnya dari pukul 8 pagi hingga 6 petang.

Beliau juga mudah mendapatkan bekalan batu granit untuk membuat batu nisan dari kawasan belukar sekeliling bengkelnya.

Lebih unik, Leong Chuan mahir mengukir batu nisan menggunakan tangan berbanding pengukir lain yang suka menggunakan mesin.

Beliau juga mungkin satu-satunya pengukir batu nisan menggunakan batu granit dengan tangan.

Proses pembuatan

Proses pertama untuk membuat batu nisan menggunakan batu granit ini adalah dengan memotong batu-batu granit itu.

“Ada caranya untuk memotong batu granit ini,” jawabnya ketika ditanya proses untuk membuat batu nisan itu.

Menurut Leong Chuan, batu granit tersebut dipotong dengan pahat bermatakan berlian, tetapi ia bukanlah berlian yang dibuat barang kemas. Berlian itu khas untuk memotong batu yang sangat keras.”

Selepas itu, batu akan dibelah dan diukur mengikut kehendak pelanggan. Setelah siap diukir dan digosok, barulah proses mengukir serta memahat maklumat di atas batu nisan dibuat menggunakan tulisan jawi.

Leong Chuan sememangnya mementingkan hasil kerja yang teliti dan sebab itulah beliau lebih selesa menggunakan tangan berbanding mesin.

Tempoh proses membuat batu nisan tersebut adalah mengikut saiz atau kehendak pelanggan. Batu nisan kecil bersaiz iaitu setengah meter mengambil masa tiga hari, manakala yang besar mengambil masa tiga minggu untuk disiapkan. Harga pula mengikut saiz bermula dari RM150 hingga RM700 sepasang.

Pelanggannya datang dari seluruh Malaysia dan ada juga pekerja Indonesia yang bekerja di negara ini mendapatkan batu nisan granit daripada beliau.

Bimbang

Proses mengukir dan menulis nama atau informasi si mati pada batu nisan mengambil masa satu jam. Antara maklumat yang diukir di atas batu nisan ialah perkataan al-Fatihah serta maklumat si mati iaitu nama, tarikh lahir dan tarikh meninggal.

Leong Chuan juga tahu apa yang boleh dan tidak boleh diukir di atas batu nisan seperti ayat al-Quran. Beliau tidak akan mengukir ayat al-Quran meskipun diminta oleh keluarga si mati.

Beliau bimbang keluarga si mati terlangkah atau duduk di batu nisan yang ada tulisan ayat al-Quran. Ada juga yang mahu beliau mengukir perkataan Bismillah tetapi Leong Chuan berkeras untuk tidak mengukirnya kerana takut akan disalahkan suatu hari nanti.

“Batu nisan ini hanyalah satu tanda sahaja bukan untuk bikin rumah cantik yang mewah.

“Itulah kata-kata yang sering digunakan sekiranya ada pelanggan yang mahu beliau mengukir perkataan Bismillah.

Salah satu keistimewaan batu granit tersebut ialah ia ‘boleh membesar’. Leong Chuan hanya perlu melicinkan bahagian atas nisan, itupun atas permintaan pelanggan.

Bahagian yang kasar ini akan memegang tanah dan akan kukuh buat masa yang lama, berbeza batu nisan yang diperbuat daripada batu kapur yang licin dan senang tercabut dari tanah.

“Tinggal saya satu orang sahaja, budak muda sekarang tak minat, mereka minat duduk di kedai ada penyaman udara dan televisyen. Tengok program hiburan,” bila ditanya sama ada beliau mempunyai sesiapa untuk mewarisi perusahaan batu nisan tersebut.

Justeru, Leong Chuan amat mengalu-alukan sekiranya ada yang berminat untuk mempelajari seni ukir tersebut supaya ia tidak hilang ditelan zaman. – Bernama