Sedang perarakan masuk kontinjen yang mengambil bahagian berlangsung, tiba-tiba sistem bunyi berhenti apabila peralatan audio terbakar akibat hujan lebat dan keadaan menjadi riuh seketika.

Mujurlah dalam tempoh kurang daripada 20 minit, masalah tersebut dapat diatasi dan raptai disambung hingga tamat.

Momen itu tidak mungkin akan dilupakan Pengarah Teknikal Audio, Tengku Abdul Halim Tengku Ayob yang dipertanggungjawabkan menjaga bahagian audio bagi sambutan Hari Kebangsaan 2019.

Sudah berpengalaman selama 13 tahun mengendalikan audio untuk sambutan Hari Kebangsaan, Tengku Abdul Halim, 56, atau mesra disapa Halim berkata, bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku sewaktu majlis sebenar, kerja-kerja pemasangan dilakukan beberapa hari lebih awal kerana banyak perkara melibatkan sistem audio perlu diperincikan dengan baik.

Ujarnya yang juga Ketua Unit Sokongan Teknikal di Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen), pemasangan kali ini melibatkan skala besar dek kerana sambutan ini merupakan acara tahunan terbesar yang dilakukan oleh pasukannya. Ia melibatkan 30 orang pekerja teknikal termasuk dari Jabatan Penerangan Negeri.

“Pasukan kami amat menitikberatkan kualiti audio agar semua tetamu kenamaan, peserta dan penonton mendengar dengan jelas arahan dan audio.

“Apa yang menariknya, pemasangan pembesar suara kali ini dipasang sepanjang jalan dan dijangkakan pada jarak sejauh lebih kurang 1.7 kilometer,” katanya ketika ditemui K2 di Putrajaya baru-baru ini.

Menariknya, saban tahun JaPen diberi kepercayaan untuk menjayakan program sambutan Hari Kebangsaan sejak negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Sambutan Hari Kebangsaan boleh dikatakan sebagai acara terbesar yang diraikan setiap tahun di negara ini.

“JaPen merupakan satu-satunya jabatan yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan sistem audio dalam majlis rasmi kerajaan.

“Agensi ini mempunyai berpuluh-puluh tahun pengalaman mengendalikan program dan semasa negara menyambut kemerdekaan pada tahun 1957 juga khidmat agensi ini digunakan,” ujarnya.

Tambah Halim, sambutan kemerdekaan yang telah berlangsung Sabtu lalu mendapat maklum balas yang baik daripada semua pihak apabila sistem audio pasukan tersebut jelas didengar di setiap sudut tanpa kejadian yang tidak diingini.

Jelasnya, pasukan di bawah kelolaannya yang bertungkus-lumus tanpa rehat yang cukup telah memastikan sistem audio berfungsi dengan sempurna.

Dilaporkan, seramai 300,000 pengunjung menghadiri acara sambutan itu yang diraikan dengan penuh kemeriahan.

Jana kuasa

Semestinya, acara sambutan Hari Kebangsaan 2019 baru-baru ini tidak akan hidup tanpa ada tulang belakang yang menjayakan program tersebut.

Menurut Halim, ahli pasukannya yang rata-ratanya berpengetahuan luas lebih daripada lima tahun membuatkan mereka menjadi antara pasukan yang menghasilkan audio berkualiti serta cekap dalam membuat kerja-kerja pemasangan dan penataan bunyi.

Tambahnya, kesilapan teknikal yang berjaya ditangani seperti mana yang berlaku pada hari raptai membuktikan kecekapan yang dimiliki pasukannya dalam mengatasi masalah berhubung audio.

“Kita telah mendapat pujian daripada semua agensi yang terlibat walaupun terdapat masalah pada peralatan audio namun itu dapat diatasi dalam masa yang singkat.

“Pasukan kita juga telah menyediakan pelan kecemasan sekiranya berlaku masalah teknikal yang mana kita akan menempatkan beberapa pekerja teknikal di setiap tempat audio,” ujarnya yang berkhidmat bersama JaPen dalam unit sokongan teknikal sejak tahun 1982.

Sementara itu, Mohammad Nafis Samsuddin, 57, seorang petugas teknikal di bawah unit itu berkata, peralatan terkini dan canggih merupakan nadi kekuatan pasukan mereka dalam mengendalikan acara terbesar tahunan ini.

Menurut Mohammad Nafis yang bertugas dengan JaPen selama 38 tahun, acara kemerdekaan yang telah berlangsung turut mendapat kerjasama daripada unit teknikal Jabatan Penerangan Negeri sekali gus membuatkan kerja-kerja di sebalik tabir menjadi mudah.

“Saya telah ditugaskan untuk menyelia janakuasa dalam memastikan bekalan elektrik sistem bunyi berjalan dengan sempurna. Alhamdulillah sambutan kemerdekaan telah berlangsung tanpa sebarang masalah teknikal.

“Tahun ini juga, pasukan kami telah memakai sistem bunyi baharu jenama Twaudio yang lebih terkini dan dapat menghasilkan bunyi yang lebih jelas serta berkualiti,” ujarnya.

Bicara lanjut, Mohammad Nafis berkata, pujian wajar diberikan kepada unit sokongan teknikal agensi itu dalam mengiringi acara kemerdekaan tahun ini yang mana setiap ahli pasukan mempamerkan kehebatan masing-masing dalam mengendalikan tugasan yang diberikan.

“Ini juga merupakan pengalaman berharga saya apabila Yang di-Pertuan Agong yang baru ditabal, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke acara tersebut,” katanya.

Kagum

Mohammad Nafis berkata, pasukannya mendapat pujian daripada para penonton yang hadir sekali gus membuatkan penat lelah mereka berbaloi.

“Terdapat juga penonton yang kagum dengan peralatan sistem audio digunakan yang mana ada di antara mereka mahu masuk ke dalam khemah konsol audio untuk melihat kami mengendalikan sistem itu.

“Pihak-pihak yang terlibat menjayakan persembahan turut memuji kehebatan pasukan kerana audio yang digunakan memberi arahan yang amat jelas sehingga tiada kesukaran berlaku sepanjang persembahan berlangsung,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Teknikal Audio, Ahmad Shafari Adnan, 48, berkata, persediaan dari segi fizikal dan mental merupakan antara senjata penting bagi tenaga teknikal yang terlibat dalam menjayakan acara Hari Kemerdekaan.

Ahmad Shafari atau dikenali sebagai Sam berkata, kedua-dua persediaan tersebut penting dalam memastikan kerja-kerja sebelum acara berlangsung berjalan dengan lancar tanpa masalah berkaitan disiplin.

“Persediaan dari segi fizikal dan mental penting kerana sepanjang pemasangan sistem audio, waktu tidur kita akan terjejas manakala call time pula adalah pada awal pagi.

“Namun, jika orang cakap unit teknikal ini tulang belakang kepada program ini bagi saya kita ini sebahagianlah kerana terdapat juga kumpulan lain menjayakan program ini seperti bahagian pengurusan, perbarisan dan kawal selia acara itu,” ujarnya yang mempunyai pengalaman selama 13 tahun menjayakan sambutan Hari Kebangsaan 2019.

Bunyi sama rata

Menyentuh mengenai peralatan audio terkini yang digunakan iaitu sistem jenama Twaudio jenis Vera 36, Sam berkata, salah satu keistimewaan sistem ini adalah kejelasan bunyi yang dihasilkan amat bersesuaian untuk kegunaan majlis besar seperti hari kemerdekaan dan konsert.

“Selain itu, walaupun sistem audio jenama ini nampak kecil namun tekanan bunyinya sangat baik dan jelas selain mudah digunakan mengikut persekitaran.

“Sistem ini juga boleh ditindan dan diletakkan secara rendah atau bertingkat seperti yang dilakukan di Dataran Putrajaya untuk mendapatkan sistem bunyi yang sama rata. Paling dikagumi ialah sistem ini adalah kalis cuaca iaitu tahan panas,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama 12 tahun.

Bicara Sam lagi, sambutan Hari Kebangsaan 2019 yang telah berlalu merupakan kejayaan bersama semua pihak yang terlibat secara langsung dalam menjayakan misi program tersebut.

“Kerjasama dengan pihak-pihak penyiaran televisyen seperti TV3 dan RTM juga penting. Setiap pasukan terlibat saling memerlukan antara satu sama lain,” katanya.