Selama lebih enam tahun, pemuda kelahiran Cheras, Kuala Lumpur itu tiada masalah bekerja dalam suasana pejabat.

Sehinggalah kelahiran anak ketiganya kira-kira dua tahun lalu apabila Hairil berhadapan dengan detik sukar dalam kerjayanya yang tidak ubah seperti telur di hujung tanduk.

Anak kesayangan pemuda itu kerap dikejarkan ke hospital atas faktor kesihatan menyebabkan Hairil terpaksa mengambil cuti bekerja yang banyak bagi menguruskan musibah itu.

Rentetan itu, Hairil terpaksa mengundurkan diri melangkah keluar daripada pekerjaan tersebut bagi mengelakkan reputasinya terjejas.

Di situlah bermulanya dugaan paling hebat dalam hidupnya apabila Hairil perlu menyara seluruh keluarga biarpun tidak memiliki sebarang pekerjaan.

Ketika itu jugalah Hairil dipertemukan dengan salah satu kerjaya yang disifatkannya sebagai menyeronokkan hasil saranan seorang sahabat karibnya iaitu kerjaya sebagai penghantar makanan.

“Saya mula dapat tahu mengenai kerjaya penghantar tempahan makanan bermotosikal ini daripada rakan-rakan yang mencadangkan pekerjaan ini kepada saya setelah berhenti kerja.

“Pada mulanya ada juga perasaan takut kerana sebelum ini saya memang tiada langsung pengalaman melakukan penghantaran tempahan makanan.

“Setelah berjaya menyempurnakan tugasan penghantaran makanan dengan menaiki motosikal setiap hari di sekitar Kuala Lumpur, lama-kelamaan timbul rasa seronok kerana setiap minggu pasti akan dapat pulangan,” ujarnya yang mula bekerja sebagai penghantar makanan menerusi Uber Eat kira-kira dua tahun lalu kepada K2 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kongsi Hairil, pada minggu-minggu terawal melaksanakan tugasan itu, dia hanya meraih sekitar RM500 setiap minggu.

Potensi

Namun, setelah hampir dua tahun mempelajari selok-belok kerjaya itu, Hairil kini mampu menarik nafas lega apabila berjaya meraih pendapatan sehingga RM1,200 seminggu.

Pendapatan itu dikira berdasarkan jumlah perjalanan yang berjaya dilaksanakan setiap hari.

Menariknya, Hairil tidak perlu khuatir lagi akan sebarang peruntukan cuti demi menguruskan keadaan anaknya yang perlu berulang-alik ke hospital.

Hal ini kerana kerjaya sebagai penghantar makanan itu dilihat lebih fleksibel dari segi masa sekali gus memberikan Hairil seratus peratus kebebasan.

Kerjaya sebagai penghantar makanan semakin diterima dalam masyarakat sebagai salah satu profesion yang memiliki potensi besar.

Hal ini kerana penghantaran makanan sehingga ke depan pintu dilihat semakin menjadi trend dalam kalangan peminat gastronomi tempatan sejak kebelakangan ini.

Senario itu berbeza berbanding lima tahun dahulu yang mana kebanyakan masyarakat memilih untuk berkunjung ke kedai makan mahupun restoran untuk menikmati sesuatu hidangan.

Bagaimanapun, keadaan itu sudah pun berubah dan masyarakat tidak perlu lagi bersusah-payah untuk keluar dari rumah bagi mendapatkan makanan yang diidamkan sebaliknya hanya tunggu makanan itu dihantar pada waktu yang telah dipersetujui.

Dengan lahirnya pelbagai aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun menerusi telefon pintar, ia membolehkan masyarakat selaku pengguna menikmati pengalaman gastronomi dengan mudah.

Antara aplikasi perkhidmatan penghantaran makanan yang popular ketika ini ialah GrabFood, Foodpanda, Dahmakan, Mammam, Cooked dan banyak lagi.

Kerjaya sebagai penghantar makanan itu sebenarnya membuka peluang khususnya kepada generasi muda untuk menambah pendapatan serta memperbaiki kehidupan mereka.

Itulah juga perkongsian Fendi Nawawi, 34, yang melakukan transformasi kerjaya dari seorang penghantar kurier kepada penghantar makanan.

Berbekalkan kepakaran lebih 13 tahun dalam perkhidmatan kurier, Fendi menggunakan kemahiran yang dimiliki untuk menyampaikan makanan dalam keadaan segar seperti baru keluar dapur.

Kebiasaannya, sesuatu tempahan penghantaran makanan itu akan berjaya Fendi selesaikan dalam tempoh kurang dari 30 minit.

Kunci kepada kejayaan tempoh penghantaran minimum yang dikecapi Fendi ialah perancangan perjalanan yang sistematik.

“Pendapatan kerjaya ini memang dikira daripada jumlah perjalanan penghantaran makanan setiap hari, namun kita perlu bijak merancang agar kerja itu lebih mudah serta efisien.

“Kebiasaannya, saya akan berikan fokus terhadap kawasan-kawasan tumpuan sekitar ibu kota antaranya seperti Ampang, Bangsar, Mont Kiara, Petaling Jaya dan Bandar Sunway.

“Perancangan perjalanan yang tersusun itu juga akan membolehkan penghantar makanan menghantar sehingga lebih 10 tempahan setiap hari,” jelas pemuda kelahiran Ampang itu.

Jelas Fendi, salah satu perkara penting yang perlu diberikan perhatian oleh penghantar makanan ialah platform pengendali perkhidmatan tersebut.

Platform

Katanya, individu yang berminat perlu berdaftar secara sah dan bekerja di bawah platform pengendali perkhidmatan penghantaran makanan yang telah dikenali.

Ia bagi memastikan faktor kebajikan dan keselamatan individu lebih terjamin.

Ketua GrabFood Malaysia, Rashid Shukor berkata, sebagai salah sebuah pengendali platform yang menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan sejak Mei tahun lalu, pihaknya amat berpuas hati melihat sambutan menggalakkan antara pengguna dan penghantar makanan.

Justeru, GrabFood komited untuk terus membawa aneka makanan kepada pelanggan dengan mudah agar segmen gastronomi tempatan dapat terus berkembang.

“Sehingga kini, terdapat lebih 1,000 saudagar niaga yang terdiri daripada restoran, gerai dan kedai makan terkemuka tempatan yang menyediakan hidangan signatur mereka seperti nasi berlauk, nasi lemak, spageti, mi goreng serta hidangan Barat yang terlibat dalam aplikasi ini.

“Misalnya, kami bawakan kepada pengguna aneka hidangan popular tempatan seperti Nasi Lemak Bumbung Petaling Jaya, Restoran Devi’s Corner Bangsar, McDonald’s dan Texas Chicken.

“Selain itu, kami juga mampu menghantar aiskrim seperti Baskin Robbins ke hadapan rumah yang semestinya memberikan kepuasan kepada pengguna,” jelasnya.

Kongsi Rashid, keupayaan untuk menghantar makanan seperti aiskrim dapat dilakukan kerana setiap penghantar makanan menggunakan beg khas yang direka dengan penebat haba.

Oleh itu, makanan yang panas dapat dikekalkan habanya, manakala makanan yang sejuk juga akan kekal dingin sehingga sampai ke tangan pengguna.

Selain itu, ia juga kalis air dan kukuh membolehkan sesuatu makanan itu terpelihara sepanjang proses penghantaran.

Pada hemat Rashid, golongan penghantar makanan merupakan elemen penting yang menggerakkan trend baharu ini.

Justeru, bagi memastikan kebajikan golongan penghantar makanan terpelihara, GrabFood turut menyediakan hentian khas iaitu Grab Driver Pit Stop yang terletak di Centrepoint, Bandar Utama dan Dagang Avenue, Ampang.

Ia membolehkan golongan penghantar makanan yang menggunakan motosikal duduk berehat, berteduh pada hari hujan dan panas sambil menikmati minuman kopi percuma.

Kata Rashid, ia sebagai salah satu cara untuk menghargai keringat golongan penghantar makanan setelah berhempas pulas menyelesaikan tempahan pelanggan.

“Suatu masa dahulu, pengguna perlu keluar sendiri untuk mendapatkan makanan tetapi kini ekosistem itu kini telah berubah hasil komitmen golongan penghantar makanan,” tuturnya menutup bicara.

Sejak kebelakangan ini, perkhidmatan penghantaran makanan sehingga ke depan pintu dilihat semakin menjadi trend dalam kalangan peminat gastronomi tempatan.