Baginda merupakan susuk tubuh yang banyak berjasa kepada petani dan penduduk di luar bandar. Kemangkatan baginda bermakna telah berakhirnya sebuah era.

Negara itu membuka lembaran baharu pada 4 Mei lalu apabila menabalkan Raja Maha Vajiralongkorn sebagai Raja Rama X menggantikan Adulyadej. Pertabalan itu merupakan peristiwa bersejarah kerana kali terakhir ia dilangsungkan adalah pada tahun 1950. Baginda ditabalkan setelah tiga tahun menaiki takhta.

Menurut Profesor Madya Fakulti Sains Politik, Universiti Chulalongkorn, Thitinan Pongsudhirak, upacara pertabalan itu memperkasakan peranannya sebagai monarki penuh.

Ujarnya, jurang hampir tiga tahun antara kematian Raja Bhumibol pada Oktober 2016 dan pertabalan Raja Maha Vajiralongkorn bukanlah sesuatu yang luar biasa. Baginda memerlukan masa untuk berkabung atas kematian ayahandanya selain membuat persiapan untuk istiadat berkenaan.

“Raja Bhumibol memerintah selama empat tahun sebelum ditabalkan.

“Penobatan secara rasmi akan menguatkan pemerintahan dan aura baginda sebagai raja baharu Thailand,” kata Thitinan seperti dilapor CNN.

Wartawan K2 berpeluang menyaksikan Istiadat Pertabalan Diraja yang berlangsung pada 4 hingga 6 Mei lalu. Persiapan untuk istiadat berkenaan bermula sejak April lalu semasa proses mengumpul air dari 77 daerah di negara itu termasuk Bangkok untuk digunakan pada upacara adat bersiram semasa istiadat itu.

Ia diikuti dengan majlis memahat gelaran rasmi baginda di Plak Emas Diraja dan mengukir Cop Mohor Diraja di Kuil Phra Kaew beberapa hari sebelum istiadat bermula. Raja Maha Vajiralongkorn turut menziarahi tugu Raja Chulalongkorn dan Raja Rama I, dua hari sebelum pertabalan.

Payung

Istiadat pertabalan bermula pada pukul 10 pagi dengan upacara penyucian diraja atau Song Muratha Bisek yang berlangsung di Kediaman Diraja Chakrabat Biman. Adat bersiram dilakukan dengan air yang dijampi oleh sami-sami Buddha dengan baginda memakai helaian kain putih sebagai simbolik penyucian diri. Upacara itu diiringi puluhan das tembakan meriam.

Baginda kemudian berangkat ke Dewan Takhta Baisal Daksin dengan sepersalinan pakaian diraja bersalut emas. Baginda duduk di sebuah takhta kayu lapan sisi dengan lapan pegawai melumurkan air suci dari arah yang berbeza. Lapan arah tersebut melambangkan arah kompas.

Baginda kemudian duduk di Singgahsana Bhadrapitha di bawah Payung Sembilan Tingkat.

Payung itu merupakan antara alat kebesaran yang tertua dimiliki oleh kerabat diraja Thailand melambangkan hubungan raja dengan syurga.

Ia juga melambangkan status baginda sebagai raja yang sah kerana tidak ada kerabat dibenarkan duduk di bawah payung itu melainkan raja yang telah ditabalkan.

Di dewan itu, Ketua Brahmin, Phra Ratcha Khru berserta sami-sami lain mempersembahkan lima alat kebesaran diraja iaitu Pedang Kemenangan, Cokmar Diraja, Kipas Diraja serta Pemukul Lalat dan Selipar Diraja.

Kemuncak acara itu, Raja Maha Vajiralongkorn menerima Mahkota Agung Kemenangan bersalut emas seberat tujuh kilogram dan memakainya di atas kepala.

“Beta akan mengekalkan, menjaga dan terus memerintah de­ngan kebenaran demi kesejahte­raan dan kemakmuran rakyat,” titah baginda ringkas dan padat semasa istiadat berkenaan.

Baginda kemudian berangkat ke Dewan Takhta Amarindra Vinicchaya dan berkenan menerima kunjungan kerabat diraja, Majlis Penasihat dan pimpinan kanan kerajaan untuk merafak sembah tahniah.

Perarakan

Pada sebelah petang, baginda dibawa ke Kuil Buddha Zamrud untuk mengisytiharkan dirinya sebagai penaung agama Buddha. Istiadat hari pertama itu berakhir dengan upacara Assumption di Kediaman Diraja Chakrabat Biman.

Upacara penuh tradisi itu disiarkan ke seluruh negara menerusi siaran langsung di televisyen dan laman sosial.

Hari kedua ialah hari yang ditunggu-tunggu rakyat Thailand kerana baginda diarak di sekitar kawasan lama kota Bangkok. Ia peluang untuk rakyat melihat raja mereka.

Pada hari berkenaan, matahari tegak di atas kepala tidak menunjukkan sebarang belas kasihan. Awan pula segan silu untuk muncul di langit Bangkok dengan suhu setinggi 37 darjah Celsius.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang orang ramai daripada membanjiri jalan-jalan utama di sekitar Bangkok untuk menjadi secebis daripada peristiwa bersejarah itu.

Seawal pukul 6 pagi, orang ramai mula beratur di tempat pemeriksaan keselamatan untuk ke kawasan sekitar Istana Besar walaupun perarakan hanya bermula pada 5 petang.

Upacara pada hari tersebut bermula pada sebelah pagi dengan pengurniaan darjah kebesaran kepada kerabat diraja.

Tandu emas

Baginda duduk di atas tandu emas diarak oleh 16 anggota pengawal diraja. Baginda diapit oleh Permaisuri Suthida yang berkawad di bawah tandu di sebelah kiri dan Puteri Bajrakitiyabha di sebelah kanan. Seramai 1,300 anggota terlibat dalam perarakan sepanjang tujuh kilometer itu.

Perarakan bermula dari gerbang Istana Besar sebelum bergerak ke Jalan Na Phra Lan, Ratchademnoen Nai Avenue dan memasuki Kuil Bovoranives. Perarakan dihentikan di kuil itu dan dua lagi kuil untuk membolehkan raja menghormati dewa Buddha.

Di luar istana dan di jalanan, kira-kira 200,000 rakyat hadir. Kelihatan baju berwarna kuning menawan kawasan pejalan kaki sepanjang jalan perarakan. Mereka duduk beramai-ramai sambil mengibarkan bendera Jata Negara dan Thailand.

Ketika tandu berada di hadapan hadirin, laungan shrong phra ja reern berkumandang dengan penuh bersemangat. Laungan itu bermaksud semoga tuanku panjang usia.

Seorang daripada penduduk Bangkok yang dikenali sebagai, Q Peiapun, 33, berkata, ia merupakan satu peristiwa yang tidak akan dilupakannya sebagai jurugambar profesional.

“Saya bangun awal pagi untuk mengambil gambar orang ramai yang datang untuk upacara itu di Stesen Kereta Api Hua Lampong.

“Kemudian, saya ke sekitar ibu kota dan akhirnya di depan Istana Besar untuk merakam detik-detik bersejarah ini,” katanya yang bekerja di majalah Praew.

Seorang lagi penduduk, Tanakrit Saidarasamuth, 29, berkata, dia datang bersama-sama keluarganya seawal pukul 10 pagi untuk mendapatkan tempat duduk yang lebih dekat bagi memudahkan melihat raja berusia 66 tahun itu.

“Ia merupakan satu acara sekali seumur hidup. Kami menyaksikan orang ramai saling membantu antara satu sama lain.

“Mereka juga setia duduk di tempat masing-masing walaupun perarakan bermula pada waktu petang,” ujarnya kagum dengan penganjuran istiadat itu yang berjalan lancar, tertib dan teratur.

Perunding kewangan itu berharap agar raja baharu mereka meneruskan legasi mendiang ayahanda untuk terus berkhidmat kepada rakyat Thailand.

Pada hari ketiga, baginda mengurniakan darjah kebesaran dan gelaran untuk kerabat diraja sebelum bertemu dengan ribuan rakyat yang tiba di pekarangan Istana Besar.

Baginda muncul di balkoni Dewan Suddhaisavarya Prasad pada pukul 5 petang diiringi Permaisuri Suthida serta 21 das tembakan meriam.

Baginda turut menyampaikan titah mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang hadir.

“Beta dan Permaisuri sukacita melihat rakyat yang hadir beramai-ramai bagi merafak sembah tahniah atas pertabalan beta.

“Semoga rakyat sentiasa sejahtera dan berjaya dalam apa pun yang dihajati,” titah baginda pada majlis tersebut.

CNN melaporkan, keseluruhan kos istiadat berkenaan menelan belanja AS$31 juta (RM128 juta).