“Ini kerana, misi tersebut merupakan satu tugasan yang sangat besar. Lebih-lebih lagi apabila berada di ruang angkasa yang tidak mempunyai sebarang kemudahan jika berlaku sebarang kecemasan,” jelas Jefferey Alan Hoffman, 72.

Biarpun begitu, Hoffman yang merupakan salah seorang daripada tujuh angkasawan yang ditugaskan dalam misi itu berkata, mereka bersyukur kerana berjaya menjalankan tugasan yang diberikan dengan cemerlang.

Selasa lalu, genap 24 tahun sekumpulan tujuh orang angkasawan terbang ke ruang angkasa untuk membaik pulih teleskop ­angkasa Hubble yang rosak.

Mengimbau kembali memori tersebut, Hoffman yang kini merupakan seorang profesor jurusan aeronautik dan angkasawan di Massachusetts Institute of Technology, Cambridge, Amerika Syarikat berkata, dia ditugaskan ke misi tersebut oleh Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) selepas mereka mendapati pandangan optik pada teleskop angkasa Hubble kabur.

“Teleskop ang­kasa Hubble telah dilancarkan ke orbit pada tahun 1990 dan pada waktu itu, pihak NASA menjanjikan bahawa te­leskop tersebut mampu memberikan pandangan ruang angkasa yang paling cantik dan jelas kepada umum.

“Bagaimanapun, perkara sebaliknya pula berlaku. Sebaik sahaja teleskop bernilai $2.5 bilion (RM10 bilion) itu dihidupkan di ruang angkasa, gambar-gambar yang dipancarkan oleh Hubble kabur dan tidak boleh difokuskan kepada mana-mana ruang,” jelasnya.

Cerita Hoffman lagi, pemasa­ngan teleskop Hubble bertujuan untuk membolehkan para saintis melihat jauh ke ruang angkasa bagi membuat penyelidikan dalam bidang astronomi dan astrofizik seperti menentukan kadar perkembangan alam semesta selain menentukan ciri-ciri atmosfera planet lain.

Eksplorasi angkasa

Bukan itu sahaja, Teleskop Hubble juga memainkan peranan penting dalam menghubungkan dunia eksplorasi ruang angkasa dan saintifik yang adakalanya terpisah.

Jelas Hoffman, penglihatan kabur teleskop membuatkan pihak NASA pada waktu itu berasa sangat malu.

NASA kemudian mengarahkan tujuh orang angkasawan termasuk dirinya untuk me­lakukan misi membaik pulih teleskop tersebut.

Angkasawan-angkasawan tersebut ialah Hoffman, Richard Covey, Kenneth Bowersox, Kathryn Thornton, Claude Nicollier, Story Musgrave dan Thomas Akers.

Menurut Hoffman, mereka memulakan misi membaiki te­leskop tersebut pada 5 Di­sember 1993 dan proses keseluruhan misi itu mengambil masa lebih dari seminggu.

“Mereka menetapkan bahawa kami perlu menyelesaikan misi tersebut dalam masa lima hari, namun tempoh itu adalah sukar memandangkan waktu perjalanan ke angkasa sahaja sudah mengambil masa sehingga lima hari.

“Berdasarkan rekod yang diperolehi, kami menghabiskan masa lebih 1,200 jam berada di ­ruang angkasa dan mengorbit sejauh 7.09 juta kilometer,” jelasnya.

Tempoh lama yang diambil oleh kumpulan tersebut menyebabkan orang ramai mula me­ragui kebolehan mereka untuk memperbaiki te­leskop tersebut dengan selamat.

“Ini adalah misi yang paling kompleks yang pernah dilakukan. Oleh kerana ia merupakan misi pertama kami, jadi keseluruhan proses membaik pulih mengambil masa yang panjang untuk disiapkan.

“Tidak dinafikan, sesetengah daripada kami berasa gementar sebaik tiba di angkasa. Ini ke­rana, kami semua sedia maklum bahawa tugasan tersebut adalah sangat berat dan kebarangkalian untuk gagal adalah tinggi.

“Bukan itu sahaja, kami juga perlu masuk ke dalam teleskop tersebut dan pada masa yang sama perlu berhati-hati bagi memastikan tubuh tidak berlanggar dengan mana-mana bahagian penting pada alat itu,” jelasnya.

Biarpun berhadapan dengan pelbagai cabaran, namun menurut Hoffman, mereka akhirnya berjaya menyelesaikan misi membaiki teleskop yang ditugaskan oleh NASA dan pulang ke Bumi dengan selamat.

Ahli astronomi

Menurut Hoffman, kepercayaan yang diberikan oleh NASA untuk membetulkan te­leskop tersebut secara tidak langsung memberi pe­ngalaman luar biasa dalam kerjayanya.

“Pengalaman berada lebih seminggu di angkasa memberi ruang kepada saya menjadi ahli astronomi yang bagus dan kini mempraktikkan pengalaman yang diperolehi itu kepada pelajar.

“Ia merupakan satu misi yang mulia apabila kami sanggup bergadai nyawa untuk keperluan penduduk Bumi.

“Biarpun begitu, pengalaman memegang dan membaiki sendiri teleskop Hubble di ruang angkasa tidak akan dilupakan sampai bila-bila memandangkan ia merupakan keseronokan sebenar sebagai seorang angkasawan,” jelasnya.

Berkongsi pengalaman yang sama, seorang lagi angkasawan yang terlibat dalam misi membaiki teleskop Hubble, Richard Covey, 71, menyifatkan kumpulannya sebagai pasukan yang hebat memandangkan mereka berjaya mengendalikan misi membaik pulih dengan selamat.

“Walaupun sebelum ini saya telah diterbangkan ke angkasa beberapa kali dan terlibat dalam beberapa misi-misi penting, namun misi membaiki teleskop Hubble pada tahun 1993 akan tetap diingati sampai bila-bila.

“Peluang mengembara sejauh 4,433,772 batu (7,094,035 kilometer) menerusi 163 kali mengorbit Bumi adalah satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

“Kesukaran dan cabaran yang dihadapi sepanjang lebih seminggu berkampung di sana berjaya membentuk kami menjadi seorang angkasawan yang cekap dalam mengendalikan tugas,” jelasnya.

Biarpun begitu, Covey bersara dari NASA lapan bulan selepas terlibat dalam misi tersebut.

Sekumpulan tujuh angkasawan diterbangkan ke ruang angkasa untuk membaiki kerosakan pada teleskop angkasa Hubble yang dilancarkan ke orbit pada tahun 1990.