Saraf olfaktori hidungnya juga sering dirangsang dengan bauan apabila bapanya yang menggemari minyak wangi lazim menyembur haruman pada tubuh kecilnya saat keluar dari rumah.

Membesar dalam suasana sebegitu, hatinya sudah berdetak untuk menceburi profesion yang sifatnya bergelumang dengan bau-bauan kala dewasa kelak. Hari ini, Joshua yang berusia 41 tahun sudah menjadi antara pembuat atau pereka bau minyak wangi (perfumer) terkemuka di negara ini dengan kelulusan sarjana dalam bidang pembuatan minyak wangi (perfumery) dari International Institute of Perfumery, Cosmetics and Aroma (ISIPCA), Versailles, Perancis.

Dek kerana serius mahu menggapai impian menjadi pembuat minyak wangi jugalah Joshua terdahulu mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan kimia di Universiti Putra Malaysia (UPM) serta mengambil kursus alternatif bahasa Perancis.

“Dari awal cita-cita saya mahu menjadi perfumer. Memandangkan di Malaysia jurusan perfumery tidak ditawarkan, maka rancangan untuk belajar dalam bidang kimia terlebih dulu kerana percaya ia bidang terhampir sebelum mengikuti pengajian di ISIPCA.

“Saya melanjutkan pengajian sarjana di ISIPCA selama dua tahun bermula 2001. Di situ barulah saya tahu bahawa membuat minyak wangi bukan main campur-campur sahaja macam main masak-masak,” selorohnya kepada Kosmo! ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Molekul

Lebih membanggakan, anak Pulau Pinang itu juga menerima pingat pelajar terbaik bagi projek tahun akhir pengajian apabila profesornya menghantar kertas kerjanya kepada International Persekutuan Antarabangsa Bagi Dagangan Minyak Pati dan Aroma (IFEAT).

Joshua yang mengasaskan jenama Josh Lee Fragrances sejak 2012 menjelaskan, minyak wangi ialah campuran antara bahan-bahan semula jadi dan sintetik seperti bunga-bungaan, kayu-kayuan, buah-buahan dan biji-bijian.

Lelaki yang pernah ditemu bual portal Asia, The Asian Entrepreneur itu menyifatkan minyak wangi ibarat gabungan elemen sains dan seni.

“Minyak wangi ialah suatu yang kompleks. Apabila membuatnya ia perlu dibahagikan kepada top note (atas), heart note (tengah) dan base note (bawah).

“Molekul-molekul yang ringan biasanya akan dilepaskan terlebih dulu apabila minyak wangi disembur. Bau ramuan pada bahagian atas akan dilepaskan dulu pada lima minit pertama, diikuti bahagian tengah dalam tempoh sekitar lima minit sehingga 20 minit dan akhir sekali, bahagian bawah yang melepaskan bau sehingga berjam-jam.

“Menghasilkan formulasi bau minyak wangi memerlukan kreativiti manakala komposisinya umpama seni muzik. Minyak wangi juga melibatkan bahan-bahan kimia yang tertentu yang memerlukan kita pengetahuan mengenai kesesuaian padanannya dengan ramuan,” katanya.

Joshua berkata, sudah begitu banyak ramuan minyak wangi yang telah dihidu dan sehingga hari ini dia boleh mengenal pasti atau membezakan sehingga 300 bau ramuan.

“Semasa di ISIPCA lagi, dalam kelas perfumery, kami sering diminta menghidu kira-kira 200 ramuan sehari.

“Bukan senang nak ingat bau-bau itu. Ia memerlukan latihan. Kami diajar untuk membezakannya dengan menghasilkan imaginasi terhadap bau itu seperti bau kayu terbakar dan sebagainya,” katanya yang menggemari bau sandalwood dan mawar damascena.

Joshua berkata, sebagai pencipta minyak wangi, kepekaan deria hidu paling penting bagi memastikan bau yang terbaik dapat dihasilkan.

“Sebab itu, jika hidung tersumbat atau selesema, kerja-kerja saya perlu dihentikan seketika sehingga sembuh atau deria hidu kembali berfungsi dengan baik,” katanya yang memberitahu pendapatan permulaan perfumer kira-kira RM8,000 sebulan.

Sukatan

Bekerja sebagai pembuat minyak wangi berkelulusan tinggi atau bertauliah dalam bidang perfumery, Joshua berkata, ia membolehkannya menghasilkan bau-bau unik yang tiada di pasaran tanpa mengabaikan aspek keselamatan.

“Ia membolehkan saya menghasilkan minyak wangi yang lebih berkualiti dengan mengikut standard antarabangsa.

“Kami telah didedahkan pengetahuan dengan sukatan-sukatan bahan yang digunakan agar tidak memudaratkan pengguna,” katanya yang telah mengeluarkan tiga rangkaian minyak wangi iaitu George Town, Oud dan Nyonya yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan mendapat sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Saya gemar mencipta suatu bau yang diinspirasikan daripada budaya dan warisan. Saya mendapat kepuasan dengan mencipta minyak wangi, apatah lagi pelanggan-pelanggan saya bukan sahaja masyarakat tempatan tetapi juga dari Perancis, Australia, India dan Jepun,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pembuat minyak wangi yang mempunyai sijil profesional daripada Perfumers Studio Los Angeles, Amerika Syarikat, Arfan Ramli, 42, berkata, pembelajaran di situ mendedahkan kepadanya tentang metodologi pembuatan minyak wangi yang tepat dan sistematik.

“Ia menjadikan saya lebih yakin untuk menghasilkan minyak wangi sendiri dan seterusnya mengajar kepada orang-orang lain yang berminat,” katanya yang mengikuti pengajian itu dengan tajaan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dari September sehingga Oktober lalu.

Arfan berkata, di studio tersebut dia diajar sejarah minyak wangi, cara menghidu dengan betul, sifat kimia bahan-bahan, meneka ramuan-ramuan terkandung dalam sesuatu minyak wangi dan menghasilkan bau minyak wangi.

“Ruang kerja kami mirip makmal. Di dalam makmal tempat pengajian saya, ada sehingga 2,000 bahan ramuan dan kami perlu menghidu 200 ramuan sehari,” katanya yang merupakan Pengerusi Persatuan Usahawan Karas dan Gaharu Bumiputera.

Titisan

Sejak menjadi pembuat minyak wangi, rutin Arfan sering bergelumang dengan bahan-bahan mentah ramuan minyak wangi dan alat penitis.

“Ia melibatkan proses cuba dan uji yang panjang sehingga kita berjaya menemui bau yang dikehendaki.

“Membancuh minyak wangi memerlukan ketelitian dalam memasukkan titisan-titisan ramuan ke dalam botol. Satu titisan bersamaan dengan isipadu 0.02 mililiter,” kata pengasas jenama Fuse Kuala Lumpur itu.

Meminati haruman sejak di bangku sekolah rendah apabila sering mencuri guna minyak wangi Drakkar Noir bapanya, Arfan kini sudah menghasilkan koleksi 11 minyak wangi yang sedia berada di pasaran.

Penggemar minyak wangi ciptaan Arfan, Syed Mohamad Syed Abdullah, 42, berkata, produk yang dihasilkan perfumer tempatan lebih digemari kerana mereka berpengetahuan tinggi dalam mencipta haruman yang bersesuaian dengan cita rasa tempatan.

“Bau yang dihasilkan menarik. Saya suka bau rempah-rempah sedikit sesuai dengan cita rasa Malaysia. Arfan juga dapat mengubah bau gaharu menjadi lebih menyenangkan dan tidak begitu berbau tradisional.

“Saya percaya golongan ini mampu menghasilkan minyak wangi yang bersesuaian dengan cita rasa dan cuaca tempatan. Minyak-minyak wangi popular antarabangsa mungkin tidak bersesuaian dengan cuaca di Malaysia yang mudah mengeluarkan peluh,” katanya yang merupakan anggota kumpulan Ruffedge.