Lela memberitahu, ibunya memasak banyak juadah selepas dimaklumkan akan menerima kunjungan tetamu yang mahu beraya di rumahnya.

Begitu pun, tetamu tersebut akhirnya memaklumkan tidak dapat datang kerana memenuhi undangan lain.

Menurut Lela, ibunya memasak begitu banyak juadah seperti mi udang, ayam sambal bambu, pengat durian, nasi beriani, puding roti, karipap dan kambing bakar.

“Ada ke patut dia cakap, rumah mak andak dekat dalam hutan sangat, sampai tersesat. Kami dah terlepas sampai ke Negeri Sembilan. Kami beraya rumah orang lain dulu lah,” tulisnya dalam perkongsian tersebut.

Lela mengakui cukup kesal dengan tindakan tetamu tersebut yang tidak menepati janji serta membuatkan ibunya tertunggu-tunggu dari pagi sehingga ke malam.

Lebih menyedihkan, ibu Lela memasak juadah tersebut seorang diri dalam keadaan dia kurang sihat kerana pergelangan tangannya patah.

Akhir perkongsian, Lela meminta netizen supaya mendoakan kesihatan ibunya.

Rata-rata netizen turut melahirkan rasa marah dengan tindakan tetamu tersebut yang dianggap tidak menghormati masa dan usaha orang lain.