Itik tersebut yang diberi nama Trevor menjadi selebriti di negara kecil itu kerana merupakan satu-satunya itik di pulau tersebut.

Penduduk memberinya nama Trevor yang diambil sempena nama seorang ahli politik New Zealand iaitu Trevor Colin Mallard. Ia kerana ‘mallard’ bermaksud itik melewar dalam bahasa Inggeris.

Trevor dipercayai tiba di situ pada awal tahun lalu tetapi tidak ada sesiapa yang benar-benar mengetahui bagaimana ia boleh sampai ke Niue.

Kedatangannya disambut baik oleh penduduk tempatan apabila mereka bersama-sama menjaga itik tersebut dan memberinya makan.

“Dia muncul di Niue pada Januari tahun lalu selepas ribut besar dan kemungkinan disebabkan itu ia diterbangkan ke sini.

“Trevor dipercayai berasal dari New Zealand, jika tidak pun Tonga atau negara Pulau Pasifik lain,” terang Ketua Dewan Perdagangan Niue, Rae Findlay.

Menurut Findlay yang merupakan pemilik akaun Facebook rasmi Trevor, Trevor the Duck-Niue, New Zealand merupakan negara pembiak itik melewar dan ia terletak 2,400 kilometer dari Niue.

Seramai 1,624 orang tinggal di Niue yang terkenal dengan tebing batu kapur dan keindahan tempat menyelam.

Niue turut popular dengan khazanah alam semula jadi yang masih terpelihara dan kedatangan Trevor melonjakkan lagi nama Niue.

Selebriti nasional

Walau apapun teori kedatangan Trevor, ia mengejutkan penduduk Niue yang pertama kali menerima kehadiran seekor itik melewar.

Trevor sekali gus diangkat sebagai selebriti nasional dan menjadi sebahagian daripada komuniti Pulau Niue.

Niue merupakan sebuah negara yang sangat jarang menerima hujan.

Justeru, Trevor mengalami krisis tempat tinggal apabila tanah di pulau itu tidak mempunyai sungai, kolam atau tasik yang sesuai untuk menjadi habitatnya.

Keadaan itu menyebabkan itik tersebut memilih untuk tinggal di sebuah lopak air.

Ramai yang risau dengan Trevor kerana ia tinggal bersendirian, tetapi ada juga yang berpandangan bahawa itik tersebut pandai menjaga diri.

“Sekiranya ia datang ke Niue untuk mencari tempat tinggal atau persinggahan sahaja, kita patut membiarkan ia hidup secara semula jadi,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Pelancongan Niue, Felicity Bollen.

Tuturnya, Niue mempunyai ikan paus, ikan lumba-lumba dan pelbagai binatang di dalam air tetapi hampir tidak ada binatang di daratan.

Kesunyian

Oleh itu, kehadiran Trevor ke pulau tersebut menjadikan ia sangat unik.

Menariknya, lopak air habitat Trevor tinggal itu juga sering dijadikan penanda arah di pulau itu.

Bagi memastikan lopak tersebut tidak kering, pihak bomba dan penduduk setempat akan mengisi air.

Tetapi kehidupannya yang bersendirian tanpa itik-itik yang lain menyebabkan ramai menggelarnya sebagai itik paling kesunyian di dunia.

Sehubungan itu, ada yang bimbang sekiranya Trevor hidup dalam kesepian dan mereka tertanya-tanya bagaimana caranya mengurangkan kesunyian itik tersebut.

“Keadaan tersebut sangat pelik kerana Trevor tidak mempunyai itik betina sedangkan haiwan ini memang suka hidup berpasangan,” ulas Timbalan Editor Politik NZ Herald, Claire Trevett yang pernah melawat selebriti pulau tersebut pada tahun lalu.

Namun, Findlay menyangkal pandangan orang ramai yang menganggap Trevor kesepian kerana itik tersebut menerima ramai pelawat setiap hari.

Mereka memberinya makan, merakam gambar dan berswafoto.

Di lopak air tersebut Trevor berkawan dengan seekor ayam jantan dan seekor weka, sejenis burung tempatan Niue.

Baru-baru ini, warga pulau Niue dikejutkan dengan berita kematian tragis Trevor kerana diserang oleh anjing di tempat tinggalnya itu.

Berita kematian itik tersebut disiarkan di laman Facebook rasminya, Trevor the Duck-Niue pada 26 Januari lalu.

Findlay bersedih kerana rutinnya menemui Trevor selepas pulang kerja untuk memberi itik itu makan oat selama setahun sudah berakhir.

Rata-rata penduduk Niue dan orang ramai menyatakan simpati yang mendalam terhadap kematian itik tersebut.

Notis kematian tersebut memberi penghormatan kepada itik melewar itu yang menjadi tarikan pelancongan di pulau Niue serta berjaya menawan hati penduduk tempatan.

“Kami mengesahkan laporan bahawa Trevor telah pun mati. Ia ditemui di dalam belukar selepas diserang oleh anjing.

“Berehatlah dengan tenang, kamu itik yang hebat,” tulis pemilik akaun Facebook itu.

Takziah

Berita kematian Trevor mula memenuhi ruangan media sosial apabila masyarakat tempatan dan global bertanya khabar serta meratapi pemergiannya.

Ramai bertanya ke mana itik itu pergi kerana ia tidak kelihatan berenang di lopak air tersebut.

“Apa yang berlaku? saya harap ia dalam keadaan baik,” tulis salah seorang penduduk, Randall Haines.

Haines berkata, Trevor sangat terkenal di pulau itu dan semua orang tahu mengenainya.

“Setiap kali memandu berhampiran lopak air itu seakan tidak sah tanpa melihat Trevor berenang di situ.

“Itik itu kelihatan sangat gembira walaupun tidak mempunyai ramai kawan,” tuturnya.

Ramai orang merindukan kehadiran Trevor tetapi hakikatnya ia telah tiada.

Kehilangan Trevor turut dirasai oleh sahabatnya, ayam jantan dan weka yang kelihatan sangat sedih serta mencari-carinya di sekitar lopak air tersebut.

Takziah turut diucapkan oleh Colin Mallard sendiri, tokoh politik New Zealand yang namanya diguna pakai kepada itik itu.

“Simpati yang amat dalam disampaikan kepada seluruh penduduk Niue daripada Parlimen New Zealand,” ucapnya.

Seekor itik melewar yang tersesat ke Niue menjadi selebriti kerana ia merupakan satu-satunya itik di negara pulau itu. Namun, baru-baru ini ia mati diserang anjing.