Menariknya, but-but yang disusun itu bukanlah but biasa memandangkan ia bermotifkan tenun Indonesia yang cukup memikat.

Kru Panorama kemudian mendekati Yunita yang berkampung selama tiga hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur sempena Festival Produk Kreatif Indonesia 2018 awal bulan lalu.

“Ini merupakan kunjungan saya yang pertama ke Malaysia bagi mempromosikan kasut tenun dari Lombok, Indonesia kepada pengunjung di sini,” ujarnya ramah.

Menurut anak kelahiran Midang, Lombok Barat itu, jenama kasutnya iaitu Tresne Footwear mula ditubuhkan semenjak tahun 2013.

Kombinasi warna

“Saya dan suami menubuhkan jenama ini yang menghasilkan kasut daripada material batik, tenun dan kulit.

“Menariknya, ia mengetengahkan tenunan asli masyarakat Lombok, namun diberikan suntikan moden bagi memastikan ia sesuai dengan cita rasa pelanggan kini,” ujarnya panjang lebar.

Wanita berusia 29 tahun itu menambah, selain kasut but, Tresne juga menghasilkan beberapa jenis kasut lain seperti selipar, sandal dan kasut bertumit rata.

Begitu pun, kasut jenis but merupakan produk terlaris jenama itu memandangkan ia cukup unik dan tidak boleh diperoleh dari mana-mana kedai kasut lain.

Keistimewaan kasut tenun itu terletak pada ketelitian dan kehalusan seni tenunannya.

“Tidak ramai yang tahu bahawa seni tenunan Lombok sememangnya cukup halus dan cantik. Keunikannya terletak pada kombinasi warna benang tenunan yang kemudiannya dipadankan dengan material kulit sebelum ia menjadi sepasang kasut.

“Selain itu, jika diperhatikan, hampir kesemua kasut yang dihasilkan menggunakan material berwarna coklat memandangkan ia merupakan warna identiti tenunan dari Lombok,” ujarnya.

Ujar Yunita, buat masa ini, dia mempunyai lima orang pekerja yang menghasilkan kasut Tresne setiap hari.

“Kasut ini dihasilkan setiap hari memandangkan kami menerima jumlah tempahan yang memberangsangkan.

“Buat masa ini, kami beroperasi secara dalam talian dan menyediakan khidmat penghantaran ke seluruh Indonesia.

“Antara lokasi di sekitar Indonesia yang paling banyak menerima tempahan ialah di Jakarta, Bandung dan Bali,” tuturnya.

Sambutan hangat

Kunjungan pertamanya ke negara ini ternyata cukup mengujakan apabila jenama Tresne mula mendapat perhatian warga kota.

Sama seperti di Indonesia, pelanggan di ibu kota juga dilihat cukup tertarik dengan kasut jenis but yang dihasilkan oleh Tresne.

“Saya tidak menyangka sambutan terhadap kasut jenis but amat memberangsangkan sehingga ia habis dijual dalam masa tiga hari,” jelasnya.

Kasut jenis but merupakan produk Tresne yang paling mahal dan dijual pada harga RM357.

Kasut jenis sandal pula merupakan produk Tresne dijual pada harga paling berpatutan iaitu RM65 sepasang.

Jenama Tresne Footwear dari Lombok mengetengahkan pelbagai jenis kasut dengan tenunan tradisi daerah itu.