Kini terdapat sejenis pewarna gigi yang dicipta khusus untuk memberi peluang kepada orang ramai tampil dengan warna gigi yang berwarna-warni.

Pewarna gigi yang diberi nama Chrom itu hadir dengan 10 varian warna sebagai pilihan agar pengguna dapat mewarna gigi mereka mengikut cita rasa tersendiri sama ada mahu sama seperti warna pakaian atau kuku mereka.

Antara varian warna yang disediakan ialah merah jambu, biru, hijau, emas, perak dan tembaga.

Harga bagi satu tiub Chrom antara RM75 hingga RM91 dan boleh dibeli menerusi laman web syarikat.

Chrom juga dikatakan amat mudah digunakan dan mampu bertahan sehingga 24 jam setiap kali penggunaannya.

Trend seharian

Malah, Chrom tidak mencomotkan ketika penggunanya makan selain tidak mempunyai sebarang rasa membolehkan mereka menikmati hidangan tanpa sebarang gangguan.

Setiap tiub Chrom mengandungi alkohol dan pigmen warna menyerupai apa yang terdapat pada pewarna berkualiti tinggi, malah formula Chrom dikatakan dihasilkan oleh doktor-doktor gigi.

Pengasas Chrom, David Silverman berkata, penggunaan Chrom dijangka akan menjadi trend seharian.

“Kami menjangka penggunaan Chrom akan menjadi satu kebiasaan sama ada di kelab malam mahupun di pejabat.

“Orang ramai mungkin pergi bekerja dengan gigi yang mempunyai warna yang sama dengan warna kuku atau warna rambut mereka,” katanya sambil menambah trend berkenaan kini popular di festival muzik.

Jelas Silverman, Chrom tidak mengotorkan gigi si pemakainya selain ia tidak bersifat kekal.

Senarai lengkap bahan yang terkandung dalam Chrom tidak didedahkan atas alasan kerahsian syarikat, namun syarikat menegaskan bahawa produk itu adalah 100 peratus selamat.

Mereka juga memberitahu bahawa Chrom mudah untuk ditanggalkan iaitu dengan hanya memberus gigi menggunakan ubat gigi biasa.

Kesan jangka panjang

Bagaimanapun, doktor-doktor gigi masih belum berani memberi jaminan sama ada produk itu selamat atau tidak selagi tidak mengetahui kesemua bahan kandungannya.

Menurut seorang doktor gigi, Dr. Ramind daripada NYC Design Smile, Chrom mungkin selamat untuk digunakan dan mungkin juga tidak selamat untuk digunakan.

“Saya tidak pasti apa yang ada di dalam produk ini memandangkan syarikat tidak mahu mendedahkan sepenuhnya bahan yang terkandung di dalamnya.

“Sekiranya saya meletakkan sesuatu seperti ini pada gigi, kemungkinan saya tertelannya. Jadi saya perlu tahu apa sebenarnya yang saya masukkan ke dalam tubuh saya,” katanya.

Sementara itu, seorang doktor gigi di Woodridge, New York, David Drew memberitahu NY Post, dia tidak berani mengatakan produk itu selamat digunakan tanpa sebarang kajian jangka panjang mengenai kesannya dilakukan terlebih dahulu.

Namun, bagi pihak Chrom sendiri, mereka tidak bimbang mengenai tanggapan negatif yang dilemparkan terhadap mereka, malah syarikat itu kini merancang untuk mengeluarkan varian warna baharu Chrom.