Bukan sahaja tidak bersedih, pemergian orang tua itu dianggap suatu kelegaan bagi dirinya. Bagi orang yang sekeliling yang tidak mengerti derita yang terpaksa dilaluinya mungkin akan menganggap Ana sebagai insan tidak berhati perut.

Diajak bercerita tentang perihal itu, Ana diam seribu bahasa sebelum bibirnya mula menyusun bicara.

“Nenek tidak pernah menyayangi saya dan adik-beradik lain. Ini kerana dia terlalu benci pada ibu yang bukan calon menantu pilihan,” tuturnya perlahan.

Menurut Ana, perkahwinan kedua-dua orang tuanya menerima tentangan nenek hanya kerana ibunya berketurunan lain dan merupakan seorang mualaf.

“Semasa kecil, nenek tinggal bersama kami sekeluarga selepas kematian suami yang juga datuk kami. Kehadirannya di rumah bagaimanapun tidak disenangi kerana kami adik-beradik selalu dimarahi dan dicerca dengan kata-kata kesat berbaur perkauman.

“Saya masih ingat setiap kali ibu dan ayah keluar ke pejabat, dia akan mula mencari kesalahan kami untuk dimarahi,” cerita anak ketiga daripada empat beradik itu.

Baling parang

Bercerita lanjut, Ana berkata, neneknya juga tergamak memukul dan mendera mereka adik-beradik hingga mendatangkan kecederaan.

“Pernah sekali, dia terlalu marahkan kami kerana bising bermain hingga sanggup membaling parang ke arah saya. Bagaimanapun, tindakan pantas abang menyelamatkan nyawa saya.

“Begitu pun, parang yang dibaling itu mengenai belakang badannya hingga menyebabkan kulit badan terkoyak dan mengalami luka besar serta dalam.

“Sampai hati nenek kerana mengunci kami di luar rumah selepas kejadian itu dan menyumpah agar cepat mati serta tidak menyusahkan hidupnya lagi,” imbaunya yang mendapatkan pertolongan jiran untuk membawa abangnya ke hospital.

Kata Ana, untuk kanak-kanak berusia enam tahun, pengalaman pahit tersebut meninggalkan kesan trauma yang sukar untuk dilupakan.

“Mungkin saya masih kecil untuk mengingati butir-butir kejadian tetapi setiap caci maki, kata-kata kesat dan perbuatan nenek yang menyakitkan terkesan di jiwa saya,” ujarnya kesal.

Ana mengakui penderaan fizikal dan mental yang dilaluinya hingga meningkat remaja membenihkan perasaan dendam di dasar hatinya.

Perasaan tersebut tambah membara selepas Ana menyaksikan sendiri bagaimana ibunya selalu diherdik, disakiti dan dianiaya neneknya itu lebih-lebih lagi jika ayahnya tiada di rumah.

“Nenek selalu membawa perempuan lain yang dirasakan lebih baik daripada ibu untuk menjadi menantunya ikut pulang ke rumah.

“Saya tidak tahu apa niat sebenarnya. Mungkin dia mahu membuatkan ibu cemburu atau mungkin juga hendak melaga-lagakan ayah dan ibu supaya mereka bercerai.

“Saya pernah bertanyakan kepada ibu mengapa nenek bersikap sedemikian tetapi ibu meminta saya sentiasa bersabar dengan sikapnya,” kata Ana.

Kesihatan merosot

Bertutur lanjut, Ana memberitahu, dia pernah mengadukan hal tersebut kepada ayahnya tentang perbuatan neneknya mendera mereka adik-beradik.

“Sewaktu itu saya berharap nenek ditangkap pihak berkuasa untuk mengakhiri penderitaan kami tetapi ayah enggan berbuat demikian.

“Dahulu saya menyangkakan ayah juga tidak menyayangi kami kerana sikap tidak endahnya itu tetapi kini baru saya faham alasan sebenar.

“Ayah sebenarnya enggan membesar-besarkan perkara tersebut selain tidak tergamak untuk mengheret ibunya sendiri ke muka pengadilan tambahan lagi wanita itu sudah berumur,” jelas Ana.

Menurut Ana yang berkhidmat di sektor swasta itu, faktor usia lanjut dan kesihatan yang semakin merosot menjadikan neneknya itu tidak lagi galak menyakiti mereka sekeluarga.

“Apabila nenek sudah terlantar sakit, dia berubah sedikit demi sedikit dan tidak suka marah-marah seperti dahulu. Dia juga sudah boleh menerima ibu sebagai menantunya sementelah wanita itu yang banyak menjaganya semasa sakit.

“Apa pun yang berlaku kepada saya dan adik-beradik biarlah berlalu. Bagi saya, cukuplah penderitaan yang dilalui kami selama ini. Lagipun, arwah sudah tiada dan tidak perlu saya terus membuka aibnya,” ujar Ana menutup bicara.