Tahun lalu, masalah sampah di Bali semakin buruk, sekali gus memaksa pihak berkuasa mengisytiharkan ‘darurat sampah’ di kawasan tersebut.

“Setiap kali membawa pelancong bersiar-siar, mereka akan mengeluh mengenai suasana pantai yang kotor.

“Mereka mengatakan pemain sektor pelancongan di sini tidak cekap dan bertanya apa yang kami buat untuk mengatasinya,” ujarnya.

Tidak mahu terus membutakan mata serta memekakkan telinga berdepan situasi tersebut, Wayan menyertai dan kini menjadi pengerusi pertubuhan yang dikenali sebagai Trash Hero di Indonesia.

Trash Hero merupakan inisiatif global yang dicetuskan oleh aktivis kelahiran Switzerland, Roman Peter pada tahun 2013. Ia mempunyai lebih 50 kumpulan rasmi termasuk di Malaysia, Thailand, Myanmar, China, Republik Czech, Singapura dan Amerika Syarikat.

Di Indonesia, gerakan berteras komuniti itu mempunyai lebih 20 cawangan di seluruh negara tersebut dan kira-kira 12 kumpulan lagi di sekitar Bali.

Ia menggunakan platform media sosial untuk mengatur program mengutip sampah secara mingguan oleh sukarelawan.

Bapa kepada dua cahaya mata itu bercerita, dia turut memberi ceramah kesedaran di sekolah dan masyarakat mengenai cara-cara mengurus sisa buangan dengan baik.

“Kami mungkin perlukan lebih banyak masa tetapi kami sudah bermula. Perkara-perkara besar bermula daripada langkah kecil,” tuturnya.

Dalam hal ini, Indonesia mempunyai lebih daripada 17,000 pulau dengan kepesatan ekonomi dan populasi penduduk yang padat didorong faktor urbanisasi.

Pengarah Urusan Ocean Conservancy, Susan Ruffo berpendapat, perkara itu menjadi antara penyebab utama pembuangan sampah tidak terkawal.

Organisasi sosial yang tidak berasaskan keuntungan dari Amerika Syarikat itu turut melihat sebahagian besar penyedia perkhidmatan dan infrastruktur pengumpulan sampah tidak mempunyai mekanisme sistematik sejajar perkembangan semasa.

Menurut Ocean Conservancy lagi, secara global, lebih lapan juta tan sampah terutamanya plastik dibuang ke dalam lautan sama ada secara langsung atau tidak langsung saban tahun. Ia bersamaan dengan satu muatan trak per minit.

Mengesan asal-usul lambakan sampah di pantai Bali sangat sukar. Namun, pakar menganggarkan sehingga 80 peratus berasal dari pulau itu sendiri.

 

Mesra alam

Sampah yang dikumpulkan dari hotel dan penempatan penduduk tempatan lazimnya dibuang ke dalam sungai dan kemudian dibawa ke laut sebelum akhirnya kembali ke pantai.

Peningkatan penggunaan pembungkusan plastik sepanjang dekad lalu, ditambah dengan kuasa pengguna yang kian meningkat telah memburukkan lagi masalah tersebut.

Sementara itu, sektor perniagaan perlu mengubah reka bentuk produk atau mengubah komposisi material yang digunakan supaya ia lebih mesra alam atau dapat dikitar semula.

Dalam pada itu, Pengurus Rumah Kompos, Supardi Asmorobangun berkata, kemudahan kitar semula bernilai RM4 juta dibiayai kerajaan akan meningkatkan kapasiti Rumah Kompos pada akhir tahun ini.

Beroperasi di Pusat Kebudayaan Ubud, Bali, syarikat tempatan itu memiliki enam trak bagi mengumpul sisa dari hotel dan rumah persendirian.

Sampah kemudian dipisahkan di depot syarikat untuk mengitar semula, menjadi kompos atau dihantar ke tapak pelupusan.

“Impian saya lima tahun akan datang adalah memastikan setiap kampung di Bali melakukan pengasingan sampah. Kami mesti buat sekarang, bukan esok,” tegasnya.

Menyedari hakikat itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo telah menggariskan 10 sasaran baharu di seluruh kepulauan Indonesia untuk meningkatkan kecekapan industri pelancongan di republik berkenaan.

Tahun lalu, menteri penyelaras untuk urusan maritim Indonesia, Luhut Binsar Pandjaitan, menjanjikan belanjawan sehingga RM4.1 bilion bagi mengurangkan kadar sisa laut sehingga 70 peratus menjelang tahun 2025.

Pakar dalam bidang sisa plastik dan serpihan marin dari Universiti Georgia, Prof. Jenna Jambeck berkata, Indonesia sudah bertindak dan mempunyai keinginan kuat untuk melindungi sumber serta keindahan semula jadi negara mereka.

Sekarang, kawasan pantai pelancongan Bali dibersihkan sekurang-kurangnya sekali sehari oleh pihak berkuasa tempatan menggunakan jentera berat.

Gotong-royong berskala mega pula dianjurkan sekurang-kurangnya tiga kali setahun di Bali dan seluruh Indonesia melibatkan puluhan ribu penduduk tempatan serta pelancong.

– Thomson Reuters Foundation