Bergerak dengan sejumlah 15,087 anggota meliputi pelbagai jawatan dan bidang tugas, TUDM berperanan untuk melaksanakan tugas mempertahankan ruang udara dan keutuhan negara serta kepentingannya melalui pengawalan ruang angkasa, pertahanan udara (defensive counter-air), serangan udara (offensive counter-air) dan juga cegah rintang udara. Selain itu, TUDM juga berperanan menangani ancaman di permukaan darat dan maritim melalui pelaksanaan serangan strategik dan operasi maritim. Bagi memantapkan lagi operasi TUDM, satu pelan transformasi telah dirangka bagi meningkatkan kekuatan ketenteraan termasuk keperluan memiliki aset terkini yang lebih canggih. Bagi mendapatkan penjelasan lebih terperinci, ikuti temu bual yang dijalankan oleh wartawan Kosmo! Ahad, MOHAMMAD SHAHEMY AZMI, bersama Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang di pejabatnya di Markas Tentera Udara, Kementerian Pertahanan Malaysia, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Apakah langkah terbaharu yang dilaksanakan oleh TUDM bagi memantapkan lagi kekuatan ketenteraan seperti pembelian aset-aset ketenteraan yang lebih canggih?

JENERAL TAN SRI AFFENDI BUANG: TUDM kini giat memantapkan lagi keupayaan melalui pelan transformasi yang lebih memfokuskan kepada misi TUDM sendiri iaitu mempertahankan kedaulatan dan keutuhan negara serta kepentingan melalui penggunaan kuasa udara yang berkesan. TUDM merumuskan pelan transformasi yang dikenali sebagai Pembangunan Keupayaan 2055 atau CAP55. CAP55 merancang pelan pembangunan kemampuan TUDM sehingga tahun 2055 yang merangkumi perolehan dan peningkatan aset-aset TUDM baharu serta keupayaan yang selari dengan keperluan ini. Pelan tersebut akan diselaraskan dengan Pelan Pembangunan Angkatan Tentera Malaysia dan pencapaiannya akan diselaraskan dengan keperluan TUDM secara berperingkat. Tumpuan CAP55 adalah untuk memastikan bahawa TUDM kekal relevan dalam membentuk keupayaan demi memastikan sebarang ancaman dapat ditangani secara efektif dan dibendung sejauh mungkin dari Malaysia.

Di manakah kedudukan Malaysia dari segi kekuatan pesawat yang dimiliki berbanding dengan negara-negara Asean yang lain?

Peranan, fungsi, tanggungjawab serta keadaan politik di setiap negara adalah berbeza dan perkara ini sinonim walaupun dalam kalangan negara-negara di Asia Tenggara. Malaysia mempunyai pelbagai jenis pesawat yang berkeupayaan untuk memenuhi semua tanggungjawab yang diamanahkan bagi menjaga kedaulatan negara. TUDM mempunyai kekuatannya yang tersendiri dari segi aset dan sumber kekuatan manusia. Namun, keupayaan TUDM dapat dipertingkatkan apabila aset-aset TUDM dapat diintegrasikan dan seimbang dalam ketumbukan ATM secara keseluruhan yang dapat menghasilkan kekuatan optimum kepada negara.

Adakah TUDM juga perlu memiliki pesawat pejuang generasi kelima bagi menggantikan pesawat lama seperti MiG-29?

Jet pejuang generasi kelima adalah klasifikasi jet pejuang yang mempunyai keupayaan penerbangan yang tinggi diiringi sistem yang berintegrasi penuh dalam semua aspek selain bersifat halimunan (stealth). Pada masa ini, kos untuk pesawat generasi kelima adalah terlalu tinggi dan Malaysia tidak mampu untuk membeli dan seterusnya mengoperasikan pesawat kategori tersebut. Antara pesawat generasi kelima pada masa kini adalah Lockheed Martin F-22 Raptor, Lockheed Martin F-35 Lightning II dan Chengdu J-20 buatan China. Perolehan pesawat pejuang adalah berdasarkan bajet negara dan juga perancangan operasi TUDM. Pelan transformasi CAP55 menyasarkan keupayaan jet pejuang TUDM yang didokong oleh dua skuadron pesawat MRCA (Multirole Combat Aircraft) dan skuadron pesawat LCA (Light Combat Aircraft) pada masa hadapan.

Selepas 77 tahun beroperasi, Pangkalan Tentera Udara Kuala Lumpur akhirnya dipindahkan ke Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan. Apakah kelebihan dan keupayaan yang dimiliki oleh pangkalan baharu itu dalam usaha meningkatkan keupayaan TUDM?

TUDM sentiasa merancang program pembangunan dan peningkatan ke atas aset-aset dan infrastruktur sedia ada bagi menentukan keupayaan tersebut sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi terkini dan memenuhi keperluan operasi TUDM. Projek Pangkalan Udara Sendayan mula dibangunkan pada tahun 2013 dan dirancang untuk menjadi sebuah pusat latihan profesional terbesar di negara ini dengan menggabungkan tiga pusat latihan TUDM dari Subang dan Kinrara di Selangor dan Pulau Pinang di bawah satu bumbung. Pangkalan Udara Sendayan yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Seremban telah menjadi alternatif yang lebih baik bagi TUDM dengan mengambil kira aspek keselamatan serta rasionalisasi pucuk pimpinan yang berwawasan serta transformasi dalam kerajaan dan TUDM itu sendiri. Pangkalan Udara Sendayan yang direka dan dibangunkan ini akan memberi keselesaan kepada para pegawai dan kakitangan TUDM. Kemudahan pangkalan yang serba lengkap ini akan menempatkan latihan dan keseragaman TUDM di bawah satu bumbung serta mewujudkan pemerintahan dan kawalan yang lebih berkesan.

Melalui perpindahan ini, adakah TUDM mempunyai perancangan bagi merangka agenda pemodenan TUDM?

Projek pemodenan TUDM adalah melalui keupayaan yang dirancang di dalam CAP55. Tumpuan CAP55 adalah untuk memastikan bahawa TUDM kekal relevan dalam membentuk keupayaan demi memastikan sebarang ancaman dapat ditangani secara efektif. Isu kemampuan dan kekangan kewangan masih merupakan pertimbangan utama dalam pelan pembangunan ini. Pembangunan keupayaan turut diberi perhatian mengikut persekitaran geo-strategik yang berlaku tanpa kehilangan pandangan keupayaan yang dikehendaki dan diperlukan oleh TUDM. Oleh itu, sebagai angkatan udara kecil dan menghadapi kekangan kewangan, CAP55 akan memberi tumpuan untuk menghapuskan isu legasi yang mempunyai terlalu banyak jenis platform, sistem-sistem yang usang (obsolescence) dan peningkatan kos penyelenggaraan akibat platform yang usang (escalation of maintenance cost due to aging platforms). Untuk mencapai aspirasi ini, perancangan utama CAP55 adalah realistik, berpatutan, tepat pada masanya dan berkesan.

Apakah sasaran utama yang hendak dicapai melalui pemodenan TUDM?

TUDM bertanggungjawab untuk mempertahankan ruang udara. Segala perolehan aset dan peralatan adalah berpandukan kepada keupayaan untuk mempertahankan ruang udara Malaysia. TUDM memang sedang dan sentiasa memastikan semua aset dan peralatan yang diperoleh adalah seiring dengan konsep kesiapsiagaan pertahanan ruang udara Malaysia. Segala perancangan struktur keupayaan adalah berpandukan objektif tersebut.

Apakah antara aktiviti yang dilakukan oleh TUDM untuk mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara serantau seperti Singapura Indonesia dan Thailand bagi menguatkan lagi ketenteraan?

Kerjasama pertahanan merupakan sebahagian dari strategi TUDM dalam menyumbang kepada kestabilan politik dan kemakmuran negara dan serantau. Kerjasama pertahanan yang menjurus kepada Confidence Building Measure ini bertujuan mempengaruhi pandangan geopolitik negara-negara terlibat dalam menanggapi isu serantau bersesuaian dengan kepentingan negara. Oleh itu, TUDM sentiasa memberikan tumpuan yang tinggi dalam menjalinkan kerjasama pertahanan dengan negara-negara Asean terutamanya negara jiran. Antara aktiviti yang disumbang oleh TUDM dalam mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara tersebut adalah melaksanakan operasi bersama seperti Eyes In the Sky dan rondaan bersama di sempadan, eksesais ketenteraan atau latihan bersama seperti program SAREX MALSING, iaitu latihan gabungan yang dilaksanakan antara TUDM dengan Tentera Udara Republik Singapura yang pertama kali dijalankan pada 25 hingga 27 April lalu. Selain itu, antara program lain yang dibuat adalah seperti latihan bersama MALINDO (Indonesia) dan AIR THAMAL (Thailand). Selain itu, TUDM turut melakukan pertukaran lawatan pegawai muda dan senior seperti Senior Officer Exchance Program, Junior Officer Exchange Program, pertukaran kursus kemahiran dan karier selain melalui mesyuarat-mesyuarat koordinasi aktiviti bersama seperti Air Working Group, Tim Pembangunan Latihan Udara dan Tim Pembangunan Operasi Udara.

Apakah harapan Tan Sri sebagai Panglima Tentera Udara bagi memastikan pergerakan TUDM lebih mantap selari dengan misi dan visi yang diterapkan?

Saya berpegang pada harapan merealisasikan visi TUDM untuk menjadi kuasa udara yang dominan selain memastikan Pelan Transformasi AF-NG dan CAP55 berjalan dengan lancar. Fokus utama perancangan dan pembangunan jangka masa pendek TUDM adalah dengan memusatkan kepada pelaksanaan program-program peningkatan aset-aset TUDM di samping meningkatkan keupayaan radar-radar pertahanan udara sedia ada. Selain itu, pelaksanaan pembangunan ke atas infrastruktur baharu di seluruh negara turut menjadi keutamaan bagi membolehkan kesemua aktiviti operasi, latihan dan pentadbiran berjalan secara efektif dan optimum. Saya juga melihat, keupayaan TUDM dapat dipertingkatkan dengan memperkasakan keupayaan modal insan melalui pembangunan pengetahuan, sikap dan kepakaran setiap anggota TUDM.

TUDM fokus pembangunan kekuatan ketenteraan melalui rancangan Pembangunan Keupayaan 2055 atau CAP55 untuk meningkatkan keupayaan aset menjelang tahun 2055 walaupun berdepan dengan kekangan 
kos yang tinggi.