Lebih melegakan, hidup wanita miskin yang merupakan jemaah masjid itu kini menjadi bertambah mudah apabila pihak masjid memperkenalkan mesin pengeluaran automatik (ATM) beras yang membolehkannya mendapatkan bekalan beras setiap minggu hanya berbekalkan kad asnaf yang diberikan kepadanya.

“Mak cik orang susah, anak-anak pun kerja jauh. Biasanya bekalan makanan, mak cik perolehi daripada pihak masjid. Sebelum ini ada juga mak cik dapat, tetapi kali ini lagi mudah. Mak cik tekan-tekan sahaja terus keluar 2 kilogram beras. Mudah dan cepat.

“Terima kasih kepada pihak masjid, penyumbang mesin ini serta orang ramai,” katanya kepada K2 usai majlis perasmian Mesin ATM Beras di Masjid Al-Akram baru-baru ini. Fatima merupakan antara 20 golongan asnaf kampung tersebut yang terpilih untuk menjadi kelompok penerima pertama yang mendapat bantuan demikian.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd. Ajib Ismail.

Kemajuan teknologi ternyata bukan sahaja memudahkan, malah memberi manfaat besar kepada orang ramai untuk menyelesaikan keperluan harian dengan pantas.

Percuma

Mesin ATM beras hasil inovasi syarikat dari Indonesia itu buat julung kalinya berada di Malaysia sekali gus memberi sinar baharu buat golongan asnaf untuk mendapat bekalan mengikut keperluan masing-masing.

Berkonsep seumpama mesin-mesin pengeluaran wang automatik, masjid itu mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi masjid pertama di Malaysia yang menyediakan khidmat mesin ATM beras buat golongan asnaf.

Menurut Pengerusi Masjid Al-Akram, Abdul Karim Mat Asli, lebih 350 orang asnaf di dalam kariah Masjid Al-Akram bakal menerima beras secara percuma menerusi penggunaan mesin tersebut.

Abdul Karim berkata, penggunaan mesin itu yang disifatkan sebagai pertama di Malaysia bertujuan membantu golongan tidak berkemampuan untuk mendapatkan beras secara percuma berdekatan rumah mereka pada setiap hari Jumaat

“Ketika ini, terdapat kira-kira 350 orang asnaf di kariah ini yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan mereka seterusnya diberikan satu kad pintar khas untuk membuat transaksi di mesin tersebut.

“Caranya juga mudah, golo­ngan itu hanya perlu membawa kad tersebut dan memasukkannya ke dalam mesin ATM beras yang disediakan bagi tujuan pengeluaran.

“Buat masa ini, kami merancang untuk menetapkan jumlah pengeluaran hanya seminggu sekali dengan melibatkan pemberian beras sebanyak 2 kilogram untuk setiap transaksi yang berjaya,” ujar.

Menurutnya lagi, mesin ATM beras itu memang diimport dari Indonesia tetapi ia disumbangkan oleh syarikat tempatan, Megasoft Network Sdn. Bhd. kepada Masjid Al-Akram.

“Sebagai permulaan, Megasoft Network Sdn. Bhd. menyediakan sebanyak 100 kilogram beras untuk dimasukkan ke dalam mesin tersebut dan stok makanan asas itu seterusnya akan ditambah oleh pentadbiran masjid dari semasa ke semasa.

“Menariknya, mesin ber­kenaan turut dilengkapi dengan sebuah tabung khas bagi membolehkan orang ramai bersedekah seterusnya membantu pihak masjid menyediakan bekalan beras untuk golongan asnaf terlibat,” jelasnya.

Idea

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Megasoft Network Sdn. Bhd. (Megasoft), Datuk Megat Sallehuddin Megat Ibrahim berkata, usaha membawa masuk mesin ATM beras ke Malaysia terhasil setelah melihat mesin tersebut digunakan di Indonesia semasa mengendalikan urusan perniagaan di sana kira-kira enam bulan lalu.

Menurutnya, setelah bertemu dan berbincang dengan pengeluar mesin itu, syarikatnya mendapat peluang untuk membawa masuk mesin beras itu ke negara ini tetapi dengan bersyarat iaitu tidak membuat ‘perniagaan’ daripada inovasi tersebut.

“Sejujurnya kami di Megasoft memang tiada niat ke arah itu, jauh sekali untuk meraih keuntungan melalui mesin beras ini.

“Sebaliknya, usaha ini adalah sebagai sumbangan kami untuk membantu golongan susah dan memudahkan urusan pihak yang bertanggungjawab dalam pemberian keperluan utama harian itu,” katanya yang tidak mendedahkan kos atau nilai mesin yang disumbangkan itu.

Tambah Megat Sallehuddin, pihaknya melihat mesin beras itu akan terus memberi manfaat untuk semua orang di Malaysia terutamanya buat golongan asnaf.

“Sekiranya berkesempatan lagi, kami di Megasoft akan meneruskan usaha sumbangan seperti ini untuk membantu rakyat Malaysia,” ujarnya. Syarikat berasaskan teknologi, Megasoft berpangkalan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Pengeluar mesin ATM beras merangkap Pengarah PT Megatron ES, M. Ahra Zufry berkata, mesin ATM beras itu telah berjaya memberi manfaat kepada 85 buah masjid di Indonesia buat masa ini sejak diperkenalkan pada tiga tahun lalu.

“Kami mendapat idea untuk membuat mesin ini setelah melihat setiap kali bulan Ramadan, golongan asnaf yang menerima sumbangan beras terpaksa beratur panjang apabila sumbangan beras tiba sehingga ada yang pengsan.

“Memikirkan perkara itu, kami mula mencipta mesin inovasi ini agar memudahkan proses pemberian beras kepada mereka selain mengikut peredaran zaman teknologi masa kini,” ujarnya yang juga mempunyai rakan kongsi PT Megatron Es di Malaysia.

Apa yang menarik katanya, mesin ATM beras itu juga boleh menerima sumbangan daripada orang ramai menerusi komponen tabung khas yang disediakan.

“Saya berharap penggunaan mesin ini bukan sahaja membantu orang-orang miskin, tetapi dapat mewujudkan kerjasama lagi antara Indonesia dan Malaysia dalam usaha menangani kemiskinan,” tutur pengarah syarikat yang berasaskan kejuruteraan itu.

Dalam pada itu, M. Ahra menyasarkan sebanyak 400 unit akan dikeluarkan pada tahun ini agar dapat memberi manfaat kepada rakyat Indonesia dan Malaysia.

Bila ditanya mengenai pasaran luar, M. Ahra memberitahu, pihaknya juga ada mendapat permintaan daripada Timur Tengah dan India tetapi buat masa ini Malaysia menjadi pilihan utama kerana jalinan hubungan baik yang sudah lama terjalin.

“Kami mahu fokus di Malaysia dahulu dan tolong rakyat di sini. Malaysia negara yang rapat dengan kami dan selalu memberi pertolongan di saat Indonesia dalam kesusahan,” tegasnya.