Peristiwa yang melibatkan para pemain pasukan kelab tersebut yang digelar sebagai Busby Babes itu telah menggemparkan peminat sukan bola sepak di seluruh dunia.

Kejadian menyayat hati itu turut melibatkan nama beberapa pemain terkenal yang turut terkorban dalam nahas udara yang berlaku pada tanggal 6 Februari 1958 itu.

Antara nama-nama besar yang terlibat dalam nahas udara itu ialah Duncan Edwards yang pernah dianugerahkan pemain terbaik England serta kapten pasukan Manchester United, Roger Byrne.

Seramai 23 orang mangsa terkorban dalam nahas udara yang turut dikenali sebagai Tragedi Udara Munich itu.

Masalah enjin

Nahas udara melibatkan pasukan Manchester United itu telah memberi kesan mendalam buat beberapa mangsa terselamat antaranya Matt Busby yang merupakan pengurus kelab pasukan gergasi Liga Perdana England itu.

Mengimbas kembali Tragedi Udara Munich itu, sebanyak 44 orang penumpang berada di dalam pesawat malang membabitkan pe­nerbangan British European Airways 609 dalam perjalanan dari Munich ke Manchester.

Pesawat jenis Airspeed AS.57 Ambassador itu tersasar dari landasan sewaktu berlepas di Lapangan Terbang Munich-Ream di Jerman.

Ketika kejadian, pasukan Manchester United sedang dalam perjalanan pulang dari pertandingan Piala Eropah di Belgrade, Yugoslavia selepas membenam pasukan Red Star Belgrade dari Serbia sekali gus berjaya mara ke peringkat separuh akhir kejohanan itu.

Ketika dalam perjalanan pulang, pesawat berkenaan telah mendarat di Munich untuk mengisi bahan bakar sebelum meneruskan penerbangan terus ke Manchester.

Selepas selesai mengisi minyak, pesawat yang dikendalikan oleh juruterbang, James Thain dan Kenneth Rayment itu telah dikatakan gagal untuk berlepas sebanyak dua kali ekoran mengalami masalah pada enjin bahagian kiri pesawat.

Juruterbang bagaimanapun enggan untuk menangguhkan penerbangan dan melakukan percubaan berlepas untuk kali ketiga walaupun menyedari pesawat itu mengalami masalah pada enjin.

“Saya mula berasa tidak sedap hati apabila juruterbang memaklum­kan akan meneruskan pener­bangan pulang ke Manchester walaupun pesawat mengalami masalah enjin.

“Pada masa itu juga salji telah turun dan menyebabkan keadaan landasan lembab dan licin,” ujar bekas penjaga gol Manchester United, Harry Gregg, 85, yang merupakan antara mangsa terselamat dalam tragedi tersebut.

Tergelincir

Ketika percubaan berlepas kali ketiga itulah, pesawat berkenaan tiba-tiba tergelincir dan tersasar sebelum merempuh pagar di hujung landasan. Bahagian sayap kiri pesawat itu musnah apabila me­rempuh sebuah rumah yang berada di hujung landasan.

Bimbang pesawat itu akan mele­tup, juruterbang telah mengarahkan penumpang yang terselamat segera keluar meninggalkan pesawat dengan dibantu oleh mangsa-mangsa yang lain.

Siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa lapangan terbang pada awalnya telah menyalahkan juruterbang atas dakwaan cuai.

Bagaimanapun, siasatan lanjut yang dijalankan selama 10 tahun ke atas landasan itu akhirnya mendapati kemalangan itu berpunca daripada struktur landasan tersebut yang didakwa berlumpur dan licin.

Dalam kejadian itu, 20 mangsa dilaporkan terbunuh di lokasi kejadian dan tiga lagi mangsa mati semasa mendapatkan rawatan di Hospital Rechts der Isar, manakala 21 penumpang lain terselamat.

Pesawat membawa pulang pemain bolak sepak Manchester United tergelincir dan tersasar dari landasan Lapangan Terbang Munich-Riem, Jerman hingga menyebabkan 23 orang penumpang terkorban.