Tragedi yang berlaku 22 tahun lalu itu telah menyaksikan sebuah kapal terbang kargo jenis Antonov AN-32 buatan Rusia terhempas di tengah-tengah sebuah pasar yang sibuk dengan orang ramai yang sedang melakukan aktiviti harian.

Nahas pesawat kargo milik syarikat penerbangan swasta, Africa Air itu terhempas di pasar Simba Zikita yang menjadi kawasan tumpuan ramai hingga menyebabkan antara 225 hingga 350 orang terbunuh, manakala 500 yang lain cedera.

Pada hari kejadian, kapal terbang kargo itu hendak berlepas dari Lapangan Terbang D’Nolo di Kinshasa bersama-sama sebuah lagi pesawat jenis Antonov AN-32B milik Rusia walaupun sijil penerbangan kapal terbang kargo itu telah dibatalkan.

Terlebih muatan

Keadaan menjadi buruk apabila pesawat Antonov AN-32 itu telah memuatkan kargo sehingga terlebih muatan semasa dalam penerbangan membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada ketua pemberontak terkenal Angola, Jonas Savimbi.

Savimbi merupakan pemimpin politik dan ketenteraan Angola yang mengetuai kesatuan untuk menuntut kemerdekaan.

Sewaktu hendak berlepas, kapal terbang Antonov AN-32 itu kelihatan meluncur dalam keadaan tidak stabil di atas landasan, manakala bahagian enjin pesawat itu dilihat mengeluarkan asap sebelum terbakar.

Juruterbang tidak sedar tentang masalah yang berlaku itu dan pesawat tetap meluncur laju untuk berlepas.

Bagaimanapun, pesawat itu gagal terbang pada ketinggian sempurna sebelum ia menjunam dan terhempas di pasar Simba Zikita yang terletak tidak jauh dari lapangan terbang tersebut.

Impak daripada kejadian itu telah menyebabkan berlaku satu letupan kuat sekali gus menyebabkan kebakaran besar. Api merebak dengan cepat ekoran kedai-kedai yang terdapat di pasar tersebut diperbuat daripada kayu.

Suasana pasar menjadi huru-hara apabila masing-masing cuba lari untuk menyelamatkan diri, namun gagal kerana lokasi kejadian diselubungi api yang marak dan asap tebal.

Dua daripada enam orang kru yang berada di dalam pesawat malang itu terbunuh, manakala empat daripadanya terselamat termasuk seorang juruterbang warga Rusia, Nicolai Kazarin yang telah dihadapkan ke mahkamah kerana kecuaiannya.

Semasa dalam perbicaraan di sebuah mahkamah di Rusia, Kazarin telah mempersoalkan tentang kedudukan pasar tersebut yang dikatakan terletak di kawasan yang tidak sepatutnya.

Pampasan RM5.6 juta

Juruterbang tersebut terpaksa diekstradisi ke Rusia selepas berlaku beberapa cubaan untuk membunuhnya semasa dia mendapatkan rawatan di hospital di Congo dan dia akhirnya telah dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun.

Dalam kejadian itu, kebanyakan ma­ngsa terkorban terdiri daripada wanita dan kanak-kanak yang ditemui dalam keadaan rentung.

“Sebanyak 217 mayat ditemui rentung di kawasan sekitar pasar itu, manakala 32 mangsa lain mati di hospital,” kata Vincent Nicod, salah seorang sukarelawan daripada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa.

Dalam keadaan huru-hara itu, terdapat mangsa yang terselamat telah mengambil kesempatan mencuri barang kemas yang dipakai oleh mangsa terkorban.

Hasil siasatan mendapati, punca nahas adalah disebabkan oleh lebihan muatan yang dibawa pesawat tersebut selain turut mendakwa juruterbang yang mengendalikan penerbangan itu berada dalam keadaan mabuk kerana meminum alkohol semasa berlepas.

Dalam pada itu, Africa Air diarahkan membayar pampasan berjumlah AS$1.4 juta (RM5.6 juta), manakala lesen penerbangan syarikat itu dibatalkan.