Mungkin saiz kenderaan yang besar dan boleh membawa ramai penumpang itu menyebabkan kemalangan maut mendapat liputan meluas, sekali gus meninggalkan kesan kepada orang ramai.

Hakikatnya, lebih 60 peratus jumlah kematian di jalan raya di Malaysia adalah melibatkan penunggang motosikal pada setiap tahun.

Lebih parah, kematian melibatkan penunggang motosikal adalah paling tinggi pada bulan-bulan perayaan seperti Ogos dan Disember sempena Hari Kemerdekaan serta cuti Krismas dan Tahun Baru selain Hari Raya Aidilfitri serta Hari Raya Aidiladha.

Berseronok

Perkara ini tidak boleh dipandang enteng oleh penunggang motosikal terutamanya golongan muda yang berhasrat untuk berkonvoi pulang beraya.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Selangor, Mohd. Fakhri Mansor berkata, faktor fizikal motosikal yang mempunyai dua roda menyebabkan ia tidak stabil berbanding kenderaan lain yang beroda empat atau lebih seperti kereta serta bas.

“Keadaan ini menyebabkan motosikal mudah terjatuh walaupun impak pelanggaran hanya minimum. Ia akan mengakibatkan penunggang yang hanya bergantung kepada topi keledar mendapat kecederaan parah sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Bayangkan, dengan sifatnya yang mudah terjatuh, ditunggang pula secara beriringan dan rapat antara satu sama lain, ia pasti cukup berisiko tinggi.

“Andai satu motosikal jatuh, maka motosikal di belakang akan turut terjatuh dan berlanggar antara satu sama lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Tambahnya, kebanyakan peserta konvoi mempunyai mentaliti bahawa menunggang secara berkumpulan adalah cara terbaik untuk mengelak daripada masalah seperti tayar pancit selain menambahkan kemeriahan menyambut sesuatu acara.

“Tiada salahnya tentang berkonvoi untuk menyambut sesuatu perayaan, namun mentaliti itu perlu diubah untuk berseronok tanpa mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain.

“Menunggang dalam kumpulan adalah berbeza berbanding solo. Konvoi boleh tetapi pastikan anda lengkapkan diri anda dengan etika, kemahiran dan pengetahuan yang secukupnya bagi memastikan perjalanan anda selamat,” jelasnya.

Sementara itu, pengasas dan pengarang blog pemanduan berhemah, PanduLaju.com.my, Gan Yong Li berkongsi mengenai etika menunggang motosikal secara berkumpulan untuk panduan bersama.

“Pertama, tolong pastikan anda tidak berada dalam kumpulan terlalu besar melebihi lima orang agar kawalan jarak sekurang-kurangnya satu kenderaan dapat dikekalkan.

“Kedua, jangan menunggang secara sebaris atau beriringan. Bentuk kedudukan secara berselang-seli. Contoh, jika motosikal di depan di sebelah kiri, motosikal di belakang perlu berada di kanan dan seterusnya,” terangnya.

Had laju

Selain itu, Yong Li turut mengingatkan agar penunggang melengkapkan diri dengan topi keledar, kasut bertutup, pakaian yang cerah serta jaket menunggang yang dilengkapi pad pada lutut, sisi, bahu serta belakang badan untuk meminimumkan kecederaan.

“Jika hujan, jangan sesekali berhenti di laluan kecemasan. Sebaliknya, cari perlindungan di tempat teduhan motosikal dan pastikan anda berhenti di belakang penghadang jalan bagi mengelak dilanggar kenderaan lain.

“Paling penting, patuhi had laju dan undang-undang seperti tidak dibenarkan menahan kenderaan lain bagi memberi laluan kepada peserta konvoi walaupun anda ketua konvoi.

“Perkara itu hanya boleh dilakukan oleh anggota polis dan marshal sekadar membantu,” kongsinya.

Akhir sekali, Yong Li turut menyeru semua pengguna jalan raya untuk saling menghormati antara satu sama lain demi memastikan kelancaran perjalanan pulang beraya.

“Bagi penunggang motosikal, gunakan laluan yang disediakan untuk motosikal dan jangan sesekali mencelah sesuka hati sehingga membahayakan kenderaan lain.

“Kenderaan yang lebih besar pula, sentiasalah berwaspada dengan pergerakan kenderaan yang lebih kecil di sekeliling anda. Sentiasa lihat cermin sisi dan padang belakang agar anda tidak terlepas lingkungan titik buta,” pesannya.

Sentiasa ingat orang tersayang dan yakinlah bahawa ahli keluarga sentiasa menanti kepulangan anda dengan selamat.