Kebakaran di kelab malam yang dipanggil The Station itu merupakan nahas kelab malam yang pa­ling dahsyat di Amerika Syarikat dan salah satu tragedi yang paling buruk dalam sejarah negara ber­kenaan.

Mangsa yang terselamat menggambarkan detik mengerikan itu bermula ketika kumpulan rock, Great White menyalakan kon piroteknik beberapa minit selepas konsert mereka bermula kira-kira pukul 11 malam. Percikan bunga api daripada kon itu kemudian me­nyam­bar bahan penebat bunyi pada dinding berhampiran pentas. Pihak berkuasa memberitahu, kebakaran itu kemudian dengan pantas mere­bak ke panel siling yang rendah.

Beberapa saksi memberitahu, bangunan itu hampir serta-merta ditelan api menyebabkan pengunjung berpusu-pusu berlari ke pintu dan memecahkan tingkap. Ada antara mereka keluar dari kelab malam itu dengan rambut dan badan yang sedang terbakar.

Salah seorang pengunjung, Christopher Travis, 33, berkata, bau daging terbakar juga dapat dihidu dari dalam kelab malam ber­kenaan.

Sukar dikenal pasti

Dalam pada itu, Ketua Bomba West Warwick, Charles Hall berkata, kelab itu telah diperiksa dua bulan sebelum kejadian, namun kedua-dua pihak iaitu pengurusan kelab malam dan kumpulan berkenaan tidak pernah memperoleh permit untuk menggunakan piroteknik pada konsert berkenaan.

Kumpulan berkenaan bagaimanapun menjelaskan bahawa penggunaan piroteknik itu memang ada dalam rancangan, namun pemilik dan pekerja kelab itu menegaskan mereka tidak pernah diberitahu tentang bunga api berkenaan.

Gabenor Rhode Island ketika itu, Donald L. Carcieri berkata, polis dan Biro Alkohol, Tembakau dan Senjata Api Amerika Syarikat sedang menyiasat untuk melihat siapakah yang bertanggungjawab terhadap kebakaran itu.

Carcieri yang memendekkan percutiannya di Florida untuk kembali ke Rhode Island pada hari kejadian berkata, ketika malapetaka itu berlaku, terdapat kira-kira 350 orang di kelab tersebut yang mempunyai kapasiti 300 orang.

Penyiasat berkata, kebanyakan mangsa maut akibat terbakar serta lemas dalam kepulan asap tebal. Selain itu, mungkin ada juga yang mati kerana terpijak ketika mereka cuba berlari keluar dalam keadaan tergesa-gesa dari kelab tersebut.

Sesetengah mayat pula sukar untuk dikenal pasti sehingga terpaksa menggunakan kaedah DNA (asid deoksiribonukleik) untuk tujuan pengecaman.

Sepanjang hari, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan kren untuk mengangkat serpihan bangunan yang hangus untuk mencari mangsa. Orang ramai turut berada di The Station untuk mencari kemungkinan saudara-mara atau kenalan mereka terlibat dalam kejadian itu.

Kembali cari rakan

Mangsa terselamat, George Guindon, 35, yang cedera akibat terbakar pada kepala, tangan dan kakinya kembali ke The Station selepas itu bagi mencari kawan rapatnya, Matt Darby yang dikhuatiri antara mangsa terkorban.

“Ketika itu, saya berharap dia berjaya keluar, namun sehingga kini dia tidak ditemui,” katanya.

Guindon menjelaskan, ketika api menyambar kepalanya, dia hanya mempunyai dua pilihan iaitu mela­rikan diri atau tinggal dan mati.

“Saya melompat ke atas bar dan berlari ke arah dinding dengan harapan dapat menemui tingkap. Saya berjaya keluar dan berlari melintasi jalan ke dalam salji,” katanya.

Sementara itu, menurut pihak berkuasa, seramai 81 mangsa dirawat di hospital dengan 25 daripadanya berada dalam kea­daan kritikal.

Salah seorang mangsa yang tercedera, Liz Arruda, 23, kira-kira 30 peratus daripada tubuhnya melecur terutama pada bahagian belakang badan apabila ditimpa bumbung yang terbakar.

Arruda berjaya menyelamatkan diri selepas salah seorang daripada kawannya menolak gadis itu ke arah orang ramai mela­lui pintu belakang kelab yang sedang terbakar.

Kebanyakan mangsa yang mengalami kecederaan parah hanya diberi harapan oleh doktor untuk hidup antara 40 hingga 50 peratus.

Antara yang hilang dan dikhua­tiri terkorban ialah pemain gitar Great White, Ty Longley.

Dalam pada itu, pegawai bomba berkata, walaupun terdapat empat pintu di kelab malam berkenaan, namun kebanyakan pengunjung berpusu-pusu untuk keluar melalui pintu hadapan.

Bagaimanapun, kebanyakan mayat ditemui di dalam tandas yang menunjukkan bahawa orang ramai mungkin cuba keluar melalui tingkap.