Pagi itu, orang ramai kelihatan mula memenuhi gerabak kereta api 1079 milik Daegu Metropolitan Subway di Stesen Banwoldang, menuju ke Stesen Daegu, Korea Selatan.

Kesemua penumpang mengambil tempat masing-masing dan bersedia untuk memulakan perjalanan.

Tepat pukul 9.53 pagi, kereta api mula bergerak laju menuju ke Stesen Daegu.

Seorang lelaki yang dikenali sebagai Kim Dae-han, 56, merupakan salah seorang penumpang kereta api tersebut dan dia duduk di salah satu kerusi penumpang bersama dua kotak besar berisi cecair pembakar.

Di tangan kirinya pula, dia memegang satu pemetik api. Selang beberapa ketika, dia mula memetik pemetik api itu berulang kali sehingga mengejutkan penumpang-penumpang lain.

Alat pemetik api

Beberapa orang penumpang yang sudah dapat menghidu niat Dae-han cuba untuk menghalangnya daripada membakar gerabak kereta api tersebut dan mereka mula bergelut.

Dalam pergelutan itu, salah satu kotak berisi cecair pembakar tersebut telah tertumpah di dalam kereta api ketika ia sedang menghampiri Stesen Jungangno yang terletak di selatan bandar Daegu lalu terbakar.

Kereta api yang sedang terbakar itu berhenti dan Dae-han terus keluar bersama beberapa penumpang lain untuk menyelamatkan diri.

Begitu pun, dalam masa dua minit, api semakin marak dan merebak terus ke kesemua enam gerabak yang lain sehingga mengorbankan 192 orang penumpang yang gagal menyelamatkan diri.

Selepas melakukan penyiasatan, pihak berkuasa mendapati Dae-han sememangnya merancang membakar kereta api tersebut.

Dae-han merupakan bekas pemandu teksi yang lumpuh separuh badan akibat kemalangan jalan raya pada November 2001.

Tertekan dengan nasib yang menimpanya, Dae-han mula menjadi ganas dan menyuarakan hasrat untuk membunuh diri.

Dia juga dikatakan pernah mendedahkan niatnya untuk membunuh diri di sebuah kawasan yang dipenuhi orang ramai.

Asap tebal

Menurut seorang mangsa yang terselamat, Kim Ho-jun, 82, asap terlalu tebal dan dia benar-benar menyangka tidak akan terselamat daripada kejadian tersebut.

“Pintu kereta api tidak boleh dibuka, menyebabkan saya terhidu asap tebal yang banyak.

“Saya kemudian pengsan dan pasukan keselamatan membawa saya ke hospital berhampiran.

“Saya amat bersyukur kerana terselamat dalam insiden menakutkan itu dan bersimpati dengan semua mangsa yang terkorban,” ujarnya kepada portal www.telegraph.co.uk.

Kim Bok-sun, 59, pula melahirkan rasa sedih kerana kehilangan anak perempuannya dalam insiden tersebut.

“Anak perempuan saya, Lee Mi-young, 33, menelefon saya dan memberitahu bahawa dia sedang terperangkap dalam kereta api yang dinaikinya.

“Talian tiba-tiba terputus dan saya cuba menghubunginya semula namun gagal,” ujarnya sedih.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa Korea Selatan mengambil langkah untuk menambah baik sistem keselamatan di stesen-stesen kereta api seluruh negara itu.

Keenam-enam gerabak kereta api yang hangus dijilat api juga dibaik pulih dan kereta api 1079 mula beroperasi seperti biasa pada April 2003.

Dae-han kemudian ditahan polis pada 26 Februari 2003 dan meninggal dunia 31 Ogos 2004 di dalam Penjara Jinju.